KAWAN setia sentiasa berada di sisi apabila diperlukan, berkongsi saat gembira atau sedih, juga memberi nasihat ketika dalam kesusahan atau kekecewaan.

P. Ramlee (kanan) sebagai Aduka dalam satu adegan 'Semerah Padi' bersama Nordin Ahmad yang memegang watak Taruna.
Semangat
persahabatan inilah yang dikongsi oleh Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P.
Ramlee dan seniman Nordin Ahmad.
Walaupun
berlainan syarikat, P. Ramlee di Malay Film Productios (MFP) dan Nordin di
Studio Cathay Keris, secara peribadi mereka mempunyai hubungan erat. Kebetulan
kedua-duanya berasal dari Pulau Pinang.
P. Ramlee dan
Nordin pernah berlakon bersama dalam filem ‘Panggilan Pulau’ (1954). P. Ramlee juga mengambil Nordin berlakon dalam
filem arahannya ‘Semerah Padi’ (1956) dengan memberi peranan utama
sebagai Taruna, sebelum Nordin berpindah ke Cathay Keris pada hujung tahun sama.
Malah
sebenarnya keputusan Nordin meninggalkan studio MFP adalah atas galakan P.
Ramlee sendiri yang mahu melihat sahabatnya itu berjaya. Ini kerana Nordin menghadapi
saingan sengit daripada bintang-bintang MFP lain yang sudah mencipta nama ketika
itu.
Ternyata perindahan ini membawa kejayaan besar kepada Nordin. Dia bukan sahaja mencipta nama sebagai seniman ulung di Cathay Keris, tetapi juga dilantik sebagai pengarah di studio berkenaan pada 1964.

Kredit foto: FB Muzik Jalanan.
Persahabatan dua insan seni ini tidak pernah pudar walaupun berlainan studio. Ikatan setia sahabat ini terserlah apabila P. Ramlee pulang dari Tokyo selepas Festival Filem Asia Pasifik ke-10 pada April 1963 dengan penuh kecewa. Nordin orang pertama datang menemuinya memberi kata-kata semangat.
Pada
festival filem tersebut, P. Ramlee memenangi anugerah ‘Bakat Paling Serba Boleh’ atau ‘The
Most Versatile Talent’ melalui filem ‘Ibu Mertuaku’. Ini adalah anugerah
pertama kali diadakan dan diberi khusus untuk P. Ramlee.
Pihak juri meneliti secara terperinci filem tersebut yang menampilkan kemampuan P.
Ramlee sebagai pelakon utama, pengarah, penulis lakon layar, penyanyi dan penggubah
muzik. Ini sesuatu yang sangat istimewa, menampilkan kemampuan serba boleh P.
Ramlee.
Selepas itu anugerah tersebut tidak pernah diadakan lagi pada mana-mana Festival Filem Asia Pasifik, tidak pernah diberi kepada tokoh lain. Ini bererti P. Ramlee penerima tunggal dan memegang rekod itu hingga kini.
Kenapa P. Ramlee kecewa walaupun telah memenangi anugerah berprestij?
Dia berharap kegembiraannya akan dikongsi sama oleh para pelakon di MFP. Tetapi itu tidak berlaku. Mereka bukan bangga, sebaliknya tidak puas hati dengan kejayaan P. Ramlee.
P. Ramlee sedih dan kecewa. Kejayaan itu sepatutnya diraikan bersama tetapi dia bagai dipulaukan.
Semasa pulang dari Jepun membawa anugerah tersebut, tidak ramai menyambut di lapangan terbang. Malah yang pernah berlakon di bawah arahan P. Ramlee pun sudah jadi musuh.

P. Ramlee menerima anugerah 'Bakat Serba Boleh' pada Festival Filem Asia Pasifik ke-10 di Tokyo, Jepun pada 1963.
Apabila perkhabaran ini sampai ke telinga Nordin Ahmad, dia segera menemui P. Ramlee di rumahnya di Cedar Avenue, Singapura pada suatu malam. Tambahan ketika itu tersebar berita Studio Cathay Keris sedang berusaha menarik P. Ramlee.
Selepas menikmati makan malam disediakan P. Ramlee dan Saloma, kedua-dua insan seni itu berbual panjang. P. Ramlee mengesahkan kepada Nordin memang ada tawaran daripada Cathay Keris tetapi dia belum membuat keputusan.
Namun Nordin menasihati P. Ramlee agar tidak berhijrah ke Cathay Keris kerana di sana pun ada ramai tidak suka kepadanya.
P. Ramlee juga memberitahu, pemilik MFP, Run Run Shaw berhasrat membawanya membuat filem di Hong Kong.
Tetapi P. Ramlee membayangkan kemungkinan dia akan ke Kuala Lumpur. Nordin setuju kerana di Kuala Lumpur P. Ramlee tidak ada musuh. Akhirnya P. Ramlee berpindah ke Studio Merdeka Hulu Kelang, pada 1964.
Kedua-dua sahabat itu berbual panjang dengan ditemani Saloma sehingga pukul tiga pagi. Nordin kemudian minta diri untuk pulang ke rumahnya di Bedok.

P. Ramlee (kiri) dan Nordin Ahmad berbual hingga pagi ketika Nordin mengunjungi P. Ramlee di rumahnya pada suatu malam tahun 1963. Kunjungan Nordin untuk mententeramkan sahabatnya yang dilanda sedih ketika itu.
Maksud tersirat daripada kisah ini bukan sahaja isu tawaran studio atau kerjaya. Ia lebih menjurus kepada persahabatan sejati serta beratnya tekanan ditanggung oleh seniman besar seperti P. Ramlee.
Episod tersebut juga menyerlahkan tidak semua suka apabila kita berjaya. Ada yang menikam dari belakang dan mahu menjatuhkan.
Namun bagi P. Ramlee, masih ada sahabat seperti Nordin Ahmad yang setia di sisi memberi sokongan. Itulah sahabat sejati. - KitaReporters