Penyanyi berbakat besar, Syamel, kembali menggegarkan persada muzik tempatan denga lagu terbaharunya, “Beribu Tanda Tanya”, sebuah single penuh emosi yang menggambarkan keresahan hati dan persoalan jiwa yang tidak terungkai.

Menariknya, lagu ini bukan sahaja menjadi bukti kematangan Syamel dalam penyampaian, tetapi turut melakar sejarah peribadi apabila keseluruhan proses penerbitan dijalankan di studio rakaman legenda di United Kingdom, semata-mata untuk mendapatkan sentuhan emas komposer handalan, Edry Abdul Halim.
Lagu "Beribu Tanda Tanya" merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim, yang bertindak sebagai penulis lirik, komposer, dan penerbit.
Kolaborasi ini membawa Syamel terbang ke Voltalab Sound Studio di Manchester, United Kingdom, lokasi di mana Edry menetap.
Menurut Syamel, lagu balada ini merupakan luahan jiwa tentang keresahan dan persoalan hati yang tidak terungkai, membawa pendengar untuk menyelami perasaan seseorang yang terus dihantui tanda tanya dan kekeliruan dalam hati dan minda.
“Lagu ini boleh dikategorikan sebagai lagu yang ‘mahal’ sebab saya perlu ke Manchester untuk berjumpa dengan Edry yang menetap di sana. Semua proses, dari rakaman hingga ke pembikinan visualizer dilakukan sepenuhnya di Manchester.
“Pengalaman merakam lagu ini sangat ‘priceless’ sebab kami menggunakan khidmat jurutera bunyi tempatan dan studio yang penuh sejarah.
"Antara artis legenda UK seperti Oasis pernah merakamkan lagu mereka di studio yang sama. Saya rasa sangat dihormati dapat merakam Beribu Tanda Tanya di situ,” ujar Syamel dengan rasa bangga.

Syamel ketika bersama Edry Abdul Halim di Manchester, United Kingdom.
Lagu balada ini tambah Syamel membawa pendengar untuk menyelami perasaan seseorang yang terus dihantui tanda tanya dan kekeliruan dalam hati dan minda, terutama dalam hubungan yang tergantung tanpa jawapan.
Dari segi penyampaian, Syamel berharap pendengar dapat menghayati sepenuhnya lirik dan melodi lagu ini.
“Lagu ini sangat unik dari segi penceritaan, ia dibina berdasarkan soalan yang diajukan dalam lirik. Ramai yang mungkin pernah alami situasi hubungan yang tergantung tanpa jawapan. Jadi saya harap bila orang dengar, mereka akan rasa dekat dengan kisah ini,” tambahnya.
Berkongsi lanjut mengenainya, Syamel memberitahu, ‘Beribu Tanda Tanya’ akan menjadi lagu tema (OST) bagi drama bersiri terbaharu berjudul ‘Doa Yang Terlindung.’
Drama ini bakal ditayangkan dalam Media Prima tidak lama lagi dan dijangka menyentuh hati penonton dengan jalan cerita penuh emosi.

Mengakhiri perkongsian, Syamel menyatakan harapannya agar “Beribu Tanda Tanya” menjadi karya yang kekal relevan sepanjang masa.
“Saya harap lagu ini boleh jadi evergreen, lagu yang orang tak pernah jemu nak dengar. Dan mungkin, melalui lagu ini juga, pendengar belajar bahawa kadang-kadang lebih baik kita bertanya daripada berdiam diri.
"Semoga lagu ini mekar dan terpahat di hati pendengar dan peminat saya,” ujar Syamel.
Dengan kekuatan vokal dan penyampaian penuh jiwa, “Beribu Tanda Tanya” menjadi bukti kematangan Syamel sebagai penyanyi dan penghayat karya. - KitaReporters
