DUA puluh tahun Allahyarham Latifah Omar tidak menonton kembali filem-filem lakonannya bersama pelakon/ pengarah Allahyarham Nordin Ahmad sejak hari Nordin kembali ke alam abadi pada pagi 15 Jun 1971.
Nordin yang lahir pada 4 Ogos 1929 di Pulau Pinang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Singapura akibat demam kuning pada usia 42 tahun. Jenazahnya disemadikan di Tanah Perkuburan Bedok, Singapura.
Pemergian Nordin memberi kesan sangat mendalam di hati Latifah. Mereka adalah bintang utama Studio Cathay Keris, Singapura yang membintangi banyak filem bersama.
Keserasian atau ‘chemistry’ mereka di layar perak sangat terserlah. Kerana itu mereka sering digandingkan bersama.
Filem lakonan mereka termasuk ‘Hang Jebat’ (1961), ‘Laila Majnun’, (1962) ‘Lanchang Kuning’ (1962), ‘Chuchu Datok Merah’ (1963) ‘Gul Bakawali’ (1963) ‘Patong Chendana’ (1965) dan ‘Gurindam Jiwa’ (1965).

Seniwati jelita, Allahyarham Latifah Omar ketika muda (kanan) dan setelah meniti usia warga emas.
Keserasian dan keakraban mereka bukan sekadar di layar perak. Kemesraan persabahatan dan hubungan erat antara mereka hingga di luar layar perak.
Kerana itu kematian Nordin satu kejutan yang sangat meruntun hati Latifah. Terasa satu pukulan berat terhadap dirinya. Dia telah kehilangan seorang rakan pelakon yang disegani dan dihormati yang begitu rapat dengannya.

Berita kematian Nordin Ahmad disiarkan pada muka hadapan akhbar Utusan Malaysia keluaran 16 Jun 1971.

Pemergian Nordin Ahmad ke alam abadi turut disiarkan dalam akhbar Berita Harian. - Kredit foto: 'Repair Gambar Lama'.
Apabila mendapat khabar kematian Nordin melalui akhbar dan radio pada pagi kematian, Latifah terpaku dan bagai tidak percaya. Hatinya luluh sehingga gagal mengawal emosi. Dia terus menangis dan meraung.
Hari itu adalah hari yang sangat menyedihkan Latifah.
Masih sukar
mempercayai berita tersebut, Latifah menghubungi pejabat Cathay Keris di
Singapura untuk mendapat pengesahan. Ternyata berita itu benar. Nordin Ahmad
telah pergi untuk selama-lamanya.
Hatinya remuk dengan pemergian teman tersayang. Kerana itu selepas pemergian Nordin, selama dua dekad Latifah tidak menonton filem lakonan mereka.
Dia tidak sanggup mengimbau kenangan detik bersama bergandingan di layar perak. Air matanya pasti tumpah terkenang saat manis bersama Nordin.
Hanya pada tahun 1990-an barulah Latifah berdaya mengumpul kekuatan menonton kembali filem-filem lama lakonan mereka apabila ditayangkan di kaca televisyen.

Nordin Ahmad dan Latifah Omar dalam filem box-office 'Gurindam Jiwa'.

Gandingan Nordin Ahmad dan Latifah Omar dalam 'Laila Majnun', sebuah lagi filem yang mereka bintangi bersama.
Latifah menghormati dan kagum dengan peribadi Nordin Ahmad. Selain berlakon bersama, apabila Nordin diangkat jadi pengarah pada 1964, dia juga memilih Latifah sebagai bintang utama filem arahannya, seperti ‘Wan Perkasa (1964) Kasih Ibu’ (1965) dan ‘Naga Tasik Chini (1966).
Allahyarham
Latifah menyifatkan Nordin sebagai seorang yang beradab, tidak pernah marah
atau meninggikan suara dalam pergaulan dan ketika berlakon. Dia memiliki sifat
rendah diri. Walaupun nama besar dalam dunia filem Melayu, Nordin tetap
bersikap lembut, tidak pernah menunjuk-nunjuk.
Yang sangat
Latifah kesali ialah tidak berkesempatan menziarahi jenazah Nordin. Ketika itu Latifah
sudah berpindah dan menetap di Kuala Lumpur. Tahun 1967 adalah tarikh terakhir
pertemuan mereka sempena majlis doa selamat pelancaran filem ‘Playboy’ arahan
Nordin.
Latifah pada mulanya dijadual berlakon dalam filem tersebut tetapi menarik diri pada saat akhir atas sebab tertentu. Tempatnya diganti oleh Rosnani Jamil. Antara bintang lain ialah Mustapha Maarof dan Tony Kassim.

Nordin Ahmad dan Latifah Omar, pasangan mantap di layar perak dan sahabat sejati di luar filem.
Kisah Nordin Ahmad dan Latifah Omar bukan sekadar perpisahan abadi dua sahabat sejati. Tetapi ia juga menyerlahkan eratnya persahabatan dan tahap profesionalisme bintang-bintang tersohor pada zaman kegemilangan filem Melayu.
Nordin yang berasal dari Kampung Kota, Permatang Pasir, Seberang Perai, Pulau Pinang meninggalkan isteri, seniwati Salmah Ibrahim dan tiga orang anak, Hasnor, Tuah @ Norman Shah dan Asmah.
Latifah Omar
yang lahir pada 26 Mac 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur, meninggal dunia di Unit
Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Universiti Kebangsaan
Malaysia (UKM) pada 9 Jun 2013 dalam usia 74 tahun.
Allahyarham
dimasukkan ke hospital tersebut seminggu sebelumnya kerana barah usus. Jenazah
Allayarham disemadikan di Tanah Perkururan Islam AU4, Lembah Keramat, Hulu
Kelang, Selangor. - KitaReporters