Bukan sekadar tampil dengan konsep video muzik yang menampilkan sembilan figura wanita berbeza, single terbaharu Akim & The Majistret berjudul 'Juliet' turut mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya menduduki tangga ketiga Carta iTunes Top Songs Malaysia.
Kejayaan itu sekali gus menjadikan 'Juliet' sebagai satu-satunya lagu Melayu yang tersenarai dalam kelompok tiga teratas carta berkenaan, bersaing dengan dua lagu antarabangsa paling popular ketika ini.
Pencapaian tersebut disifatkan sebagai satu kejayaan besar buat kumpulan berkenaan dan industri muzik tempatan, membuktikan karya tempatan masih mendapat sokongan kukuh pendengar yang menghargai kekuatan lagu tersebut.

Menurut Akim, kedudukan di carta iTunes itu dicapai secara organik hasil sokongan padu peminat tanpa memerlukan sebarang gimik pemasaran yang berlebihan.
Beliau menegaskan bahawa kekuatan melodi dan kejujuran dalam berkarya menjadi faktor utama 'Juliet' diterima baik oleh masyarakat.
"Kami tidak sangka Juliet akan mendapat sambutan sebegini hebat. Ia adalah hadiah paling bermakna buat kami dan bukti bahawa muzik tempatan masih kuat jika disokong peminat,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian ini merupakan satu suntikan semangat untuk Akim & The Majistret terus menghasilkan muzik yang lebih matang dan berkualiti pada masa akan datang.
“Kejayaan berada di carta iTunes ini adalah sesuatu yang sangat kami hargai kerana ia datang secara organik daripada sokongan peminat.
"Kami tidak membeli angka atau gimik, sebaliknya Juliet diterima kerana kekuatan lagunya sendiri,” jelasnya.

Dalam pada itu, penampilan sembilan wanita yang membawa watak ‘Juliet’ dalam video muziknya, terdiri daripada barisan selebriti tanah air seperti Fauziah Datuk Ahmad Daud, Elly Mazlein, Nadia Brian, Sweet Qismina, Dr Soo Wincci, Evanatie, Nurel, Hawa Rizwana dan Farahdiya memberi dimensi baharu kepada penceritaan lagu.
Akim menjelaskan setiap daripada mereka melambangkan simbol kekuatan, kelukaan, dan keindahan emosi seorang wanita daripada pelbagai latar dan pengalaman.
“Setiap ‘Juliet’ membawa makna yang berbeza. Kami mahu peminat melihat bahawa Juliet bukan sekadar lagu cinta biasa, tetapi simbol kepada kekuatan, kelukaan dan keindahan emosi seorang wanita,” ulasnya.

Akim & The Majistret
Dengan momentum kejayaan di carta iTunes dan pelancaran video muzik yang berkonsep unik tersebut, ‘Juliet’ menerima reaksi positif dan tular dalam media sosial, sekali gus dijangka akan terus mengukir sejarah tersendiri dalam perjalanan seni Akim & The Majistret, sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam landskap muzik Malaysia. - KitaReporters