Lebih 2,000 peserta pelbagai peringkat umur menyertai Edu Fun Run 3.0 (Larian Santai Pendidikan 3.0) anjuran Yayasan Angkasa pada 19 Oktober 2025, sekali gus memeriahkan acara tahunan yang memasuki edisi ketiga penganjurannya.

Berkonsepkan pembangunan modal insan warga koperasi serta menggalakkan gaya hidup sihat, penganjuran Edu Fun Run 3.0 2025 menarik penyertaan peserta yang terdiri daripada warga kerja sektor koperasi, pelajar tajaan Yayasan Angkasa, koperator, pelajar sekolah, guru-guru, ibu bapa, serta pelajar dari institusi pengajian tinggi.
Pengerusi Yayasan Angkasa merangkap Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, acara tahunan ini juga dianjurkan dengan objektif utama untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sumbangan penting Angkasa dan sektor koperasi dalam pembangunan pendidikan negara.
Katanya, bertemakan “Stronger Steps, Smarter Minds”, Edu Fun Run 3.0 2025 membuktikan bahawa aktiviti riadah dan kebersamaan boleh menjadi platform untuk menyemai nilai prihatin serta memperkukuh interaksi sosial dan nilai kerjasama dalam kalangan generasi muda.

“Acara ini turut mendapat pengiktirafan rasmi daripada Kementerian Pendidikan di mana penyertaan murid sekolah rendah dan menengah akan diberikan Markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) Peringkat Kebangsaan.
"Ini memberi galakan kepada generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti sihat sambil menyumbang kepada Pendidikan.
“Pada masa sama, ia juga adalah salah satu tanda penghargaan terhadap sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak khususnya penyumbang serta penaja yang turut berkongsi komitmen untuk meningkatkan akses dan peluang pendidikan kepada komuniti,” katanya.
Selain Angkasa, penganjuran acara ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Jawatankuasa Angkasa Negeri (JKAN) Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Angkasa Negeri (JKAN) Selangor, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Rakan Muda Universiti Islam Malaysia (USIM), serta Kelab Sukan dan Kebajikan Angkasa (KESKA).
Pada masa sama, seramai 40 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut membantu dalam memastikan acara larian berjalan dengan lancar, sekali gus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan sosial.

Yayasan Angkasa juga ingin menyuarakan tentang tema “Stronger Steps, Smarter Minds”, di mana:
- Stronger Steps: Langkah yang berani, yakin dan konsisten melambangkan keberanian mengambil inisiatif, kekuatan semangat, serta keazaman untuk terus maju walaupun menghadapi cabaran.
- Smarter Minds: Pemikiran yang bijak,inovatif dan strategik menunjukkan keperluan untuk berfikir secara kreatif, menggunakan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam membuat keputusan yang memberi impak positif.
Dalam mengupas tema ini dua individu yang menjadi contoh iaitu Ikon Larian Edu Fun Run 2025 iaitu Ardell Aryana dan pelajar Yayasan Angkasa Lia Maryam turut menjadi sukarelawan yang mengikuti misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Yayasan Angkasa ingin mengucapkan rasa syukur kerana semua yang mengikuti misi telah selamat pulang.
Mereka berani dan mewakili rakyat Malaysia yang prihatin kepada mangsa genosid di Palestin. - KitaReporters/Kenyataan Media
