Seni & Sukan 06 Nov, 2022

Memang berbaloi! Memang gemilang! Tonton Konsert Rossa 25th Shining Years! Dapat sambutan hangat!

@khadijah ibrahim
Pernah bertugas di Kumpulan Utusan dan pernah bertugas di biro Johor. Kini masih aktif dalam dunia penulisan.

Share this


MEMANG berbaloi menonton Konsert Rossa 25th Shining Years (Konsert 25 Tahun Gemilang Rossa) yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 November 2022 lalu.

Konsert yang bermula kira-kira pukul 8.17 malam itu, bukan sekadar mendengar dendangan lagu daripada Rossa tapi penyanyi dari Indonesia itu turut berkongsi tentang rasa hatinya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan 


Konsert Rossa 25th Shining Years yang diadakan di Dewan Plenary, baru-baru ini mendapat sambutan hangat. 


Rossa atau nama penuhnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 44, yang mengayakan busana bernilai RM235,000, rekaan pereka fesyen Belanda, Iris Ven Herpen itu, memulakan persembahan dengan lagu As One bersama enam penari dan diikuti dengan lagu Takkan Berpaling.

Memang benarlah dia tidak pernah berpaling daripada menghibur peminat di Malaysia kerana selama 25 tahun bergelar anak seni, dalam tempoh 20 tahun itu dia sering berulang alik ke Kuala Lumpur.


Amy antara penonton yang hadir dan sempat berduet dengan Rossa yang turun dari pentas menuju ke arahnya. 


“Tak sangka akhirnya saya kembali ke Kuala Lumpur. Ramai betul sahabat-sahabat saya yang hadir. Selamat malam semua dan selamat malam juga untuk jodoh saya yang entah ada di mana.

“Tahun ini adalah 25 tahun saya berkarya dalam industri muzik sejak lagu Tega dilancarkan saya mula datang ke Malaysia. Banyak lagu yang akan saya nyanyikan, tiket mahal berbaloi. Saya akan bercerita tentang lagu dendangan saya,” katanya yang kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Wanita.


Mengenakan busana rekaan pereka fesyen dari Belanda untuk persembahan pada malam itu. 


Rossa turut bercerita tentang maksud yang tersirat dalam lagu Masih yang menggambarkan tentang percintaannya yang putus tapi wajah mantan kekasih masih terbayang. Malah, dia juga mengaku pernah melalui hubungan yang penuh dengan toksid hingga lahirlah lagu Tak Sanggup Lagi.

Tatkala dia dibuai perasaan mendendangkan lagu Tega, tiba-tiba aksi Rossa bertukar menjadi ceria apabila melihat di skrin tertera nama Cakra Khan.

“Sungguh mengejutkan kerana Kekasih Bayangan, Cakra Khan ada di sini. Saya tak tahu dia akan datang menyokong persembahan saya. Ini betul-betul surprise,” katanya lantas memanggil Cakra naik ke pentas.


Terkejut dengan kehadiran Cakra Khan yang hadir menyokong persembahannya. 


Rossa juga memberitahu penonton yang konsert pertamanya di Dewan Plenary dulu bersama Afgan, sebelum meneruskan persembahan dengan lagu-lagu runut bunyi yang popular seperti Jangan Hilangkan Dia, Atas Nama Cinta, Takdir Cinta dan Ayat-Ayat Cinta.

Untuk konsertnya yang dibawakan oleh Yayasan Prihatin Nasional itu, Rossa turut mengundang Andi Rianto, seorang komposer terkenal dan pemimpin Orkestra Magenta yang banyak mencipta lagu untuknya.

Sambil Andi bermain keyboard, Rossa mendendangkan lagu-lagu yang mereka bekerjasama seperti Hati Yang Terpilih, Perawan Cinta, Aku Bukan Untukmu, Terlalu Berharap (lagu baharu) dan Sekali Ini Saja.


Rossa terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat Malaysia terhadap kerjayanya. 


“Lagu ini belum pernah dinyanyikan di Malaysia, lagu Sekali Ini Saja, saya dedikasikan kepada Glen Fredly yang merakam lagu ini 20 tahun lalu. Minta nyalakan flash light,” katanya.

Untuk persalinan ketiga, Rossa menggayakan baju warna hitam dan segmen bersama artis jemputan Judika amat menghiburkan. Kedua-dua rakan karib itu mendendangkan lagu Terlanjur Cinta, Hati Yang Kau Sakiti dan Aku Yang Tersakiti. Menariknya, bila Judika menukar lagu berentak balada menjadi dangdut.

Rossa mengakui yang dia amat meminati lagu-lagu Malaysia sekitar 90-an. Antara lagu kesukaannya adalah Janji Manismu (Datuk Aishah), Suci Dalam Debu (Iklim), Bukan Cinta Biasa (Datuk Seri Siti Nurhaliza) dan Antara Anyer dan Jakarta (Datuk Shiela Majid).


Segmen bersama Judika cukup menghiburkan penonton. 


Momen paling indah bagi Rossa apabila dia berpeluang menyanyi bersama penyanyi asal Fantasia Bulan Madu dan Isabella, Datuk Amy Search yang hadir menonton persembahannya. Teruja dengan kehadiran Amy, Rossa sanggup turun pentas dan mengajak penyanyi itu menyanyi bersama.

“Merinding aku, nyanyi sama legend,” katanya sebaik saja berada di pentas sebelum berduet dengan Hael Husaini untuk lagu Kamu Yang Ku Tunggu dan Jampi.

Hael juga berkesempatan mendendangkan lagu Rossa, Ku Menunggu dengan gayanya yang tersendiri.

Rossa yang tidak tampak keletihan sepanjang persembahan di hadapan 3,000 penonton itu mengakhiri persembahan dengan lagu rancak, Pudar, Sakura dan Hey Ladies.

Untuk tiga lagu terakhir itu, penonton seolah-olah berada di dalam disko kerana Rossa mahu mengakhiri persembahannya dalam suasana ceria. - KitaReporters


Bergandingan dengan Hael Husaini yang mewakili rakan artis dari Malaysia. 

8
12
0
13
0
You will be interested