Seni & Sukan 29 Jun, 2023

Tahniah TV AlHijrah! Terima anugerah khas Program CSR Terbaik! Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


TV AlHijrah telah diiktiraf sebagai penerima anugerah khas bagi kategori Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terbaik oleh Media Home pada majlis Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA) 2023. 

Hadir menerima penganugerahan itu, Suffian Yahya, selaku Pengurus Besar Kejuruteraan dan Sokongan Penyiaran TV AlHijrah mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris. 

Majlis anugerah MBBA 2023 yang diadakan pada 24 Jun 2023 yang lalu menyaksikan pengiktirafan itu dianugerahkan kepada stesen TV AlHijrah di atas bantuan kemanusiaan dan program kemasyarakatan yang disumbangkan oleh stesen penyiar Islam itu kepada masyarakat di negara ini, menerusi jenama Hijrah Prihatin. 



Namanzee menyifatkan kemenangan itu sebagai penghargaan kepada TV AlHijrah di atas sekelumit usaha membantu masyarakat yang kurang bernasib baik di negara ini menerusi siri bantuan yang dirancang sepanjang tahun. 

“Hijrah Prihatin beriltizam untuk menjadi tulang belakang masyarakat yang memerlukan bantuan. 

"Kami bukan sahaja memberikan sumbangan kewangan dan barangan keperluan seharian, malahan sokongan emosi turut diberikan menerusi barisan asatizah yang kami bawa setiap kali turun membuat CSR. 

“Semenjak tahun 2020 lagi, kami berusaha memperkasa jenama Hijrah Prihatin sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kami kepada masyarakat Malaysia. 

"Jiwa kami besar untuk tahun-tahun mendatang, bagi menyemarakkan lagi budaya tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan masyarakat Malaysia Madani," katanya. 

Namanzee berkata penganugerahan itu juga adalah buah tangan buat rakan sinergi korporat stesen itu yang sentiasa tampil menghulurkan jalinan kerjasama terutama yang membabitkan kumpulan B40, asnaf, mualaf dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU). 



Selain itu, Namanzee turut berkata tahun 2023 bakal menyaksikan lebih banyak program berimpak tinggi yang akan dihasilkan olh TV AlHijrah bagi memenuhi aspirasi penyiaran negara dan selera penonton yang dahagakan program ilmiah yang mendidik dan menghiburkan selari dengan ajaran agama, perkembangan zaman, batasan budaya dan norma masyarakat majmuk di Malaysia. 

“Kami akan menyiarkan dua rancangan realiti TV pada suku ketiga dan suku keempat 2023 iaitu rancangan realiti Akademi Muda YADIM (Musim 4) dan program realiti baru Marhaban. 

"Denyut nadi kedua-dua rancangan realiti ini sangat istimewa dengan suntikan keseimbangan duniawi dan ukhrawi. 

Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk melahirkan masyarakat penonton yang berilmu pengetahuan dan agama tinggi untuk membangunkan masyarakat Madani,” katanya lagi. 

Beliau turut berharap agar TV AlHijrah terus bersaing dan kekal relevan mendepani arus permodenan pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa walaupun mendapat persaingan daripada media-media baru. 

Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia (MBBA 2023) diadakan bagi meraikan dan menghargai sumbangan individu dan syarikat korporat daripada pelbagai sektor seperti makanan, penyiaran, hotel dan pelancongan, kecantikan & kosmetik, sukan, kesihatan, fesyen, kewangan Islam, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), dan konsultan yang menyokong dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia. 

Untuk rekod, pada April 2023 lalu, TV AlHijrah turut menerima anugerah Corporate Media Company of The Year - Malaysia pada Majlis Anugerah The Middle East Prestige Awards 2022/23 anjuran The Corporate LiveWire, sebuah syarikat penerbitan yang bernaung di bawah Fenicemedia, Bermingham, UK. 

Anugerah ini diberikan atas peranan dan tanggungjawab TV AlHijrah sebagai penyiar kandungan Islam pada peringkat global. - KitaReporters/Kenyataan Media


8
10
0
16
0
You will be interested