Seni & Sukan 18 Feb, 2023

I am back! Shuib nak suasana, kawan baharu! Sertai UBI Superstar Live dengan Ajak! Tak keluar Sepahtu!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this


Kumpulan lawak yang sedang meningkat naik dianggotai Fad Bocey, Sharif Zero dan bakat baru, pempengaruh Tik Tok bernama Namie ternyata tidak mahu berdiam diri selepas menjuarai Muzikal Lawak Superstar musim ketiga pada September tahun lalu (2022).

Bertepatan dengan tagline mereka ‘diam-diam ubi berisi’, rupanya dalam diam-diam UBI mereka membuat kejutan dengan menampilkan dua bintang pelawak popular Shuib Sepahtu serta Ajak Bocey menyertai kumpulan mereka dalam rancangan komedi terbaharu di Astro Warna, UBI Superstar Live.

Gabungan kelima-lima pelawak popular ini sudah tentu akan menggamatkan malam anda apabila ‘UBI Superstar Live’ akan mula bersiaran pada 23 Februari 2023, setiap Khamis, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Warna (saluran 107) selama empat minggu berturut-turut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelawak-pelawak


Persoalannya kenapa memilih Ajak dan Shuib yang diketahui ramai lebih terkenal sebagai salah seorang anggota kumpulan pelawak popular Sepahtu?

“Ajak dan Shuib mempunyai karakter dan kekuatan masing-masing untuk memberi variasi kepada sketsa dan konten kami contohnya Fad terkenal dengan motivasinya sementara Shuib pula ada gaya kejutannya yang tersendiri," ujar Fad pada sidang media memperkenal program ‘UBI Superstar Live’ di Mighty Monster, MyTown Mall, Kuala Lumpur pada Selasa, 14 Februari 2023 lalu yang turut dihadiri Ketua Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh.

Tambah pemilik nama sebenar, Muhammad Fadzlie Mohd Nizam itu, keputusan menambahkan dua lagi anggota menyertai UBI sebagai kelainan untuk rancangan UBI Superstar Live waima yang dicari perlulah seseorang yang kelakar dan pandai menyanyi.


Kumpulan UBI dari kiri: Sharif, Fad dan Namie.


“Dan pemilihan Ajak dan Shuib memenuhi kriteria yang kami kehendaki,” tambah Fad sambil dipersetujui Shariff Zero atau Sharif  Kadir dan Namie atau nama sebenarnya Najmi Shaharudin.

Menurut beliau dengan pengalaman bertahun lamanya, sudah pasti Shuib mampu menambahkan lagi elemen spontan dalam jenaka mahupun nyanyian dan lakonan kala bersama mengemudi UBI Superstar Live manakala kehadiran Ajak yang suka menyanyi boleh menambahkan lagi kemantapan persembahan mingguan UBI Superstar Live dengan pengalamannya sejak menjadi peserta Raja Lawak. 

Malah, cara penyampaian Ajak yng berbentuk nasihat sambil berjenaka turut merupakan pembaharuan serta keunikan yang mampu dibawakan menerusi siri kali ini. Dengan  kepelbagaian idea dibawakan UBI, Shuib dan Ajak pasti menggamat lagi musim pertama UBI Superstar Live.

Sementara itu, Shuib memberitahu keputusannya untuk menerima tawaran UBI disebabkan pada hari Khamis malam Jumaat beliau  ‘free’ daripada tugas-tugas lainnya dan mahu ubah angin dan merasai suasana baharu bersama kawan-kawaan baharu.

“Saya tidak pernah mengatakan saya sudah keluar dari Sepahtu kerana kami masih berhubung cuma masa tidak mengizinkan saya untuk bersama mereka apabila diperlukan. 

"Dan penyertaan saya bersama UBI adalah kerana saya mahu mengubah angin malah malam Jumaat kebetulan saya free.” jawab Shuib mengulas kedudukannya bersama Sepahtu.


Shuib bersama rakan deejaynya, Ajak (kiri).


Dengan penampilan serta gaya rambut yang tidak lagi beremos, Shuib kelihatan sudah bersedia kembali ke pentas lawak secara ‘live’  apabila berkata, “ I am back’.

Seperti mana yang kita tahu, rancangan komedi Astro Warna sering menampilkan artis-artis tersohor negara sebagai artis jemputan. 

Format ini turut dikekalkan dalam UBI Superstar Live di mana setiap episod akan menampilkan artis-artis daripada pelbagai bidang termasuk penyanyi, pelakon dan sebagainya. 

“Kami juga akan membawa tetamu-tetamu undangan istimewa yang pasti akan mengejutkan para penonton. Jika ingin tahu dengan lebih lanjut, jangan lupa janji kami pada 23 Februari ini,” jelas Norzeha Mohd Salleh (gambar bawah, tengah).



Beliau berharap rancangan terbaharu ini mampu memberi keseronokan dan hiburan kepada semua penonton seperti mana mereka menikmati rancangan-rancangan komedi Astro Warna selama ini. 

"Kami juga berharap rancangan ini mampu menyerlahkan bakat masing-masing yang masih terpendam kepada para penonton serta memberi inspirasi kepada mereka yang ingin mengorak langkah dalam industri yang sama. Yang pastinya, para penonton mesti tidak akan berhenti ketawa bersama mereka,” tambah Norzeha.

Pendek kata, beliau yakin para penonton pada kali ini pasti akan lebih teruja untuk menyaksikan lagak Fad, Sharif Zero dan Namie yang bakal bertembung dengan Shuib dan Ajak di atas pentas yang sama, membawa bakat dan karakter masing-masing yang dipenuhi idea luar daripada kotak.

Tambah menarik buat peminat kumpulan UBI serta Shuib dan Ajak, UBI SUPERSTAR juga akan mengadakan satu episod istimewa raya iaitu UBI Superstar raya yang akan mempersembah pentas muzikal komedi berkonsepkan Hari Raya Aidilfitri.  - KitaReporters

6
18
0
11
0
You will be interested