Seni & Sukan 14 Jun, 2024

Tahniah Si Sasa dan Si Manis! Tepati jangkaan! Syarul dan Natasha Olahragawan, Olahragawati ASN 2023!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ANWAR Ibrahim (tengah) bertepuk tangan tahniah buat Syarul Azman Mahen Abdullah dan Natasha Roslan (tiga dan lima dari kiri) pada majlis penyampaian ASN 2023 di MSN, Bukit Jalil pada 13 Jun 2024. - Kredit foto: MSN



DATUK Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah dan Natasha Roslan menepati jangkaan awal para pemerhati dengan bergelar Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023 dalam majlis penyampaian Anugerah Sukan Negara (ASN) Ke-57 pada 13 Jun 2024.

Atlet bina badan dan boling tenpin itu masing-masing turut membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, piala pusingan dan iringan, sijil serta blazer kuning khas yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.  


SYARUL Azman Mahen Abdullah, juara dunia WBPF sebanyak enam kali. - Kredit foto: MSN


Syarul, 51, dan Natasha, 28, menambat hati Jawatankuasa Pemilihan ASN yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. K. Nagulendran untuk menewaskan empat lagi calon pencabar mereka.

Pemilihan Mike (julukannya) jelas sukar ditandingi sebagai juara Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia Persekutuan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia (WBPF) Ke-14 di Wonju, Korea Selatan pada 10 November 2023 lalu. 

Gelaran dunia tersebut merupakan yang keenam selepas 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2022 milik warga ibu kota ini yang turut telah mengumumkan persaraannya daripada sukan tersebut pada 22 Mac 2024 lalu.


NATASHA Roslan juara perseorangan, naib juara berpasukan dan ketiga all-events Kejohanan Boling Tenpin Dunia. - Kredit foto: MSN


Natasha pula mencapai kemuncak prestasinya dengan menjuarai acara perseorangan Kejohanan Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Salmiya, Kuwait setelah menewaskan rakan senegara, Sin Li Jane 259-194, 162-238, 185-165 dalam final pada 9 Oktober 2023 lalu.

Wanita kelahiran Petaling Jaya, Selangor ini turut muncul naib juara berpasukan dan memenangi tempat ketiga all-events berpasukan kejohanan itu.

Kali terakhir atlet bina badan merangkul gelaran berprestij sukan Malaysia ini ialah Sazali Samad pada 2014 manakala Natasha menamatkan penantian 22 tahun bagi boling tenpin kembali ke podium tertinggi itu sejak Shalin Zulkifli tanggal 2002.

Calon-calon lain Olahragawan Kebangsaan 2023 ialah Qabil Ambak Mahamad Fathil (ekuestrian), Ng Eain Yow (skuasy), Arif Afifuddin Malik (karate) dan Rafiq Ismail (boling tenpin) manakala Olahragawati turut disaingi S. Sivasangari (skuasy), Nur Syazrin Latif (pelayaran), Nurul Alyani Jamil (boling padang) dan Nur Amisha Azril Rizal (muay Thai).


SYAFIQ Ridhwan Malek (kiri) dan Ahmad Muaz Fisol memperaga trofi Pasukan Lelaki Kebangsaan ASN 2023 mereka. - Kredit foto: MSN


ALEENA Ahmad Nawawi (kiri) dan Nur Ain Nabilah Tarmizi merangkul gelaran Pasukan Wanita Kebangsaan ASN 2023. - Kredit foto: MSN


SENARAI PEMENANG LAIN ASN KE-57, 2023:

Pasukan Lelaki Kebangsaan: Syafiq Ridhwan Malek/Ahmad Muaz Fisol (boling tenpin)

Pasukan Wanita Kebangsaan: Aleena Ahmad Nawawi/Nur Ain Nabilah Tarmizi (boling padang)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Zuraidi Puteh (boling padang)

Jurulatih Wanita Kebangsaan: Chai De-Choo @ Wendy Chai (boling tenpin)

Tokoh Sukan: Datuk Dr. P.S. Nathan (boling tenpin)

Kepemimpinan Sukan: Tan Sri Mohd. Khalid Yunus (olahraga & mendaki gunung).

 

14
7
0
13
0
You will be interested