Seni & Sukan 18 Aug, 2024

Laluan mudah! Tim Malaysia bakal juara regu takraw! King's Cup di hujung gading Si Gajah Putih!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this


AZLAN Alias (mengadang rejaman) kehilangan tekong serasinya, Syahir Rosdi dalam regu utama Malaysia namun masih mempunyai apit kiri, Farhan Adam (kanan). - Kredit foto: RBTC


MALAYSIA dijangka mudah melepasi saingan Kumpulan C regu berpasukan lelaki Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand Ke-37 di Korat dari 1 hingga 8 September 2024 apabila hanya diundi berdepan China dan Laos - dua lawan di ranking dunia lebih bawah.

Hanya juara setiap kumpulan, akan mara ke separuh akhir dengan tuan rumah dan juara bertahan, Thailand mengetuai Kumpulan A Divisyen Perdana acara kemuncak ini sambil disaingi India dan Jepun.

Skuad negara juga dibentangkan laluan yang mudah untuk menjuarai acara antara regu Divisyen Perdana kerana tanpa musuh tradisi Si Gajah Putih sebaliknya cuma ditentang India, China, Singapura dan Brunei.




UNDIAN acara-acara King's Cup 2024 yang disertai Malaysia iaitu regu berpasukan, antara regu, kuadran wanita dan kuadran campuran. - Kredit foto: TAT  


Tidak menyertai langsung kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) ini ialah Indonesia dan Filipina yang masing-masing mara ke separuh akhir regu berpasukan dan antara regu Piala Dunia Istaf pada 22 dan 25 Mei 2024 lalu di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Satu lagi acara yang disertai Malaysia dalam kejohanan yang lebih popular digelar King’s Cup ini ialah kuadran (berempat) campuran yang menemukannya dengan India, Laos dan Vietnam dalam Kumpulan A.

Majlis undian King’s Cup dikendalikan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Abdul Halim Kader di sebuah hotel di Bangkok pada 16 Ogos 2024 serta disiarkan secara langsung menerusi laman sosial.


SETIAUSAHA Agung Istaf, Abdul Halim Kader (depan, tiga dari kiri) bergambar dengan barisan pegawai kanan TAT selepas majlis undian King's Cup Ke-37 di sebuah hotel di Bangkok pada 16 Ogos 2024. Turut serta ialah Pemangku Presiden Istaf, Boonchai Lorhpipat (depan, dua dari kanan) dan Setiausaha Agung TAT, Boonchit Poolpitak. - Kredit foto: TAT


Malaysia merupakan juara antara regu dan beregu (tidak dipertanding dalam King’s Cup) ketika Piala Dunia Istaf dengan menewaskan Thailand (15-8, 15-12) dan (17-16, 15-13) pada 22 Mei 2024 lalu.

Bagi King's Cup, Istaf mengenakan semula dasar larangan monopoli penyertaan terhadap Thailand seperti mana negara peserta undangannya yang dikuatkuasakan sejak Sukan SEA Laos 2009 dan Sukan Asia Guangzhou 2010.

Selain wajib menyertai acara regu berpasukan, tuan rumah pun hanya boleh memilih dua lagi acara daripada Kumpulan A (regu atau kuadran) dan B (regu campuran atau kuadran campuran) serta pilihan acara gelung (Kumpulan C).


PIALA Raja Thailand hanya khas sebagai rebutan acara regu berpasukan yang dijalankan tiga atau empat hari akhir kejohanan. - Kredit foto: TAT


King’s Cup yang mula dipertanding pada 1984 dan ditauliahkan taraf Kejohanan Dunia oleh Istaf sejak 1992, dalam edisi ke-37 ini menarik kehadiran 700 pemain dan pegawai pasukan dari 29 negara termasuk bagi Divisyen Satu dan Dua.

Skuad wanita negara pula mendapat laluan getir bertemu Thailand dalam Kumpulan B regu berpasukan Divisyen Perdana malah disaingi Myanmar dan China bagi dua tempat teratas ke separuh akhir.

Acara kuadran wanita divisyen ini pula menempatkan Malaysia dengan Vietnam, Laos, China dan Kemboja dalam Kumpulan A manakala Thailand selaku pilihan utama Kumpulan B yang disaingi Myanmar, India, Korea Selatan dan Jepun.


TIMBALAN Presiden Istaf, Muhammad Fariq Abdul Halim (tengah) menayangkan kertas undian bernama China sebagai lawan Malaysia dalam Kumpulan C acara regu berpasukan King's Cup 2024. Kiri, Abdul Halim Kader yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf). - Kredit foto: TAT


King’s Cup 2023 juga di Korat, menyaksikan Thailand mempertahan trofi pertandingan antarabangsa tertua itu dengan menewaskan Malaysia 22-20, 21-17 (antara regu) serta 21-18, 21-9 dan 21-14, 21-14 (regu berpasukan) dalam perlawanan akhir tanggal 11 dan 16 Julai 2023.   

Hanya dua kali skuad negara pernah merampas King's Cup iaitu pada 1985 dan 1988 masing-masing di bawah kendalian Hassan Sulaiman dan Haris Abdul Rahman. - KitaReporters


TIM wanita Malaysia turut menjalani latihan dan perlawanan sparring di RBTC sebagai persediaan menghadapi King's Cup. - Kredit foto: RBTC


TEKONG dan pengumpan Malaysia, Syahmi Husin (kiri) dan Zaim Razali gigih menjalani latihan dan perlawanan sparring di Kelab Sepak Takraw Ratchaburi (RBTC), Thailand yang hampir 100 kilometer dari Bangkok. - Kredit foto: RBTC

12
14
0
13
0
You will be interested