Kesusahan hidup Zaiton Sameon, 67, memperlihat kehidupan sebahagian insan seni yang dulunya pernah dipuja dan hidup senang, namun kini terpaksa meraih simpati untuk kelangsungan hidup.
Terdapat sejumlah lagi insan seni yang menghadapi kehidupan seperti atau lebih teruk daripada Zaiton.
Zaiton merayu diberi bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.
Pada tahun 2022, dia juga pernah memohon rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) tetapi gagal.
Setelah sekian lama memendamkan penderitaan, Zaiton mula bersuara melalui media massa membuat ramai yang buka mata dan sedia membantu.
Pada tahun 1987 hingga 1990, Zaiton Sameon cukup gah sebagai penyanyi setelah lagu ‘Menaruh Harapan’ dan ‘Kabut Serangkai Mawar’ terbitan FGM Music (sebelumnya Omry) meletup.
Pada awalnya kemunculan album pertamanya ‘Menaruh Harapan’ kurang dihirau oleh sejumlah wartawan hiburan untuk memberi publisiti. Ini kerana reka bentuk album (kaset) itu kurang menarik dan tidak mengenali Zaiton yang sebelum ini sebagai penyanyi di kelab malam.
Namun Radio Televisyen Malaysia (RTM) cukup membantu. Lagu ‘Menaruh Harapan’ sering diputar dalam sejumlah stesen radio milik RTM ketika itu. Dan dalam sekelip mata Zaiton Sameon mula dipandang sebagai penyanyi.
Walaupun tidak memiliki wajah rupawan, namun Zaiton menutup kekurangannya dengan berpakaian dan bergaya seksi.
Zaiton Sameon semakin dikenali apabila mendapat peluang muncul dalam siaran TV baik RTM atau TV3.
Popularitinya memuncak apabila lagu ‘Menaruh Harapan’ muncul juara dalam Anugerah Juara Lagu ke-2 (1987), TV3 dan Zaiton juga muncul sebagai pemenang Persembahan Terbaik.
Ketika itu selain disanjung, Zaiton juga dilimpah dengan kesenangan hidup dengan menjadi penyanyi paling banyak menerima persembahan dan dibayar mahal. Dia dilimpah dengan kemasyhuran dan sumber kewangan yang agak mewah.
Namun takdir Illahi menentukan. Nasib berubah tragedi dan Zaiton hilang segala-galanya.
Pada 21 Februari 1990, selepas mengadakan persembahan di sebuah negeri, di Utara Semenanjung dalam perjalanan pulang, van yang dinaiki Zaiton dan pemuzik pengiringnya dilanggar lori di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Batang Kali, Selangor.
Anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang berusia 13 tahun terkorban bersama seorang pemuzik pengiring, Ismail Shaari.
Zaiton pula mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan terpaksa menerima rawatan agak lama di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Zaiton diberitakan mengalami gangguan emosi selama 11 tahun (Februari 1990 sehingga Julai 2001). Dalam pada itu, kehidupan dan keadaannya mulai kurang mendapat publisiti daripada media massa.
Akibatnya kehidupan Zaiton tidak terurus. Wang yang dimiliki semakin menipis dan ditambah kesedihan dengan kepergian ayah dan ibunya.
Bagi menampung kehidupannya ketika itu, Zaiton melakukan perniagaan makanan dengan menghasilkan ‘Rendang Nasib daripada Dapur Zaiton Sameon’. Rendang yang dijual di ekspo-ekspo termasuk di Singapura pada mulanya mendapat sambutan tetapi mula malap apabila Covid-19 melanda.
Pada Jun 2015, Zaiton Sameon mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya. Setelah hidup sebatang kara, tanpa wang Zaiton bernasib baik apabila ada insan yang sanggup menjadi anak angkatnya.
Sejak akhir 2010 Zaiton tinggal di Ampang, Selangor bersama anak angkatnya, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, yang juga sudah yatim piatu. Che Sikah berniaga kecil-kecilan.
Walaupun Zaiton mengaku masih boleh menyanyi, namun tawaran yang diterima begitu kurang. Jika adapun bayarannya kurang memuaskan.
Zaiton memegang Kad Orang Upaya (OKU) kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak)
Pada 14 November 2022, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan.
Zaiton yang selama ini berdiam dengan penderitaannya, namun tidak mampu bertahan lagi.
Lalu anak Rembau, Negeri Sembilan yang lahir pada 2 Julai 1956 ini akhirnya meluahkan penderitaan hidupnya kepada media.
Penderitaan Zaiton mendapat perhatian Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Perdana Menteri melalui Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi menyerahkan sumbangan wang dan barangan makanan.
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu turut mengunjungi Zaiton dan membawa berita baik.
Zaiton akan menerima sumbangan bulanan sebanyak RM500 mulai Oktober atau November 2023.
Tambah Athikah, pihaknya juga akan berbincang dengan pihak tertentu bagi membolehkan Zaiton mendapat Rumah Selangorku.
Persatuan artis turut memberi reaksi. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) akan mengusahakan Zaiton mendapat rumah PPRT di Lembah Klang.
Sementara itu, menurut Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahir (YKAT), Datuk DJ Dave menyatakan pihak Yayasan akan memberi pencen RM500 sebulan elaun bulanan dan mencarikan rumah PPR yang sesuai untuk Zaiton.
Untuk penginapan, Zaiton sudah tidak perlu risau kerana beberapa pihak sudah berusaha untuk menyediakan rumah.
Namun Zaiton perlu lebih daripada rumah untuk kelangsungan hidupnya. Pencen RM500 sebulan daripada YKAT dan elaun RM500 sebulan dari KPWKM hanya sekadar membantu sedikit untuk kelangsungan hidup.
Lembaga zakat negeri (khususnya) di Wilayah Persekutuan atau Selangor juga perlu memberi elaun bulanan kepada Zaiton. Jika anak tunggalnya Azirwan hidup dia kini berusia 46 tahun dan mungkin Zaiton sudah bercucu.
Bagi yang bersimpati, bantulah Zaiton mengharungi hari-hari tuanya dengan suasana gembira.
Mungkin ada pihak yang ingin menaja Zaiton melakukan umrah atau menunaikan ibadah haji seperti yang pernah dilaku kepada beberapa insan seni. - KitaReporters