Seni & Sukan 11 Oct, 2021

Artis tolak pencalonan ABPBH tak digam! Siti Nurhaliza terima pencalonan Artis TikTok Popular!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Sherry Alhadad, hos ABPBH34 manakala Fauziah Latiff akan membuat persembahan bersama Zizi Kirana pada malam kemuncak dijangka pada 13 November 2021.


JAWATANKUASA Pengelola Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 (ABPBH34) tidak akan mengambil langkah menyenaraihitamkan mana-mana artis yang menarik diri daripada pencalonan anugerah pilihan peminat sejak tahun 1987 itu.

Tiga artis ternama, Zul Ariffin, Remy Ishak dan Zizan Razak baru-baru ini telah menyuarakan hasrat mereka untuk menarik diri daripada tercalon dalam mana-mana kategori ABPBH34. Turut mengikut langkah sama adalah Artis YouTuber Popular, Zukie Mohamed.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ABPBH

Zul Ariffin, Zizan Razak dan Remy Ishak menarik diri. - Kredit foto: hmetro.com.my.


“Kami menghormati keputusan dan hak mereka berbuat demikian dan selagi artis-artis tersebut menepati syarat ditetapkan Jawatankuasa Penjurian untuk dicalonkan dalam mana-mana kategori saban tahun, kami akan tetap menerima mereka,” ujar Pengarang Hiburan BH merangkap Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34, Shamshul Azree Samshir (gambar bawah) pada sidang media secara virtual  elepas majlis pengumuman Malam Kemuncak ABPBH34 pada program “Melodi’ di TV3 pada 10 Oktober 2021. 

Turut hadir Penerbit Eksekutif ABPBH34 Nurhul Huda Khalid (gambar bawah, kiri). 



Pun begitu, undian diperoleh tiga artis terbabit untuk kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular, tetap diambil kira atas faktor pencalonan adalah mengikut watak gandingan yang dibawa calon dalam drama atau filem, selain mahu berlaku adil kepada pasangan atau pelakon yang digandingkan dalam karya dipertandingkan.

Langkah tersebut bertepatan dengan keputusan yang diambil  Bintang Paling Popular tujuh kali dan Penyanyi Wanita Popular 13 kali, Dato Seri Siti Nurhaliza yang walaupun telah menarik diri dari pencalonan sejak ABPBH13 pada 2010, beliau tidak menolak namanya dicalonkan sekali dalam kategori Artis Duo/Kolaborasi/Kumpulan Popular bersama Luca Sickta dan Kmy Kmo untuk lagu ‘7 Nasihat’.



“Saya perlu berlaku adil kepada Luca Dan Kmy dan kerana itu saya tidak menarik diri daripada pencalonan kategori berkenaan," ujar Siti melalui klip video yang disiarkan pada majlis sidang media terbabit.

Malah Siti juga turut menerima dicalonkan oleh TikTok dalam kategori baharu yang diperkenalkan - Artis TikTok Popular memandangkan TikTok adalah satu platform perkongsian video yang sedang digemari ramai dan beliau sendiri aktif menggunakannya.

Siti memiliki 1.1 juta pengikut dalam akaun Tik Tok bersaing dengan Siti Nordiana, Syamel, Ernie Zakri, Izzue Islam dan Haqiem Rusli.

Menyambung kembali jawapannya kepada persoalan awal, Shamshul Azree berkata, “Kami juga ambil maklum mengenai sebab-sebab penarikan diri mereka, dan akan mengambil langkah-langkah penambahbaikkan yang sesuai bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang, demi memastikan acara tahunan ini mampu menyumbang dengan lebih efektif dalam memartabatkan lagi industri kreatif tanah air.

Seterusnya, majlis turut menyaksikan hos Melodi, Nabila Huda (gambar bawah, kanan)  memperkenalkan pengacara ABPBH34 iaitu Sherry Alhadad serta menemu ramah Fauziah Latiff yang bakal membuat persembahan pada malam kemuncak serta Bintang Paling Popuilar ABPBH2021, Haqiem Rusli



Bertahan selama 34 tahun, tahun 2021 ini menyaksikan ABPBH diteruskan buat kali keduanya dalam norma baharu tanpa penonton, dijangka berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 13 November 2021.

“Walaupun penganjuran ABPBH diteruskan lagi dalam suasana norma baharu, kami melihat peminat masih tetap setia menyokong ABPBH dengan mengundi artis-artis kesayangan mereka. Peminat berlumba-lumba untuk pastikan idola mereka memenangi kategori yang dipertandingkan sekaligus meraih kemenangan Bintang Paling Popular ABPBH 34,” kata Shamsul Azree.

Bertemakan ‘Kita Bersama’, sebanyak 14 kategori utama dipertandingkan iaitu Artis Baharu Lelaki Popular, Artis Baharu Wanita Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Pelakon Filem Wanita Popular, Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon TV Wanita Popular, Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi, Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Artis Komedi Popular, Artis Versatil Popular, Pengacara TV Popular, Penyampai Radio Popular dan kategori baru iaitu Watak Animasi Popular.

Turut dipertandingkan adalah enam kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular, Gandingan Serasi Filem Popular, Anugerah FANtastik Popular, Watak Antagonis Popular, Artis TikTok Popular dan YouTuber Popular.



Untuk merancakkan lagi proses undian, turut diumumkan senarai 10 artis yang mendapat undian tertinggi pada pusingan pertama undian calon awal ABPBH34. 

10 artis berkenaan adalah  Amir Masdi, Ben Amir, Dolla, Haqiem Rusli, Khai Bahar, Meerqeen, Naqiu, Sissy Imann, Siti Nordiana dan Sweet Qismina

Undian pusingan kedua yang sudah boleh dilakukan sama ada secara percuma, pakej langgangan BH Digital dan cetak serta undian bersama penaja utama, Xiaomi menerusi laman web ABPBH34 di www.abpbh.com.my akan berakhir pada 31 Oktober 2021. 

Bagi kategori Anugerah FANtastik Popular dan Artis Tik Tok Popular, undian sudahpun bermula pada 4 Oktober 2021 lalu dan akan berakhir pada 7 November 2021 dalam laman aplikasi TikTok.

Pemenang setiap kategori utama dan kategori online termasuk Bintang Paling Popular dipilih berdasarkan undian tertinggi diperoleh calon Top 5 sepanjang proses undian peringkat terakhir ini. 

Siapa agaknya yang akan dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH34 kali ini? Mampukan Haqiem Rusli mempertahankan gelarannya? Sama-sama kita nantikan ya! - KitaReporters


12
13
0
18
1
You will be interested