Bertemu kembali melalui ruangan ‘Enjit-Enjit Semut’ bersama Semut Api. Cabaran skuad badminton pada Piala Thomas terkandas pada suku akhir yang menyaksikan Indonesia muncul juara selepas meruntuhkan tembok besar China 3-0!
Namun,
ternyata kegagalan pasukan badminton negara itu tidak mencetuskan perbincangan dalam kalangan peminat sukan negara, mungkin kerana sebagaimana Semut Api,
mereka sudah menduga skuad muda negara tidak mampu pergi jauh pada kejohanan
kali ini.
Sebaliknya kekalahan Malaysia kepada Jordan (0-4) dan Uzbekistan (1-5) pada aksi perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa masih terus diperkatakan. Untuk itu, ia turut menjadi topik pilihan Semut Api kali ini.
Selamat membaca.
Guilherme de Paula menerima kritikan kerana prestasi hambar bersama skuad Harimau Malaya. - Kredit foto: Jordan FA
KALAU DAH TANGKAP MUAT, INILAH HASILNYA!
Sejak kekalahan dalam dua perlawanan antarabangsa di Amman, Jordan baru-baru ini, skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe terus menjadi topik perbualan pemerhati, penganalisis, pengkritik dan peminat bola sepak tempatan.
Pelbagai pandangan diberi namun topik utama yang sering menjadi perbincangan adalah mengenai pemain naturalisasi, Guilherme de Paula yang dianggap gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga ada yang mencadangkan agar dia diketepikan.
Semut Api mengikuti perbincangan itu dengan penuh minat. Pada masa sama membuat analisis sendiri mengenai apa yang sedang berlaku dalam skuad Harimau Malaya terutama berkaitan De Paula.
Sebenarnya, sejak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyenaraikan De Paula sebagai pemain naturalisasi skuad kebangsaan, Semut Api tidak bersetuju tapi siapalah Semut Api hendak bersuara dan membantah, sudah pasti tidak ada yang mahu mendengar.
Secara peribadi, Semut Api tidak mempunyai sebarang masalah dengan De Paula. Malah, dia adalah antara pemain import yang rapat dengan Semut Api sejak mewakili pasukan PDRM lagi tapi secara jujur dia bukanlah calon yang sesuai untuk mengisi slot pemain naturalisasi.
Bagi Semut Api level De Paula biashe-biashe saja, kalau lebih pun daripada pemain tempatan, jurangnya sikit sangat. Lagipun corak permainannya yang menunggu bola datang ke kaki untuk menjaringkan gol tidak sesuai dengan Harimau Malaya kerana kita tidak mempunyai seorang playmaker yang mampu melakukan tugasan itu.
Sepatutnya,
kalau hendak memilih pemain naturalisasi carilah yang benar-benar berkemampuan,
jangan asal ada atau tangkap muat. Semut Api harap FAM belajar daripada
kesilapan ini.
Semut Api: Buat pilihan tepat.
Safiq Rahim pernah mengetuai skuad kebangsaan.
PANGGIL SEMULA SAFIQ RAHIM?
Bila bercakap mengenai playmaker skuad Harimau Malaya, Semut Api segera terbayang kelibat Azizol Abu Hanifah. Bagi Semut Api beliau adalah pemain tengah terbaik pernah dilahirkan oleh skuad negara.
Selepas era Azizol, Semut Api belum nampak pemain yang benar-benar berpengaruh di bahagian berkenaan. Kalau ada pun yang hampir mencapai ke tahap itu adalah Safiq Rahim tapi sayang Tan Cheng Hoe melihat pemain itu tidak lagi relevan untuk mengemudi jentera tengah Harimau Malaya.
Jelas kita kini ketandusan pemain tengah yang memiliki skil serta visi yang tinggi sebagaimana Azizol dan Safiq. Pemain Pahang, Azam Azih walaupun sudah lama bersama skuad kebangsaan namun masih belum dominan di posisi itu.
Kita agak lega bila Brendan Gan menunjukkan ciri-ciri diperlukan namun pemain Selangor itu kini sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat kanser testis.
Justeru, timbul cadangan agar Cheng Hoe memanggil semula Safiq untuk menguatkan bahagian itu bagi menghadapi Piala AFF Disember ini. Adakah ini langkah yang tepat?
Safawi mungkin dicuba sebagai pemain tengah. - Kredit foto: FAM
Bagi Semut Api, untuk jangka masa pendek, idea ini boleh dipertimbangkan kerana Safiq masih yang terbaik jika dibandingkan dengan pemain tengah tempatan yang kita ada sekarang.
Tapi, untuk jangka masa panjang, kita perlu mencari atau melahirkan seorang playmaker sehebat Azizol atau paling tidak setaraf Safiq. Malah, kalaulah Cheng Hoe ada keberanian, mengapa tidak cuba membentuk Safawi Rasid sebagai playmaker baharu.
Mungkin ada
yang tersengih sinis dengan idea ini apatah lagi daripada orang macam Semut
Api. Tapi, jika kita masih ingat, jurulatih Pahang, Frank Lord pernah
membuktikan idea yang tak masuk akal boleh membawa perubahan apabila beliau
menukar posisi Zainal Abidin Hassan daripada pemain pertahanan ke bahagian serangan. Hasilnya dapat kita lihat.
Semut Api: Suka mencuba.
Hashim Mustapha
KAJI KUOTA PEMAIN IMPORT
Terlanjur bersembang mengenai skuad bola sepak kebangsaan, ada juga pandangan menyatakan salah satu sebab mengapa Malaysia gagal melahirkan penyerang berkualiti adalah kerana kebanjiran pemain import dalam liga kita.
Mereka berpendapat, kuota lima import untuk pasukan Liga Super, empat untuk Liga Perdana malah dibenarkan juga untuk Liga M3 menyebabkan ramai bakat tempatan tidak mendapat peluang untuk menonjolkan kebolehan mereka.
Semut Api pernah berbual dengan beberapa orang bekas pemain, salah seorang adalah pemenang Kasut Emas 1994, Hashim Mustapha yang memang tidak bersetuju dengan kuota pemain import sekarang yang dianggapnya membunuh bakat tempatan.
Kata Hashim, walaupun ada hujah menyatakan masih ada enam slot boleh diisi pemain tempatan namun ternyata posisi penyerang didominasi oleh pemain import, sekali gus menutup peluang penyerang tempatan menunjukkan kemampuan yang memberi kesan kepada skuad kebangsaan.
Malah, persaingan sihat yang sering dicanangkan tidak akan berlaku kerana mentaliti kita yang masih dijajah dengan pemikiran bahawa barangan import lebih berkualiti daripada barangan tempatan pada hal dalam kalangan penyerang import yang dibawa sama saja standard dengan pemain tempatan.
Hashim berpendapat tidak salah bagi pasukan yang berkemampuan apatah lagi yang bertanding pada peringkat Asia membeli seberapa ramai pemain import yang mereka mampu, namun kuota pemain import perlu dihadkan kepada tiga pemain sahaja dalam sesuatu perlawanan liga kita, kalau boleh mengisi posisi pertahanan, tengah dan penyerang.
Semut Api yakin akan ada yang menganggap cadangan ini sebagai langkah ke belakang tapi kalau berundur setapak untuk merancang kemenangan, ia adalah lebih baik daripada kita bersikap bodoh sombong!
Semut Api: Ada tiga kuota lagi.