Seni & Sukan 19 Feb, 2021

Video| Jamal Abdillah terima lamaran rapper, Kmy & Luca! Neraca jadi timbangan gabungan hebat

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


KEDUA-DUA rapper dan komposer ini sudah bekerjasama dengan artis-artis legenda negara, Dato M. Nasir dan penyanyi tersohor, Dato Seri Siti Nurhaliza. 

Namun kepuasan mereka tidak terhenti dengan lagu ‘Zuhud’ mahu pun ‘7 Nasihat’ sahaja tetapi mahu terus berkarya dengan harapan artis hebat, Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah sudi dilamar. 

Mampukah hajat Kmy Kmo dan Luca Sickta kesampaian?

“Ketika Kmy buat rakaman demo lagu ini dia menyanyi ala suara Dato’ Jamal. Malah, dari awal lagi memang sudah pasang niat alangkah menarik jika Dato’ Jamal dapat menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah, rezeki kami apabila  Dato’ Jamal bersetuju,” ujar Luca Sickta menceritakan cita-cita atau ‘wish list’ mereka sejak pada awal pembabitan dalam bidang penulisan dan penciptaan lagu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Luca Sickta:

https://kitareporters.com/search?search=Luca+Sickta



Menurut pemilik nama sebenar Shameer Ashraf Shahruddin, beliau dan Kmy sudah menunggu lama peluang sebegitu iaitu dari zaman sekolah lagi ketika mereka berjinak-jinak dalam menghasilkan muzik.

“Sejak itu kami bercita-cita nak bekerjasama dengan penyanyi legenda. Diakui kami memang ada senarai nama penyanyi-penyanyi itu,” sambung Luca pada majlis sidang media virtual lagu terbaharu mereka, ’Neraca’ via Zoom pada Khamis 18 Februari 2021. 

Turut hadir tentulah rakan duet mereka yang diidamkan itu, Jamal Abdillah.




“Awalnya, muzik lain. Tapi, selepas Dato’ Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal. 

"Kami berasakan muzik tradisional ini tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi moden. Kalau peminat lama mendengar lagu ini pun, mereka tetap akan mengenali muzik ini,” tambah Luca.

Bercerita lanjut mengenai kolaborasi bersama Jamal, Luca memberitahu, sepanjang proses rakaman, Jamal sangat mesra.

“Kami ingat dia seorang legenda yang ‘diva’, tapi dengan kami dia okay. Tidak ada langsung rasa kekok, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. 

"Sikap yang ditunjukkan itu tidak membuatkan kami rasa takut dan segan,”  akui  Luca dan Kmy atau nama sebenarnya, Lukmanul Hakim.



Pun begitu, mereka berdua akui bukan mahu bekerjasama dengan penyanyi legenda yang bergelar  ‘Dato’ semata-mata tetapi ia lebih kepada merealisasikan impian.

“Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda. Setakat ini, kami sudah selesai dengan genre yang diwakili setiap legenda itu.

"Tinggal lagi genre rock pula. Dan Insya-Allah, selepas itu baru kami ke senarai penyanyi ‘A list’ pula. 

"Kami sudah ada lagu dan senarai nama penyanyi. Dalam masa sama, kami juga akan buat projek bersama penyanyi baharu yang mempunyai bakat dan vokal bagus,” tambah mereka yakin.

Sementara itu, Jamal Abdillah menyifatkan kerjasama dengan Kmy dan Luca dalam lagu 'Neraca' sebagai  satu pengalaman baharu.

“Proses rakaman sangat santai, mudah dan tidak terlalu sukar. Kerja dengan anak muda memang seronok dan mereka berdua sangat berbakat,” jelas Jamal yang terdahulu berduet bersama penyanyi muda, Wany Hasrita melalui lagu ‘Belenggu Cinta’ yang bakal bersaing dalam pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 pada bulan Mac 2021.



“Begitu juga ketika proses penggambaran video muzik, ia penuh erti yang tersurat yang perlu dihayati. Mesej yang ingin disampaikan agak kuat. Ia berkisar mengenai perjalanan manusia dalam menempuh peredaran masa sebagai manusia biasa.

"Banyak mesej bagus dan ditampilkan dengan keunikan yang lain daripada lain. Ia sekali gus membuatkan lagu ini sesuatu yang sangat bererti buat saya sebagai penyanyi era lama dalam penghasilan video muzik,” komen Jamal panjang lebar membayangkan keterujaannya dengan gabungan tersebut.

Beliau turut berharap lagu terbaharunya itu diterima pendengar muzik terkini, terdahulu dan ketika zamannya.

“Melodi dan muzik lagu ini agak unik termasuklah rap yang disampaikan sangat bermakna. 

"Jadi, harapan saya untuk lagu ini sangat tinggi dan semoga ia diterima oleh pendengar muzik terkini, terdahulu dan ketika zaman saya. Ini kerana lagu ini menggabungkan kedua-dua generasi,” tambah Jamal.

Masih mengekalkan genre hip hop dengan gabungan muzik ghazal dan reggae, lagu 'Neraca' sebenarnya sudah  dihasilkan sejak 2018 lagi.





Menurut Kmy Kmo, lagu berkenaan diperam selama dua tahun untuk disimpan sambil menunggu masa yang sesuai untuk dilancarkan.

”Alhamdulillah, pertengahan tahun 2020 lalu, kebetulan Datuk Jamal ada kerjasama dengan syarikat rakaman Universal Music Malaysia. Dari situ kami ambil peluang menawarkan lagu tersebut kepada beliau,” kenang Kmy.



‘Neraca’ boleh dikatakan kesinambungan mesej daripada lagu ‘Zuhud’ yang dilancarkan pada Disember 2019, mengenai kehidupan yang berlaku sekarang, apatah lagi dalam zaman media sosial, gejala sosial semakin menjadi-jadi.

“Faktor terbuka dijadikan alasan untuk buat masalah. Disebabkan itu, dalam lirik lagu ini kami menyenyuh soal Ketuhanan. Malah, dalam video muzik pula mengenai manusia yang terikat dan suka leka dengan apa yang ada di atas muka bumi.

“Cuma apa boleh dikatakan, muzik lagu ini berat daripada Zuhud. Apa pun ikut selera pendengar juga. Mungkin ada yang suka dan sebaliknya,” kata Kmy.

Lagu ‘Neraca dilancarkan secara rasmi dalam semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, Deezer, KKBOX dan YouTube Music bermula hari ini 19 Februari 2021. Malah,  turut ditayangkan video muzik rasmi lagunya di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada jam 9 malam ini. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested