KEMUNCULAN wabak pandemik COVID-19 secara tidak langsung menambah beban tugas guru-guru sekolah di Malaysia dan mungkin juga perkara sama dihadapi tenaga pengajar di beberapa negara lain di dunia. Bermula dari melangkah masuk sekolah, makan minum dan bergerak pulang semuanya perlu diawasi guru setiap hari. : KitaReporters
Kredit foto-foto: Amir Hamzah Nordin
Lagi berita-berita berkaitan sekolah:
https://kitareporters.com/search?search=sekolah
Kemunculan COVID-19 sejak awal tahun ini telah merubah keseluruhan tatacara dan perjalanan hidup rakyat walau di negara mana mereka berada.
Tidak terkecuali Malaysia di mana rakyat berusaha menikmati kehidupan normal baharu dengan mematuhi semua saranan kerajaan terutama dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Tolonglah patuhi arahan kerajaan wahai rakyat sekalian!
Institusi pendidikan antara sektor yang sangat terkesan dengan penularan wabak ini. Di sekolah, SOP amat dititikberatkan.
Hari ini, pelajar tidak lagi bebas berlarian dan berkejaran bermain. Tidak lagi bebas beriringan menuju ke kantin untuk makan di waktu rehat. Semuanya perlu dikawal oleh guru.
Tak best macam ni lah!
Pekerja kantin menghantar makanan ke Pusat Pengambilan Makanan
Kantin tidak lagi dibuka untuk menjamu selera sebaliknya hanya menerima pesanan daripada guru-guru selepas mendapat tempahan daripada ibu bapa atau penjaga sehari sebelum diedarkan kepada murid. Makanan pula dihantar ke kelas oleh guru.
Dah macam layanan persis anak raja. Betul-betul norma baharu.
Sejak sekolah dibuka semula, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak pengurusan sekolah sudah bersedia melaksana garis panduan amalan SOP yang terbaik.
Tidak terkecuali warga Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (MGS), Raub yang amat menitikberatkan amalan SOP malah pelaksanaannya sangat ketat dengan kaedah yang tersendiri
Sekolah yang mempunyai 171 pelajar dan 29 guru itu sangat komited dalam menjaga keselamatan warganya.
Norma baharu di mana pelajar perlu makan di kelas masing-masing ketika waktu rehat
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (MGS), Zairish Zakaria
Pengetuanya, Zairish Zakaria berkata, kantin sekolah adalah kawasan larangan yang telah ditetapkan. Justeru, semua juadah yang dijual dibungkus terlebih dahulu oleh pihak pengusaha kantin mengikut menu harian yang sudah ditetapkan.
"Semua menu sudah ditetapkan mengikut hari dan tempahan dibuat lebih awal dan dibayar kepada guru kelas masing-masing untuk diserahkan kepada pihak kantin," katanya.
Dah macam pesanan 'food delivery' jadinya.
Katanya, pengusaha kantin akan menghantar ke 'pusat pengambilan makanan' berdekatan kantin dan guru akan mengambilnya sebelum menyerahkan kepada pelajar yang menempah.
"Mungkin nampak remeh tetapi itu adalah cara terbaik mengehadkan pergerakan pelajar bagi mengekang penularan wabak," katanya.
Selagi berada di sekolah, selagi itulah SOP wajar dipatuhi. Jangan ikut rasa nanti binasa.
Pelajar menikmati makanan di waktu rehat dalam kelas sahaja
Bukan kantin sahaja menjadi kawasan larangan, perpustakaan juga ada SOP tau. Bukan boleh senang-senang nak masuk!.
Guru medianya, Nurraishah Othman menitipkan pesanan bahawa setiap pelajar perlu mengambil bacaan suhu dan mencuci tangan dengan cecair antiseptik yang disediakan sebelum memasuki perpustakaan.
"Setiap buku yang sudah dibaca atau dipegang hendaklah diletakkan di tempat pengasingan untuk disanitasi bagi membendung penularan COVID-19," katanya.
Warga sekolah termasuk guru dan pelajar bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan sekolah dengan melakukan sanitasi kelas, peralatan di makmal, bengkel serta bilik-bilik khas lain sebagai tanggungjawab bersama.
Semua perlu bersikap terbuka dalam membendung penularan wabak.
Sehingga kini bacaan suhu masih wajib diambil setiap hari ke atas pelajar sebelum dibenarkan melangkah masuk ke kawasan sekolah.
Yang kurang sihat tidak perlu ke sekolah dalam situasi sekarang tetapi perlu ada surat pemberitahuan.
Bukan cuti ikut suka hati awak tau!
Pusat pengambilan makanan
Norma baharu memerlukan pelajar mematuhi SOP ditetapkan.
Wajib patuh arahan sekolah dengan mengikut laluan yang bertanda menuju ke kelas bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi, duduk di meja dalam jarak satu meter, makan di dalam kelas ketika waktu rehat serta tidak melupakan pelitup muka kecuali dalam keadaan tertentu. - KitaReporters