PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar yang melibatkan kebanyakan negeri di Malaysia tidak boleh dinafikan telah menyukarkan banyak amalan harian yang menjadi kebiasaan hidup kita. Setakat ini, PKP telah dikuatkuasakan sepenuhnya di tujuh negeri (pada mulanya, hanya enam). : KitaReporters
Gambar hiasan... Pernikahan secara online atau melalui sidang video.
Lagi cerita-cerita berkaitan nikah online:
https://kitareporters.com/search?search=nikah+online
Oleh sebab itu, corak kehidupan kita wajar diolah semula agar bersesuaian dengan perintah yang telah dikenakan ke atas kita semua bagi tujuan membendung penularan virus maut COVID-19 ini. Inilah yang dinamakan sebagai amalan norma baharu yang dicanang selama ini.
Antara yang terkesan setelah kerajaan memerintahkan PKP ini ialah para pasangan yang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
Dalam proses mendirikan rumah tangga ini wajarlah untuk kita tidak melengahkannya tanpa sebarang alasan yang kukuh. Apatah lagi agama Islam turut menyarankan agar kita semua mempercepatkan urusan perkahwinan sekiranya semua perkara telah tersedia.
Bagi memudahkan urusan tersebut, upacara akad nikah di seluruh negeri Selangor akan dilakukan secara sidang video sepanjang tempoh pelaksanaan PKP yang bermula 13 Januari hingga 26 Januari 2021 depan.
Gambar hiasan.... Nikah secara online yang pertama di Malaysia.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad, akad nikah, bagaimanapun hanya dilaksanakan kepada pasangan yang telah mendapat kebenaran berkahwin dan mempunyai temu janji tarikh akad nikah daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) atau Masjid Pengurusan sahaja setakat ini.
“Akad nikah dilakukan oleh pendaftar yang akan berada di PAID manakala pengantin, wali dan dua saksi berada di rumah.
“Pegawai Tadbir Agama (PTA) setiap daerah akan menetapkan pelaksanaan majlis akan nikah berdasarkan temu janji yang sudah diatur,” katanya dalam satu kenyataan kepada KITA Reporters.
Tambah beliau lagi, bukan proses perkahwinan sahaja, malah lain-lain perkhidmatan utama yang diberikan oleh JAIS selama ini yang melibatkan urusan nikah, cerai dan rujuk turut dilaksanakan secara atas talian sepanjang tempoh berkenaan.
“Sebanyak 10 kaunter talian telefon iaitu 03-55143600 atau 03-55143400 dibuka di One Stop Centre di aras bawah, Bangunan Sultan Idris Shah untuk konsultasi perkhidmatan dan urusan temu janji setiap Isnin hingga Jumaat,” jelasnya.
Walaupun pelaksanaan PKP yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Pengisytiharan Proklamasi Darurat yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ini mendapat banyak reaksi rakyat, namun JAIS tetap akan menghormati keputusan tersebut dan akan terus melaksanakan tugas dengan sehabis baik.
Dalam perkembangan berbeza pula, apabila menyentuh isu solat Jumaat dan solat fardhu di semua masjid dan surau seluruh negeri Selangor, beliau menjelaskan bahawa setiap solat Jumaat dan aktiviti di masjid serta surau ditangguhkan serta merta.
Orang Islam di negeri ini diminta untuk menunaikan solat zuhur di kediaman masing-masing sebagai ganti kepada tuntutan ibadah Solat Jumaat.
Katanya lagi, lima petugas masjid dan Surau Kebenaran Jumaat yang dijadualkan bertugas boleh mendirikan solat Jumaat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) biasa. - KitaReporters