SEBELUM ini pernah tular di negara kita mengenai raja bomoh dan seorang wanita yang didakwa melakukan ritual menolak musibah banjir, sekali gus memaksa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan.
Rupanya di negara jiran juga berlaku perkara sama apabila muncul ‘bomoh hujan’ yang mendakwa boleh membantu memulihkan cuaca di kawasan Litar Mandalika di daerah Lombok Tengah di Indonesia itu yang kini berlangsung sebagai lokasi perlumbaan MotoGP dalam pertandingan kejuaraan Asia Talent Cup (ATC).
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bomoh
Sayangnya, disebabkan faktor cuaca dan keadaan hujan menyebabkan beberapa acara terpaksa ditangguh atas faktor keselamatan, sekali gus menjadikan sambutan dan keunikan Litar Mandika yang mampu memuatkan kapasiti penonton sehingga 50,000 orang, manakala kawasan berdiri pula mempunyai kapasiti sehingga 138,000 orang kurang menyerlah.
Lucunya dalam kekalutan itu muncul seorang wanita di litar sepanjang 4.31 kilometer dengan 17 buah selekoh tajam itu dan mendakwa mampu 'menyelesaikan' masalah berkenaan.
Pawang hujan yang dikenali sebagai Rara Isti Wulan dikatakan melakukan ritual apabila ketika ini perlumbaan MotoGP yang sepatutnya bermula pukul 3 petang tadi terpaksa ditangguhkan selepas hujan lebat membasahi keseluruhan litar.
“Kehadiran saya di sini adalah untuk menurunkan suhu agar lembab dan sejuk dengan sedikit hujan di sekitar Litar Mandalika,” kata Rara.
Difahamkan, wanita itu pernah menjadi pawang hujan ketika acara pembukaan temasya Sukan Asia 2018 di Jakarta.
Video wanita tersebut dimuat naik sendiri oleh akaun rasmi MotoGP dengan kapsyen “The master…” menjadi tular.
Malah, bomoh perempuan yang bertopi putih dilihat duduk dalam keadaan hujan sambil membawa mangkuk bersalutkan emas sambil mengetuk-ngetuk mangkuk itu.
Bukan itu sahaja wanita tersebut juga kelihatan berjalan berkaki ayam di sekitar litar berkenaan sambil membawa mangkuk berwarna keemasan sambil membaca jampi.
Situasi itu bukan sahaja mengejutkan penonton dari luar negara, malah rakyat Indonesia juga terkedu dengan ritual karut dan tidak masuk akal itu.
Keadaan tersebut mengundang pelbagai rekasi peminat MotoGP dalam Twitter. Ada yang melahirkan rasa malu, namun tak kurang juga yang ketawa melihat situasi itu!
Rupanya di tahun 2022 pun ada lagi yang masih mengamalkan budaya karut seperti ini. Sudah-sudahlah! - KitaReporters