Penyanyi berbakat besar, Naufal Azrin, akhirnya kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single solo terbaharu berjudul “Cinta Ini”, sekali gus menandakan kemunculan semula beliau selepas lebih dua tahun tidak tampil dengan karya solo.

“Cinta Ini” merupakan sebuah karya penuh emosi yang mengetengahkan sisi matang Naufal sebagai seorang penyanyi.
Lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya oleh komposer meningkat naik, Wan Saleh, yang semakin mendapat perhatian menerusi sentuhan muziknya yang segar dan relevan dengan citarasa pendengar masa kini.
Mengangkat tema cinta yang jujur dan mendalam, “Cinta Ini” memperlihat perkembangan vokal serta interpretasi Naufal yang lebih berlapis, selari dengan perjalanan peribadi dan artistiknya sepanjang tempoh ketiadaan beliau daripada pentas solo.

Lagu ini dijangka menjadi penghubung semula antara Naufal dan peminat yang sekian lama menantikan kemunculan terbaharunya.
Lebih istimewa, “Cinta Ini” juga merupakan single sulung Naufal Azrin di bawah naungan label Negrizen Music, membuka lembaran baharu dalam kerjaya seninya.
Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan Naufal dalam industri muzik serta memperluas jangkauan karyanya ke tahap yang lebih tinggi.
Single “Cinta Ini” kini boleh distrim dalam semua platform digital utama dan diharap dapat diterima baik oleh pendengar serta menjadi penanda aras baharu buat perjalanan muzik Naufal Azrin. - KitaReporters/Kenyataan Media
