Seni & Sukan 25 Aug, 2021

Video| Kita tak kisah kena kad merah! Pecah muka dia satgi! Tular video Syazwan lepas geram?

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


KEJAYAAN Kedah FC mengalahkan Terengganu FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu, pada aksi Liga Super, Sabtu, 21 Ogos, 2021 lalu dibayangi insiden ‘lepas geram’ oleh pemain sayap pasukan itu, Syazwan Zainon. 

Sejak Ahad, 22 Ogos, 2021, tular sedutan video ‘kenyataan panas’ Syazwan sehingga menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak yang mana secara tidak langsung menenggelamkan kisah kemenangan Kedah itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Liga Super

Video sedutan perlawanan Terengganu FC- Kedah FC membabitkan Syazwan Zainon yang kini tular dalam media sosial.


Melalui video berkenaan yang disedut daripada siaran langsung perlawanan, Syazwan atau dikenali sebagai Wan Karpet, secara spontan meluahkan rasa marah kepada seseorang yang dipercayai ditujukan kepada pemain Terengganu.

“Kita tak kisah kena kad merah! Pecah muka dia satgi!” kata Syazwan spontan kepada pembantu pengadil tanpa menyedari kenyataan lepas geram itu jelas dapat didengar oleh penonton yang menonton siaran langsung itu.


Syazwan menjaringkan gol kedua Kedah untuk mengalahkan Terengganu 2-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Sabtu 21 Ogos, 2021. - Kredit foto: MFL


Dalam rakaman itu kedengaran pembantu pengadil cuba menenangkan Syazwan dengan berkata: “Dah,dah… mikrofon dengaq (dengar) satgi, tak baik.”

Ia kemudian dibalas oleh pemain itu dengan kata-kata: “Kuang ajaq (Kurang ajar). Muda lagi kot.”

“Tau,tau,” jawab pembantu pengadil.

Insiden itu berlaku ketika Syazwan yang sebelum itu dirawat kerana mengalami kecederaan berjalan keluar padang untuk digantikan oleh Fayadh Zulkifli pada minit ke-57.

Walaupun tidak jelas kepada siapa kenyataan lepas geram itu ditujukan namun peminat membuat andaian ia dihalakan kepada pemain muda Terengganu, Faisal Halim ekoran beberapa insiden pertembungan yang berlaku antara kedua-dua pemain itu sepanjang perlawanan.


Insiden membabitkan Faisal Halim dengan Azimuddin Akil di Stadium Darul Aman pada April 2021 lalu kembali diperkatakan ekoran kenyataan panas Syazwan.


Pada saya apa yang dikatakan oleh Syazwan itu sekadar luahan untuk melepaskan rasa marah walaupun bunyinya macam mengugut 


Malah, penyokong turut mengungkit semula beberapa insiden membabitkan Faisal yang didakwa kerap melakukan provokasi dan kekasaran ke atas pemain lawan sehingga hampir mencetuskan pergaduhan.

Antaranya, insiden antara Faisal dengan pemain Kedah, Azamuddin Akil dalam perlawanan di AlorSetar pada April 2021 lalu yang memaksa pengadil campur tangan menenangkan keadaan.

Pada perlawanan menentang Kuala Lumpur pula, Faisal sekali lagi menjadi tumpuan apabila kekasarannya ke atas Hadin Azman nyaris mencetuskan pergaduhan apabila Hadin bertindak mencekak baju pemain Terengganu itu. Kedua-dua pemain kemudian dilayangkan kad kuning.


Subkhiddin Mohd Salleh. - Kredit foto: NSTP


Bagi bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh, insiden yangmembabitkan Syazwan adalah perkara biasa yang merupakan asam garam dalam bola sepak. 

“Permainan bola sepak memang membabitkan emosi, jadi ada ketika pemain gagal mengawal perasaan lalu meluahkannya. Pada saya apa yang dikatakan oleh Syazwan itu sekadar luahan untuk melepaskan rasa marahnya walaupun bunyinya macam mengugut.

“Dari sudut pengadilan, ia tidak dianggap sebagai satu kesalahan kerana ia tidak membabitkan perbuatan, lainlah kalau dia berkata begitu sambil disertakan perbuatan yang secara sengaja berniat mencederakan lawan, sudah tentu pengadil akan menghukumnya.

“Tapi, dalam kes Syazwan, kita dapat lihat dia hanya bercakap, meluahkan kepada penjaga garisan dan tidak disertakan dengan perbuatan. 

"Malah, sesuatu yang patut dipuji, pegawai perlawanan itu cuba menenangkannya. Itulah tanggungjawab pegawai perlawanan bila berdepan situasi sedemikian.

“Perkara-perkara sebegini biasa berlaku dalam bola sepak. Selalunya, masa perlawanan saja panas, selepas perlawanan pemain akan kembali sejuk dan saling maaf memaafkan.


Pemain Kedah meraikan kejayaan mengalahkan Terengganu 2-1. - Kredit foto: Kedah FC.


“Cuma, kes Syazwan ini menjadi viral (tular) sebab ia kebetulan dirakam, Pada saya, tiada isu untuk peminat perbesarkan pun,” ujar Subkhiddin.

Sebaliknya, menurut Subkhiddin, kes yang sepatutnya diberi perhatian dalam perlawanan itu adalah insiden pemain Terengganu, Rahmat Makasuf yang dengan sengaja menjatuhkan bendera dipegang oleh penjaga garisan sebagai protes kepada keputusan pegawai perlawanan itu.

“Kalau ikut peraturan, ia adalah kesalahan yang boleh dikenakan kad merah. Walaupun dia tidak menyentuh pengadil tetapi menjatuhkan peralatan yang digunakan pengadil adalah kesalahan serius,” katanya.

Rahmat bagaimanapun hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Dalam perlawanan itu, Kedah memperoleh gol melalui Rabih Ataya dan Syazwan Zainon sementara Terengganu membalas melalui David da Silva. - KitaReporters


 

 

 

1
0
0
0
0
You will be interested