
SEBUT sahaja Taj Mahal pasti ramai tahu mengenai sejarah bangunan yang tersenarai sebagai antara tujuh keajaiban dunia!
Bangunan berwarna putih yang terletak di bandar Agra, India ini dikenali sebagai lambang cinta Maharaja Moghul, Shah Jahan terhadap isterinya, Mumtaz Mahal.
Bangunan bersejarah ini menjadi tumpuan orang ramai yang datang dari setiap pelosok dunia. Kisah cinta agung Shah Jahan terhadap isterinya sehingga kini menjadi bualan dan ikutan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Taj Mahal

Jadi tidak hairanlah apabila ada segelintir yang mengabadikan kisah tersebut ke dalam kehidupan seharian bagi menzahirkan rasa cinta terhadap pasangan masing-masing.
Kisah seorang guru di India yang sanggup membina rumah mirip Taj Mahal adalah bukti kisah agung tersebut cuba dipraktikkan oleh generasi kini.
Memetik laporan dari portal Dailymail, guru bernama Anand Prakash, 52, yang berasal dari Burhanpur, Madhya Pradesh, membina sebuah rumah atau replika Taj Mahal untuk isterinya, Manju Shah yang juga seorang guru.

Menurut Anand, rumah tersebut dibina sebagai lambang cintanya terhadap isteri.
Berkeluasan 10,000 kaki persegi, rumah tersebut dibina dari batu marmar. Sama seperti mausoleum abad ke-17 yang terkenal, salah satu daripada tujuh keajaiban dunia, ia menampilkan menara di sekeliling luar dan kubah manakala lantai dan muka depan diperbuat daripada guli dari Makrana yang juga pada asalnya digunakan di Taj Mahal.
Rumah itu, kira-kira satu pertiga saiz bangunan asal, mempunyai empat bilik tidur, satu dewan, perpustakaan dan bilik meditasi dan mengambil masa tiga tahun untuk dibina.

Anand, yang enggan mendedahkan kos rumah itu, berkata dia mahu membuat rumah unik di pekan kecil yang akan kekal menjadi bualan ramai selama-lamanya.
“Apa yang lebih baik daripada membina Taj Mahal? Rumah ini adalah simbol cinta saya kepada isteri seperti Mumtaz Mahal," kata Anand mengenai rumahnya yang menakjubkan itu.
Kubah rumah itu setinggi 29 kaki serta mempunyai menara seperti makam dan lantai. Dilihat dari luar, ia tidak ubah seperti Taj Mahal! - KitaReporters
