Seni & Sukan 05 Jul, 2022

Terbaik Sir Mizie! Buku Writing Made Easy (Part 1)! Pengalaman ajar bahasa Inggeris di pedalaman!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Walaupun bertahun-tahun lamanya mengajar di sekolah pedalaman Sabah Cikgu Tarmizi tetap bersemangat melaksanakan tugas seorang guru.


BUKAN mencari populariti atau glamor, seorang guru di pedalaman Sabah akhirnya mencapai impian yang terpendam selama 16 tahun untuk menulis buku bagi membantu pelajar menguasai dan mahir dalam Bahasa Inggeris (BI).

Cikgu subjek BI, Sekolah Kebangsaan Ulu Muanad, Beluran, Sabah, Mohamad Tarmizi Mohamad, berkata kesusahan dan menempuh pelbagai rintangan mengajar di pedalaman Sabah selama 12 tahun hingga sekarang tidak pernah meluntur semangatnya menulis buku untuk dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar di seluruh negara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan buku-buku


Menurutnya, sejak pada zaman belajar di Institut Pendidikan Guru lagi dia sudah menanam keazaman bagi memenuhi impian menghasilkan buku walaupun dalam serba kekurangan apabila mengajar di pedalaman Sabah demi menabur bakti kepada pelajar.

Jelas  beliau, akhirnya dengan pengalaman mengajar subjek BI di beberapa sekolah di Sabah dan segala ilmu dipelajari serta ditemukan semasas menjadi guru dimasukkan dalam buku bertajuk ‘Writing Made Easy (Part 1)’ yang sudah dipasarkan secara dalam talian pada harga RM29.99 senaskhah sejak awal Jun 2022 lalu.

“Saya menghasilkan buku ini untuk memudahkan pelajar menguasai BI dengan mudah kerana kita semua sedia maklum BI adalah subjek ‘killer’ di sekolah.

“Matlamat saya menulis buku ini adalah untuk mengukuhkan asas penulisan BI dalam kalangan pelajar walaupun di mana mereka berada terutama yang menetap di kawasan kekurangan kemudahan termasuk Internet,” katanya ketika dihubungi.


Cikgu Tarmizi sentiasa teliti dalam memilih dan membina bahan mengajar supaya berkesan kepada pelajarnya.


Cikgu Tarmizi berkata, dia mengambil tempoh selama setahun untuk menyiapkan buku berkenaan dan terpaksa mengambil langkah berhati-hati dalam mengumpulkan maklumat serta menyusun idea untuk digarap dalam buku itu.

Menurutnya, kandungan buku itu adalah untuk membantu pelajar menguasai asas penulisan dengan menggunakan kaedah memudahkan buat ayat BI (PAOP) yang dia cipta untuk murid di sekolahnya dan kaedah itu telah dimuatnaikkan ke saluran YouTube Sir Mizie selain memenangi Anugerah Khas Juri CikgooTube Kinabalu, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah pada awal tahun 2022.

Dalam proses menyiapkan buku itu, jelas beliau, terpaksa menghadapi cabaran utama iaitu ‘mental blocks’ yang dia hadapi ketika menulis berikutan tekanan masa tidak mencukupi kerana dia sibuk dengan tugas sebagai guru dan juga melatih pasukan bola tampar sekolah.

Cikgu Tarmizi berkata, secara asasnya buku itu sesuai untuk pelajar Tahun Dua hingga Tahun Empat manakala untuk sekolah menengah Tingkatan Satu hingga Tingkatan Dua, bagaimanapun buku berkenaan boleh dimanfaatkan semua peringkat umur termasuk mereka yang hendak mempelajari BI dan juga ingin membuat pengukuhan penggunaan bahasa berkenaan.


Cikgu Tarmizi bersama buku ‘Writing Made Easy (Part 1)’  hasil tulisannya selepas 12 tahun mengajar subjek Bahasa Inggeris di sekolah kawasan pedalaman Sabah.


Tambahnya, untuk peringkat pertama 1,000 naskhah buku sudah dicetak yang mendapat sambutan memberangsangkan di samping sokongan dan restu daripada guru besar sekolah beliau serta pejabat pendidikan daerah.

“Buku ini bukan dinilai pada mutu kertas dan berapa banyak helaian muka surat. Buku ini adalah hasil pengalaman profesional saya mengajar BI selama 12 tahun, apabila teknik dan pendekatan yang saya bina dimasukkan dan digarapkan ke dalam buku ini.

“Buku ini adalah hasil cinta saya kepada ilmu yakni BI dan ia juga hasil cinta saya kepada semua anak didik yang dahagakan ilmu walaupun mereka berada jauh di pedalaman tetap bersemangat menimba ilmu,” katanya. - KitaReporters


Buku Cikgu Tarmizi boleh dibeli terus menerusi dalam talian aplikasi Shopee

28
10
0
10
0
You will be interested