Seni & Sukan 16 Aug, 2023

Video| OK ke tu? Tanya Faizal Tahir! Lagu baharu mesej baharu! Sarat nasihat berguna! Okey tak ni?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


OK’ dua abjad pendek tetapi membawa pengertian yang bermakna dalam pertuturan harian kita apatah lagi ia menjawab dengan ringkas apa sahaja pertanyaan, persoalan mahu pun arahan yang ditujukan kepada seseorang.

Dan jawapan ‘OK’  menjadi bahasa mudah yang dilontarkan sebagai kata putusnya malah pengertian atau mesej di sebaliknya mempunyai makna tersendiri kepada penerimanya.

Kini, pencipta lagu, penerbit muzik dan penyanyi yang terus mengekalkan rekod cemerlang dalam industri muzik tanah air, Faizal Tahir memilih ‘OK’ sebagai tajuk single terbaharunya.



Ciptaan bersama Ezra Kong, pemilik nama sebenar Ahmad Faizal Muhammad Tahir, 45, ini memilih ‘OK’ dengan niat memupuk semangat dan motivasi dalam jiwa pendengar agar jangan mudah putus asa dalam perjuangan hidup.

“Dunia ini penuh cabaran ditambah lagi ramai yang cuba menjatuhkan dan menyakiti kita menggunakan kata-kata. Namun tidak perlu kita terbawa emosi untuk membalas. Boleh jawab ‘no comment’ saja,”  ujar Faizal berhubung lagu terbaharunya itu.

Jadi kenapa tak pililh tajuk ‘No komen’ sahaja Faizal? Lebih tepat ya tak? 

Apa pun itu pandangan penulis yang pasti figura terkenal yang terus mengekalkan rekod cemerlang dalam industri muzik tanah air ini tentu mempunyai alasan kukuh kenapa memilih tajuk ‘OK’  walaupun  dalam liriknya memang ada  disebut, 'Kau Puji pun No Komen, No Komen..."

Penulis OK je, saje mengusik Faizal…



Yang pasti satu kelebihan bagi plantun lagu ‘Ragaman’ ini setiap karyanya dihasilkan sarat dengan mesej berguna bukan sahaja untuk diri sendiri, malah buat pendengar sehingga terus menjadi idola bagi generasi baharu sama ada menerusi bidang nyanyian mahupun dunia penciptaan lagu.

Tak kira apapun genre lagu yang ditampilkan Faizal berjaya memikat hati pendengar, sekali gus mencipta fenomena tersendiri.

Dan kini dengan ‘OK’ sudah pasti ia sebuah lagi lagu yang mendapat tempat di hati pendengar apatah lagi  dah pun trending dan membuatkan Faizal tersenyum lebar.



"OK' mengetengahkan elemen dikir barat dalam rentak dan produksi moden waima kedengaran jauh berbeza daripada 

kebanyakan karya Faizal sebelum ini. 

“Dari awal pembabitan dalam bidang seni lagi saya sentiasa ingin mencuba benda baharu. Bagi saya, versatiliti itu penting. Dalam dunia seni, versatiliti membolehkan anda bereksperimentasi dengan pelbagai aspek kreativiti,” kata Faizal.

Apa yang menarik, eleman muzik dan bunyi yang dipersembah dalam lagu 'OK' terbitan Faithful Music ini seakan memberi isyarat yang mana muzik Faizal juga berubah secara perlahan-lahan.

“Ya, saya setuju. Faktor umur dan pengalaman banyak memainkan peranan,” tambahnya.

Sama seperti kebanyakan lagu sebelum ini seperti 'Ragaman' mahu pun 'Santai', bait liriknya sarat dengan mesej berguna dan juga berunsur nasihat. Buktinya, penerimaan peminat terhadap karya sebegitu sangat bagus.

“Alhamdulillah. Itulah tanggungjawab saya sebagai anak seni. Apa yang paling penting adalah peringatan kepada diri sendiri terdahulu.

“Jadi, keunikan single ini juga adalah mesej yang ingin disampaikan. Muzik tetap muzik, kita boleh berikan pelbagai jenis yang sedap didengar, tetapi apa yang penting, mesej yang ingin disampaikan,” sambung Faizal.

Memberikan komen seterusnya, Ezra berpendapat dalam masa sama, mesej yang ingin disampaikan adalah kekal tabah dan teruskan pencarian seperti seorang pendekar.

“Berdisiplin tanpa henti-henti, memperbaiki dan memperkasakan diri,” ulas Ezra Kong.

Berkongsi lanjut perkembangannya, Faizal memberiahu, selepas ‘OK’ beliau masih belum lagi terfikir untuk mengetengahkan muzik lain dalam karya lain selepas ini.

“Buat masa ni belum ada terfikir. Tapi jika ada lagu baharu selepas ini pastinya benda yang belum pernah saya buat. Saya ingin terus menerapkan elemen muzik tradisional atau nusantara di dalam lagu-lagu baharu,” jelasnya.



Dalam perkembangan lain, Faizal bakal menjayakan konsert solo pertamanya ‘Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur’ yang dibawakan oleh Allianz Malaysia Berhad, pada 2 September 2023 ini di Dewan Merdeka, World Trade Centre pukul 8.30 malam.

“Insya-Allah, lagu 'OK' ini akan saya nyanyikan pada konsert nanti. Lagu baharu lain pula tiada. Tapi akan ada lagu lama yang diberi nafas baharu,” ujarnya. - KitaReporters



15
12
0
12
0
You will be interested