
Dari kiri: Bulan Asyraff, To Chin Swee, Riezman Khuzaimi dan Adelyn Heng. - Kredit foto kredit: FAS.

KamiSempoi International Agency (KSIA) terus mengukuhkan reputasinya di rantau Asia Tenggara dengan menganjurkan acara tahunan paling berprestij mereka, KamiSempoi Golden Award 2024, yang bakal berlangsung pada 12 Mei 2025 ini di Galaxy Banquet Hall, Sentul.
Acara anugerah itu bukan sahaja meraikan pencapaian para hos live (live host) TikTok di bawah naungan KSIA, malah turut mengiktiraf rakan niaga yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan agensi tersebut.
Masih mengekalkan kedudukan sebagai No. 1 Platinum Agency di Malaysia serta dalam kelompok Top 7 TikTok Agency di Asia Tenggara, KSIA terus komited melahirkan barisan live host berkualiti tinggi di rantau ini.
Tahun ini menyaksikan pertambahan ketara dalam kategori anugerah, dengan 27 kategori dipertandingkan — 12 untuk rakan niaga dan 15 untuk para host.
"Malah, tiga anugerah baharu diperkenalkan iaitu Top Host KamiSempoi Singapura 2024, Indonesia 2024 dan Malaysia 2024. Kesemua pemenang akan bersaing bagi merebut gelaran utama Top Host KamiSempoi of The Year 2024," ujar Pengasas KSIA, To Chin Swee pada sidang media Majlis Anugerah KamiSempoi Golden Award 2024 pada Isnin, 5 Mei 2025 di Kuala Lumpur.

Turut hadir bersama, Duta KamiSempoi, pelakon Riezman Khuzaimi, penyanyi dan pempengaruh Tik Tok Bulan Asyraff dan influencer Tik Tok. Adelyn Heng.
To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Chin Swee, menyifatkan pertambahan kategori dalam acara anugerah ini sebagai bukti kukuh bahawa jenama KSIA kini semakin dipercayai dan diyakini sebagai agensi TikTok terulung di rantau ini.
Kini, KSIA dinaungi oleh 3,100 live host di Malaysia, 1,400 di Indonesia, dan 100 di Singapura, dengan sokongan 27 rakan niaga di Malaysia serta 9 dari luar negara.
Salah satu pencapaian membanggakan adalah kejayaan Adelyn Heng yang menduduki Top 3 live host TikTok di Asia Tenggara dan Top 100 dunia.
Kedudukan itu juga telah membuka ruang untuk beliau dijemput menghadiri acara TikTok di negara luar sebagai wakil rasmi Malaysia.

Throwback... Adelyn Heng bersama Pakchik Chin Swee merakamkan detik kenangan ketika Adelyn memenangi Anugerah Top Host of the Year KamiSempoi Golden Award 2023 pada 2024.
Menurut Chin Swee, KSIA turut meraikan pencapaian rakan niaga seperti BossKlan, KSIA Christ dan Mentol Talent yang mencatat jumlah pendapatan antara tertinggi sepanjang tahun lalu.
BossKlan dilaporkan meraih pendapatan USD$73,000 (RM309,372.41), KSIA Christ USD68,000 (RM$288,182.52) dan Mentol Talent USD$16,000 (RM67,807.65).
Mengorak langkah lebih jauh, KSIA mengumumkan penubuhan label muzik sendiri sebagai sebahagian daripada usaha memperluas empayar perniagaannya selain membuka kilang pembuatan produk.
Kolaborasi sulung bersama MiAw Music menyaksikan pelancaran lagu rasmi bertajuk 'KamiSempoi', hasil ciptaan ahli pengurusan KSIA, Kimchi Kacak.
Pada April lalu, Bulan melancarkan single pertamanya di bawah label MiAw Music berjudul 'Tujuan Hidupku'. Lagu tersebut akan dipersembahkan oleh penyanyi dan influencer TikTok, Bulan Asyraf, atau nama sebenarnya Muhammad Asyraff Mohd Zamani, buat pertama kali sempena acara KamiSempoi Golden Award 2024.
Pemilihan Bulan Asyraf sebagai artis pertama label muzik KSIA bukanlah satu kebetulan. Beliau memulakan karier sebagai busker jalanan sebelum bakatnya ditemui Chin Swee, yang kemudiannya melamarnya menjadi live host di bawah KSIA.
Kejayaan beliau seterusnya membuka peluang lebih besar apabila KSIA menghantarnya menyertai program realiti nyanyian Gimme The Mic, terbitan TikTok dan Astro.
Lebih membanggakan, Bulan berjaya melangkah ke pentas akhir dan dinobatkan sebagai Top 2 dalam The Six, sekali gus menempatkan namanya dalam radar industri hiburan arus perdana.
Sambung Chin Swee, pelancaran label muzik ini menandakan komitmen jangka panjang KSIA dalam mencungkil dan mengasah bakat baharu, khususnya dalam kalangan 'live host' di bawah agensinya yang berpotensi besar dalam bidang seni suara.

Throwback...Pakcik Chin Swee ketika pada acara pelantikan Riezman Khuzaimi sebagai duta KSAI pada 2024.
Dalam pada itu, KSIA turut mengumumkan perancangan untuk membuka pejabat baharu di Sabah dan Sarawak bagi memenuhi permintaan tinggi daripada bakat-bakat 'live host' di Borneo.
Sabah kini mencatat jumlah permintaan tertinggi untuk menjadi 'live host' di bawah KSIA, dan langkah ini dilihat sebagai strategi penting dalam memperluas jaringan serta pengaruh agensi di Malaysia Timur.
“Kami menerima permintaan paling banyak di Sabah. Oleh itu, kami sedang dalam perancangan untuk membuka pejabat KSIA di sana yang akan memberi tumpuan kepada bakat-bakat 'live host' dari Borneo iaitu Sabah serta Sarawak.
“Selain itu, kami juga mahu terus mengukuhkan empayar KSIA di Asia Tenggara dan seterusnya di Asia untuk masa akan datang," akhiri Pak Cik Chin Swee.
Dengan reputasi yang semakin kukuh dan pencapaian yang memberangsangkan, KSIA kini berdiri teguh sebagai antara agensi TikTok paling berpengaruh di rantau ini. - KitaReporters