.
Norayu Damit atau lebih mesra disapa Ayu Damit bukanlah calang-calang penyanyi yang boleh dipandang sebelah mata sungguh pun namanya jarang-jarang disebut tidak seperti Dayang Nurfaezah mahu pun Sheila Amzah contohnya.
Tetapi berbanding penyanyi-penyanyi popular kini, Ayu Damit mempunyai kelebihannya tersendiri apabila beliau berjaya menggondol gelaran Juara dalam pertandingan nyanyian realiti, One In A Million musim kedua mengalahkan pesaingnya seperti Sheila Amzah mahu pun Allahyarham Siti Sarah Raisuddinl,
Selain itu, pada pertandingan Gegar Vaganza musim ke-7, Ayu hanya mampu menduduki tempat ketiga apabila dikalahkan oleh Cliff Umar (Juara) dan bekas vokalis kumpulan May iaitu Muss atau Mustafa Din di mana antara pesaingnya juga adalah beberapa penyanyi terkenal antaranya Noraniza Idris dan Yantzen.
Pernah menyepi hampir 10 tahun dalam bidang seni suara sejak 2011, Ayu Damit kembali dengan single ‘Permata’ pada tahun 2021 tetapi sekali lagi ‘menghilang’ seketika daripada radar hiburan selepas menghasilkan single ‘Permata’ pada tahun 2021.
Terbaharu, hampir 4 tahun berehat, Ayu Damit bangun kembali dengan single terbaharu ‘Cukup Kita’ tetapi kali ini berduet dengan bakat muda bernama Emeer Bakri, 29 tahun.
Walaupun bunyi judulnya ‘Cukup Kta’ bukanlah bererti cukup baginya untuk merasa lega dan berpuas hati dengan single terbaharunya itu tetapi lagu tersebut sudah cukup membuktikan keupayaan Ayu bergabung suara dengan Emeer Bakri selaku pencipta lagu.

Kolaborasi hebat antara penyanyi legenda dan penyanyi baharu ini kini menjadi bualan ramai apabila ‘Cukup Kita’ yang sarat dengan emosi dipilih sebagai runut bunyi asli (OST) untuk drama bersiri popular, ‘Calon Isteri Buat Suami’ yang kini sedang bersiaran di Slot Akasia TV3 setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 petang.
Lagu yang berjaya menambah kedalaman rasa pada setiap babak ini membawa pendengar menyelami kisah setia yang dikhianati dan janji yang diingkari.
Melalui alunan melodi balada moden yang disulami dengan sentuhan string sinematik yang megah, serta harmoni vokal yang menusuk kalbu daripada Ayu Damit dan Emeer Bakri, lagu ini bukan sekadar menjadi latar muzik drama, tetapi juga menjelma sebagai luahan hati bagi mereka yang pernah dikecewakan dalam percintaan.
Menurut pencipta lagu dan penulis lirik, Amsyar Sabri dan Emeer Bakri, ilham untuk lagu ini tercetus ketika mereka mendengarkan lagu-lagu pop balada Inggeris kontemporari.
Menyedari genre ini kurang mendapat perhatian di Malaysia, mereka berani mencuba pendekatan serupa dengan sentuhan yang lebih dekat dengan jiwa pendengar tempatan.

Emeer Bakri sendiri menyuarakan rasa terujanya dapat berkolaborasi dengan Ayu Damit, yang disifatkannya sebagai seorang legenda dengan kekuatan vokal yang luar biasa.
Proses penciptaan lagu yang pantas, hanya memakan masa dua minggu dari idea awal sehingga siap sepenuhnya, membuktikan keserasian mereka dalam berkarya.
Ayu Damit, yang kini muncul dengan single keempat di bawah label Alternate Records, turut memuji kerjasama yang terjalin dengan Emeer Bakri.
“Cukup Kita' sebagai sebuah karya istimewa menggabungkan kekuatan vokal kami dalam sebuah lagu yang mudah diingati, penuh emosi, dan membawa mesej yang mendalam,” ujar Ayu Damit.
Lebih menarik lagi, beberapa elemen dalam lirik 'Cukup Kita' turut diinspirasikan daripada perkembangan plot drama, ’Calon Isteri Buat Suami’.

Ayu Damit dan Emeer Bakri.
Bagi penonton setia drama yang mengikuti kisah Nazim (lakonan Jazmy Juma) dan Haizi (lakonan Siti Hariesa), lagu ini pasti akan memberikan resonansi yang lebih mendalam, menggambarkan dilema dan cabaran yang mereka hadapi dalam hubungan yang penuh onak duri.
Secara keseluruhan, 'Cukup Kita' bukan sahaja berjaya menjadi runut bunyi yang berkesan untuk drama 'Calon Isteri Buat Suami', tetapi juga berdiri sebagai sebuah lagu yang kuat dengan melodi yang memukau dan lirik yang menyentuh.
Kolaborasi antara Ayu Damit dan Emeer Bakri ini membuktikan bahawa gabungan pengalaman dan bakat muda mampu menghasilkan karya yang berkualiti dan meninggalkan impak yang mendalam kepada pendengar. - KitaReporters
