.
Industri animasi tempatan sekali lagi membuktikan kemampuannya untuk bersaing pada peringkat tertinggi apabila "Ejen Ali The Movie 2" (EATM2) berjaya memecahkan rekod kutipan pecah panggung.
Filem animasi ini yang telah mengumpul sejumlah RM50.7 juta selepas 18 hari tayangan, menjadikannya filem animasi tempatan nombor satu setakat ini.
Kejayaan cemerlang ini bukan sahaja meraikan pencapaian luar biasa EATM2, tetapi juga menandakan era baharu bagi karya animasi Malaysia (AniMY) untuk terus mengorak langkah dan diangkat ke persada yang lebih gemilang.
Sambutan hangat yang diterima sejak tayangannya pada 22 Mei 2025 jelas menunjukkan filem ini telah menambat hati pelbagai lapisan penonton, dari kanak-kanak hingga dewasa.
Mereka memuji mutu produksi teknikal yang bertaraf antarabangsa, naratif yang menyentuh hati serta pengalaman sinematik mengujakan yang mendorong ramai untuk menontonnya berulang kali.


Terbaharu, sebagai pelengkap kepada kejayaan runut bunyi utama Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), dua trek tersembunyi terbaharu kini mula menarik perhatian pendengar serta menunjukkan peningkatan dalam carta penstriman digital.
Dihasilkan menerusi gabungan tenaga kreatif antara komposer dan penyanyi generasi baharu yang penuh ekspresi, kedua-dua lagu ini menyerlahkan kekuatan serta keunikan produksi muzik tempatan.
"Some Other Day” nyanyian Kumpulan indie, FUGO ciptaan Hakim Kamal ibarat sebuah penghargaan penuh emosi tentang suka duka dalam persahabatan, yang merupakan tema utama dalam filem EATM2 ini.

Kumpulan FUGO dianggotai tiga anak muda dengan Hakim (gambar atas, duduk) bertindak sebagai vokalis dan pemain gitar, Kayrol Ami (kiri) selaku pemain bass dan Fai, (kanan) pemain keyboard.
Mereka mempamerkan imej vintaj sebagai identiti di pentas sejak bertapak dalam industri muzik empat tahun lalu.
Dengan lirik yang nostalgik dan alunan melodi yang santai, lagu ini membangkitkan kenangan masa remaja yang penuh keceriaan -- detik-detik indah yang kita percaya akan kekal selamanya.
Apabila korus beralih ke nada yang lebih melankolik dan dibalut lirik “Dan kita akan okay, and we will be alright”, ia mencerminkan perubahan dalam persahabatan, namun tetap menyampaikan rasa tenang melalui ikatan yang kekal abadi.

Puteri Khareeza dan Kai Deva bergabung dalam lagu 'Hanya Kamu'.
Lagu kedua pula, "Hanya Kamu - Omar K & Raja Recode" merupakan versi cover remix olahan Omar K dan Raja yang menonjolkan sisi baharu lagu epik yang asalnya dibawa oleh Dato’ M. Nasir.
Lagu ini hasil nyanyian Puteri Khareeza dan Kai Deva yang dipilih daripada barisan artis Alternate Records & Talents, sebuah anak syarikat Media Prima, sebagai salah satu platform untuk memperkenal bakat baharu ke massa.
Kai Deva, atau nama sebenarnya, Firdaus Deva, 23, adalah Naib Juara Calpis Soda One In A Million 2024, manakala Puteri Aszfaryna Khareeza Arif, 27, yang juga seorang pelakon merupakan Naib Juara Idola Kecil musim ketiga pada tahun 2010 dan juga memperoleh tempat keenam daripada 13 peserta Big Stage musim ke-5 (2023).
Bait-bait lirik asal ‘Hanya Kamu’ yang digubah dalam versi remix ini khas untuk menampilkan gabungan suara lunak mereka dengan susunan muzik yang lebih mellow dan penuh chill out vibes, sesuai untuk melayan mood santai sambil berehat di kala lewat malam.
Kedua-dua lagu ‘Hanya Kamu’ dan ‘Some Other Day’ ini boleh distrim di semua platform digital utama, sesuai untuk sesi sing-along, throwback emosi atau sekadar mengimbau sisi berbeza dunia EATM2.
Dengarkan sekarang dan alami sendiri kehebatannya!
Misi masih aktif - unlock fasa seterusnya dan terus menyokong Ejen Ali the Movie 2 di pawagam bagi mencapai sasaran RM60 juta yang diharapkan oleh pengarahnya, Muhammad Usamah Zaid Yasin. - KitaReporters