.

FREDDIE AGUILAR terkenal dengan lagu 'Anak'. Kredit foto: FB Freddie Aguilar.
Semasa engkau dilahirkan
Kabul sudah satu impianImpian nyata kurnia Illahi
Engkau anak istimewa
Kebahagian ibu ayah
Bila menangis dan juga tertawa
Hai anak kau tak mengerti
Betapa mulia pengorbanan mereka
Memberikan kasih-sayang
Agar dapat menikmati dunia
Masa silih berganti
Kau membesar tak disedari
Cepat sungguh kau pandai bicara
Apa yang telah terjadi
Pada mereka kau derhaka
Mengapa begitu apakah salahnya
Hai anak kau tak mengerti
Betapa mulia pengorbanan mereka
Memberikan kasih-sayang
Agar dapat menikmati dunia
Kini kau telah tersesat
Hilang diri dan pedoman
Tak seorang pun yang mengambil tahu
Dan kini engkau menangis
Ibu ayah menghampiri
Walau engkau telah terpesong jauh
Hai anak kau tak mengerti
Betapa mulia pengorbanan mereka
Memberikan kasih-sayang
Agar dapat menikmati dunia
Hai anak kau tak mengerti
Betapa mulia pengorbanan mereka
Memberikan kasih-sayang
Agar dapat menikmati dunia

ALBUM 'Anak' terjual 30 juta di seluruh dunia.
MENGHAYATI bait-bait lirik itu boleh membuatkan kita menangis. Begitu mendalam maksudnya hingga mampu menusuk jauh ke kalbu.
Pada Selasa, 27 Mei, 2025, pencipta, penulis lirik dan penyanyi lagu itu, Freddie Aguilar atau nama Islamnya, Abdul Farid berangkat ke alam abadi pada usia 72 tahun, meninggalkan kepada kita warisan seninya terutama ‘Anak’ yang menjadi lagu sepanjang zaman.
Mengenang Freddie sebagai insan seni tidak lengkap jika tidak dikaitkkan dengan ‘Anak’ kerana lagu itulah yang memperkenal Allahyarham ke seantero dunia, termasuk di Malaysia.
Betapa tidak, selain popular di Filipina dan Malaysia, lagu berkenaan yang asalnya dalam bahasa Tagalog, sudah diterjemah dalam 51 bahasa dan albumnya terjual sebanyak 33 juta di seluruh dunia.
Namun, tidak ramai yang tahu rahsia di sebalik terhasilnya lagu berkenaan yang dicipta Freddie pada 1977. Ia sebenarnya terkait rapat dengan kehidupan penyanyi itu.

FREDDIE tidak menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan mekanikal demi muzik.
Pada usia 18 tahun, Freddie meninggalkan rumahnya selepas minatnya terhadap muzik dan nyanyian tidak mendapat restu daripada keluarga, terutama ayahnya yang mahu dia menjadi peguam.
Kekecewaan seorang ayah terhadap anak lelaki yang menjadi harapan bertambah parah apabila si anak tidak menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang kejuteraan mekanikal di De Guzman Institute of Technology.
Berbekalkan sebuah gitar, Freddie memulakan kembara seninya dengan menyanyi di jalanan, pentas dan bar. Pada 1973, beliau mula diberi peluang membuat persembahan di Hobbit House in Ermita, Manila.
Namun, tanpa bimbingan keluarga, hidup Freddie terumbang-ambing sehingga beliau terbabit dengan gejala negatif terutama berjudi.
Kedewasaan mematangkan Freddie serta menyedarkan dirinya akan kesilapan yang dilakukan terutama terhadap ibu bapanya. Sebagai menzahirkan penyesalan serta permintaan maaf, maka lahirlah lagu ‘Anak’.
Bukan setakat meluahkan menerusi lagu, Freddie juga pulang ke rumah dan memohon kemaafan daripada kedua-dua orang tuanya. Selepas bapanya mendengar lagu ‘Anak’ hubungan mereka kembali rapat.
Kepulangan serta penyatuan semula Freddie bersama keluarga dianggap tepat pada masanya kerana tidak lama selepas itu, bapanya meninggal dunia.

M NASIR yang menulis lirik 'Anak' versi Bahasa Melayu bersama Freddie dalam studio rakaman pada 1979.
Selain lagu asal yang dinyanyikan dalam bahasa Tagalog, Freddie juga merakam semula lagu berkenaan dalam Bahasa Inggeris (Child, lirik oleh George Canseco - 1978), Bahasa Itali (Un Bambino, lirik Luigi Albertelli -1979) dan Bahasa Melayu (Anak, lirik Datuk M Nasir -1979).
Beberapa kumpulan muzik Malaysia juga turut merakamkan semula lagu berkenaan dengan versi masing-masing. Antaranya, Carefree (Anak, liriik Allahyarham Datuk Sharifah Aini - 1979), Sweet Charity (versi asal -1979) dan Alleycats (1979).
'Anak’ turut diterjemah ke Bahasa Jepun, Korea, Sepanyol, Jerman, Belanda, Finland, Thailand, Vietnam, Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan banyak lagi, keseluruhannya dalam 51 bahasa.
Lahir dengan nama penuh Ferdinand Pascual Aguilar, pada 5 Februari, 1953, di Santo Tomas, Isabela, Filipina, Freddie memulakan kariernya seawal usia 14 tahun.
Selepas kejayaan lagu ‘Anak’, namanya melonjak dalam carta nombor satu di Jepun serta menakluki industri muzik di Eropah, Malaysia dan Afrika.

FREDDIE memeluk agama Islam dan mengahwini Jovie pada 2013.
Freddie tercatat sebagai penyanyi kedua terlaris di Billboard, Eropah pada 1981. Pada 1994, beliau dianugerah “Rock Achievement Award’ pada NU Rock Award kerana sumbangannya kepada muzik rock Filipina.
Menyelak kehidupan peribadinya, Freddie berkahwin dengan Josephine Queipo pada 1978, dikurniakan empat anak, Maegan, Jonan, Isabella dan Jeriko.
Pada 2013, Freddie yang sudah berpisah dengan Josephine mencetuskan kontroversi apabila menjalin hubungan dengan gadis berusia 16 tahun, Jovie Gatdula Albao yang beragama Islam.
Freddie yang ketika itu berusia 60 tahun akhirnya memeluk agama Islam dengan nama Abdul Farid, untuk mengahwini Jovie pada 22 November, 2013.
Freddie, 72, meninggal dunia di Pusat Jantung Filipina di Quezon City akibat kegagalan fungsi jantung, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Manila. Al-Fatihah. - KitaReporters

JENAZAH Freddie atau nama Islamnya Abdul Farid disembahyangkan sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Manila.