Seni & Sukan 02 Jun, 2025

Sukma Penang naib juara! Sepak Takraw China-ASEAN! Raih hampir RM5k! Mujur juga Thailand boikot!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer dan sub-editor tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, DNA Takrawnomi, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. Pegawai Teknikal Antarabangsa Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010, Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022 dan Piala Dunia Sepak Takraw Istaf Bihar, India 2025. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

REGU Belia Sukma Pulau Pinang atau Pilihan Malaysia (jersi biru kuning) bergambar dengan Myanmar selepas perlawanan akhir acara regu Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025 di Gimnasium Zaide, Huishui. - Kredit foto: Istaf 


HENDAK dikatakan memuaskan pun boleh! Macam bernasib baik pun ada. Malah kalaulah Thailand tidak memboikot, jauh berbeza penyudah ceritanya di Gimnasium Zaide, Huishui, Guizhou, China.

Tampil mewakili Malaysia, Belia Sukma Pulau Pinang muncul naib juara acara regu Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025, namun hanya sesudah mengharungi perlawanan akhir lebih sejam menentang Myanmar.

Anak-anak buah Sofix Nadzri ini tumpas 9-15, 17-16, 8-15 dalam perlawanan petang 2 Jun 2025 yang turut mempamerkan semangat dan tentangan sengit mereka sekalipun terpaksa akur dengan hanya ganjaran 8,000 yuan renminbi atau lebih RM4,700.

Regu Pilihan Malaysia ini menampilkan tekong Muhamad Nabil Afiq Nasir (Muhammad Imran Mohd. Fazli), perejam atau apit kanan Muhammad Hadi Syazmin Zuriman Yadzri dan pengumpan atau apit kiri Muhammad Ismal Nazri.  

Selaku juara, Myanmar beroleh 10,000 yuan renminbi (RM6,000) yang turut menggagalkan hajat lawan untuk menebus kekalahan peringkat Kumpulan B pada 1 Jun 2025,  11-15, 10-15 yang bertempoh 37 minit sahaja.  

Vietnam dan Laos yang ditewaskan Malaysia dan Myanmar dalam separuh akhir sebelah paginya, masing-masing beroleh 3,000 yuan renminbi atau kira-kira RM1,800 selaku pemenang tempat ketiga bersama.


SOFIX Nadzri (dua dari kanan) membimbing Belia Sukma Pulau Pinang atau Pilihan Malaysia yang muncul naib juara regu Kejohanan Jemputan Antarabangsa Sepak Takraw China-ASEAN 2025. - Kredit foto: Istaf


Terdahulu Pilihan Malaysia memastikan kemaraan ke final dengan menundukkan Vietnam 15-10, 15-10 hanya selepas 39 minit separuh akhir selain membuka kempen saingan Kumpulan B dengan menewaskan tuan rumah 15-3, 15-8 selama 25 minit.

Thailand yang mulanya disebut sebagai pilihan utama juara dengan membariskan tonggak senior seperti Siriwat Sakha, Kritsanapong Nontakote, Jirasak Pakbuangoen dan Marukin Phanmakon, diisytiharkan tersingkir dengan kekalahan walkover (percuma) dalam dua perlawanan Kumpulan A.

Si Gajah Putih telah memulaukan perlawanan dengan Vietnam dan Laos pada 1 Jun 2025 setelah bantahan mereka terhadap keselamatan gelanggang Gimnasium Zaide yang dibasahi air dan licin, tetapi tidak dilayan oleh penganjur.

Pasukan yang dikemudikan oleh tekong legenda pemenang tujuh pingat emas Sukan Asia, Suebsak Phunsueb dan dilatih bekas perunding Malaysia, Poonsak Permsap itu turut telah meninggalkan China untuk berlepas pulang ke tanah air.

Tindakan nekad dan mengejut mereka termasuk dua lagi pemain, Seksan Tubtong dan Sankhai Daoreuang serta penolong jurulatih, Suphaloek Kimthong, sekali gus memulaukan langsung acara kuadran (berempat) yang bermula pukul 9 pagi 3 Jun 2025 dan dijadualkan berakhir petang 4 Jun 2025.  

Thailand juga enggan bermain langsung bagi kesemua perlawanan acara regu dan kuadran kategori wanita Kumpulan A sejak hari pertamanya lagi, atas alasan serupa. - KitaReporters


TIMBALAN Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Fariq Halim (tiga dari kanan) turut menghadiri Kejohanan Jemputan Sepak Takraw China-ASEAN 2025 di Huishui. - Kredit foto: Istaf 

 

5
14
0
8
0
You will be interested