Seni & Sukan 21 Sep, 2022

Tiara versi P Ramlee! Lagu cover Tiara sekali lagi berubah rentak! Kini dinyanyikan P. Radhi pula!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

P. Radhi, wajah dan suaranya dikatakan persis P. Ramlee.


Bila petik nama P. Ramlee, sudah tentu satu ‘Malaya’  dan satu bangsa mengenali Allahyarham Seniman Agung ini.

Tetapi bila sebut P. Radhi tentu ada yang tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik nama tersebut?

Dan lebih-lebih lagi apabila P. Radhi diberi peluang untuk menyampaikan lagu cover ‘Tiara’ ciptaan Dato M. Nasir namun dalam versi P. Ramlee.

Sebelum ini tular dalam media sosial mengenai lagu nyanyian asal Kumpulan Kris itu telah menjadi single terbaru penyanyi BBNU dari Jawa Barat Indonesia, Raffa Affar dengan genre dan caranya yang tersendiri.


Ini versi Raffa mendendangkan lagu 'Tiara'.


Raffa terkenal dalam media sosial TikTok dengan hampir empat juta pengikut dan memilih lagu ‘Tiara’ kerana lagu itu berada dekat dalam hatinya.

Walaupun ada sebilangan netizen yang mengecam cara pembawaan lagu tersebut yang dikatakan ‘rosak’ namun M. Nasir dilaporkan tidak berkecil hati malah menganggap ia satu perubahan mengikut trend terkini kerana katanya, ‘halwa telinga sekarang ini lain’.



Terbaharu, sekali lagi ‘Tiara’ menjadi pilihan P. Radhi pula menyampaikannya dalam genre berlainan iaitu mengikut gaya P. Ramlee.

‘’Alhamdulillah dan terima kasih saya ucapkan kepada Luncai Emas Sdn Bhd yang menerima saya, serta memberi peluang untuk lagu 'cover' 'Tiara'. Lagu ciptaan Dato M Nasir itu memang sudah terbaik, dan saya sekadar menyanyikannya dalam versi P. Ramlee,” ujar P. Radhi.

Tetapi persoalannya kenapa dalam versi P. Ramlee?



“Sebab saya menjuarai Bintang P. Ramlee Kebangsaan pada tahun 2016. Saya juga sangat meminati Tan Sri P. Ramlee dan dari kecil saya sudah dibiasakan dengan lagu-lagu dan lakonan-lakonan arwah Tan Sri P. Ramlee,” jawab beliau.

Malah pemilik nama sebenar, Muhammad Radhi Ab. Rahman, 31, ini terharu dan gembira dapat mengingatkan kembali orang ramai kepada Seniman Agung itu.

“Saya tidak sangka versi P. Ramlee yang bermula daripada nyanyian bersahaja dalam TikTok menjadi viral dan mendapat sambutan baik. Ramai juga yang mengatakan rindu pada arwah Tan Sri P. Ramlee dengan dendangan itu,” tambah Radhi sambil meluahkan penghargaannya atas sokongan dan doa orang ramai terhadap penghasilan lagu ‘cover’ Tiara versinya.

Juara Bintang P. Ramlee 2016 ini kini adalah artis baharu di bawah Luncai Emas Sdn Bhd. yang bakal mengeluarkan beberapa single lagi secara ‘cover’ mahupun ‘original’ selepas 'Tiara' dan juga beberapa lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan dendangan dan gaya tersendiri P. Radhi. 

Untuk rekod juga, bakat nyanyian Radhi, mendapat perhatian selepas satu video dimuat naik dalam TikTok @laguvideoradhi dikatakan menyamai P Ramlee menjadi tular hingga meraih jutaan tontonan walau pun perkongsian itu dimuat naik sekadar hiburan semata-mata.



Video Muzik ‘Tiara’ arahan Juril Jumari yang diinspirasikan dari filem 'Penarik Becha' dibuat penggambaran sepenuhnya di Melaka telahpun dimuat naik dalam saluran YouTube Luncai Emas di mana setelah 3 hari ia telah mencapai lebih 30 ribu tontonan. 

‘Tiara’ versi P. Ramlee juga boleh didengari dalam semua pelantar strim seperti Spotify, Joox, Apple Music, KKBox, Deezer dan Itunes Store. - KitaReporters


7
13
0
15
0
You will be interested