Seni & Sukan 03 Nov, 2022

Tak mainlah audition, casting! Hairi Safwan tolak tawaran berlakon! Kerana akhirnya kroni dipilih!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Salah satu babak lakonan Hairee ketika menjalani penggambaran di Baha Villa, Kamunting, Perak, baru-baru ini. - Kredit foto: FAS.


Juara program realiti pencarian bakat baharu, ‘Anak Wayang’ musim pertama pada April 2009, Muhammad Hairi Safwan Aznan, 34, enggan menyertai sebarang ‘audition’ atau ‘casting’ semata-mata untuk mendapatkan peluang berlakon dalam sesebuah filem atau drama.

“Jika penerbit mahukan kita berlakon, kenapa lagi perlu melalui sesi audition sedangkan mereka tahu kebolehan lakonan setiap pelakon itu,” begitu pendapat Muhammad Hairi atau lebih dikenali dengan nama singkatnya Hairi Safwan ketika ditemui di lokasi penggambaran filem ‘Denu’ yang berlangsung di Baha Villa, Kamunting, Perak baru-baru ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelakon Hairi Safwan

Baha Villa' antara lokasi penggambaran filem 'Denu' sebagai rumah Hairee.


“Denu’ merupakan filem sulung arahan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar di bawah syarikat penerbitannya, True Legacy Sdn Bhd yang kini sedang dalam proses penggambaran sekitar negeri Perak dan Selangor. 




Berkongsi lanjut. pemegang Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di mana beliau kini bertugas sebagai pensyarah berpendapat. pihak penerbit atau pengarah seharusnya terus menawarkan pelakon yang dikehendaki dan bukannya memilih melalui ‘audition'.

“Dah banyak kali saya pergi audition tetapi akhirnya mereka memilih kroni masing-masing dan audition itu sekadar memenuhi syarat semata-mata,” dakwa Hairi sambil mengakui pernah beberapa kali mengalami situasi sedemikian.

Tambahnya, beliau tidak kisah jika tidak mendapat banyak tawaran berlakon daripada perlu melalui sesi ‘audition’ dan akan hanya menerima tawaran yang memang benar-benar berkehendakkan dirinya berlakon di mana beliau hanya menghantar klip video lakonannya sebagai 'bukti'.



Pengarah Ahmad Tarmimi Siregar memantau lakonan Hairi melalui skrin di luar rumah.


"Apabila melalui audition, yang melakukannya bukannya pengarah atau penerbit tetapi krew produksi yang suruh kita buat macam-macam, seolah-olah kita tak pernah berlakon,” dedah Hairi kesal.

Tidak mahu terburu-buru mengejar glamor demi mendapatkan peluang berlakon, Hairi anggap setiap yang diterima adalah rezeki dan atas kepercayaan yang diberikan beliau akan memberikan lakonan yang terbaik.

“Selalunya saya akan memberikan juga idea untuk mengembangkan watak yang dibayangkan pengarah tetapi jika tidak diterima atas alasan yang kukuh saya tidak membantah namun sekiranya alasan itu tidak kukuh saya tetap akan argue.” ujar Hairi yang kelihatan susuk tubuhnya semakin gempal.

Menjawab persoalan badannya nampak semakin berisi dalam nada gurau katanya, ”kata orang, sebab banyak makan rasuah" sekali gus terserlah sisi humornya di sebalik wajahnya yang bersahaja.


Antara babak lakonan Hairi bersama pendatang baharu, Wanie sebagai 'isterinya' dalam filem 'Denu'.


Apa yang tersirat di sebalik kenyataan Hairi yang tersurat biarlah hanya dirinya yang tahu namun ayah kepada tiga cahaya mata  ini bakal membawa watak Amiruddin, seorang suami yang terlibat dalam cinta tiga segi terhadap Asmah (Nad Zainal) dengan Pok Yen (Sabri Yunus).

“Ini pertama kali saya membawa watak antoganis di dalam filem. Selalunya dalam drama tetapi ia antara watak yang paling saya gemari kerana berlakon jahat bukannya mudah kerana ada pelbagai sisi jahat. Untuk itu, saya perlu ikut jahat bagaimana yang dikehendaki pengarah,” sambung Hairi yang selesa berlakon di bawah arahan Ahmad Tarmimi yang dipanggil ‘Uncle’. 

Filem 'Denu' yang berlatarkan  kisah Mak Yong  dijangka masuk pawagam akhir tahun hadapan. - KitaReporters


12
19
0
10
0
You will be interested