Seni & Sukan 09 Jul, 2024

Malang sungguh di Malang! Hanya 2 gangsa takraw AUG 2024! Libasan regu, beregu Malaysia tersasar jauh!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: timmediasepaktakraw@yahoo.com

Share this

UNIVERSITI Malaysia (sut trek kuning hitam, kanan) sebagai pemenang pingat gangsa kuadran AUG 2024 di Universiti Brawijaya, Malang, Indonesia. - Kredit foto: SIPT 


KETUA jurulatihnya turut membantu Malaysia menjuarai acara beregu dan antara regu Piala Dunia Istaf di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 22 Mei 2024, penolongnya pun bekas tekong negara.

Tekong berpengalaman Piala Dunia dan Sukan SEA 2022, Zuhri Zain dan Faisal Fuad selain bekas pelatih negara, Najmi Syahfiq Anuar turut tampil memperkasa skuad Universiti Malaysia pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-21, 2024 di Universiti Brawijaya, Malang, Indonesia.

Namun hanya dua pingat gangsa mampu dikalungkan oleh anak-anak buah Zulkarnain Arif atau digelar Abu dan Ahmad Sufi Hashim ini menerusi kuadran (berempat) dan regu berpasukan sedangkan mereka turut menyertai beregu dan antara regu.

Dan seperti lumrahnya, arena sepak takraw AUG terus menjadi ‘makanan ruji’ Universiti Thailand yang menguasai tiga pingat emasnya malah mampu menyapu bersih sekiranya mereka turut menyertai kuadran.


GANDINGAN berempat Universiti Malaysia (jersi hitam kuning, dari kiri), Faisal Fuad, Nazhan Noor Zamri dan Ahmad Badrie Amin Azmi menanti servis Universiti Indonesia B pada perlawanan penentuan pingat gangsa AUG Ke-21. - Kredit foto: SIPT


Itulah pingat sagu hati buat Universiti Malaysia malah sepatutnya ditukar kepada warna yang lebih baik kerana hanya tuan rumah, Universiti Indonesia dan Universiti Myanmar yang beraksi. 

Universiti Thailand turut diperkasa empat pelatih kebangsaannya iaitu Sutthikiart Pansankaew (juga bekas perejam Terengganu dalam liga Malaysia), Nattapong Kotchapaksri, Kritsada Sungvung dan Kathadet Srichan. 


 


PEMAIN Universiti Malaysia, Azim Azizul (jersi hitam kuning) melepaskan libasan kayuh ke kawasan Universiti Indonesia B dalam perlawanan penentuan pingat gangsa kuadran sepak takraw AUG 2024. - Kredit foto: SIPT


Universiti Malaysia A menewaskan Universiti Indonesia B 2-1 (13-15, 15-13, 15-10) pada penentuan pingat gangsa kuadran setelah disekat oleh Universiti Myanmar A 7-15, 9-15 dalam separuh akhir.

Mahasiswa kita terdahulu muncul naib juara Kumpulan B dengan mengatasi Universiti Myanmar B 17-16, 15-11 namun dikalahkan tuan rumah A 10-15, 13-15.

Yang beraksi ialah Azim Azizul, Nur Haziq Norali, Faisal, Ahmad Badrie Amin Azmi dengan dua simpanan, Faris Syahmi Jamsari dan Nazhan Noor Zamri manakala gandingan B menarik diri dan dikenakan kalah secara percuma (walkover) dua kali dalam Kumpulan A. 

Kedua-dua beregu kendalian Zulkarnain dan Sufi termasuk gandingan A (Azim dan Badrie/Faris) kempunan sebarang pingat dengan kalah kesemua perlawanan peringkat Kumpulan A dan B.


PEMAIN-PEMAIN Universiti Malaysia (jersi hitam kuning dari kanan), Azim Azizul, Ahmad Badrie Amin Azmi dan Nazhan Noor Zamri menanti servis rakan mereka dari luar gelanggang ke kawasan Universiti Indonesia B. - Kredit foto: SIPT


Universiti Malaysia A (Faisal/Imran Fazli, tekong, Haziq/Wan Firdhaus Wan Omar – perejam dan Aiman Hakim Zakari, pengumpan) dihampakan oleh Universiti Indonesia A 10-15, 9-15 pada penentuan pingat gangsa antara regu dan disekat Universiti Thailand dalam separuh akhir.

Bagi regu berpasukan, Universiti Malaysia tunduk kepada Universiti Thailand 0-3 (13-15, 15-12, 8-15), (15-8, 15-17, 12-15), (walkover 0-15, 0-15) dan tuan rumah 1-2 (10-15, 12-15), (15-11, 15-17, 11-15), (13-15, 15-11, 15-13) namun sempat mengatasi Universiti Myanmar dalam saingan liga sepusingan untuk berpuas hati dengan gangsa keduanya.

Ketika berdepan Universiti Indonesia, regu pertama ialah Zuhri, Hafifi dan Aiman, regu kedua dengan Najmi, Amir Syahiran Fuzi dan Badrie serta regu ketiga dibarisi Faisal, Haziq dan Nazhan.  

Pencapaian di Malang ini tampak ‘lebih malang’ berbanding AUG 2022 di Ubonratchathani, Thailand yang menyaksikan mahasiswa kita pulang dengan sebutir pingat perak regu berpasukan dan dua pingat gangsa beregu dan antara regu.

Sembilan daripada 14 pemain kali ini berpengalaman beraksi dalam AUG Ke-20 di Ubonratchathani yang turut disaingi Universiti Laos dan Universiti Myanmar. - KitaReporters


PEMAIN Universiti Malaysia, Azim Azizul (kiri) membuat rejaman kalih sambil cuba diadang pemain Universiti Indonesia B. - Kredit foto: SIPT


UNIVERSITI Malaysia menayangkan pingat gangsa kuadran sepak takraw AUG 2024 di samping (belakang, dari kiri), Ahmad Sufi Hashim, Zulkarnain Arif dan pengurus pasukan, Mohd. Razizi Midin. - Kredit foto: SIPT 

19
7
0
9
0
You will be interested