Seni & Sukan 01 Jul, 2024

Hebat Liga Wanita Nasional! Jumlah tim bola sepak wanita bertanding bertambah! Sabah isi slot AFC!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai Buletin Utama dan Harian Watan 1994-'96. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (BNC).

Share this

 

SURAYA Yaacob, Hannah Yeoh dan Hamidin Amin serta Siti Faidul Maisarah Abdullah (sembilan hingga 12 dari kiri) di samping para pemain pasukan LWN 2024 pada majlis pelancarannya di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur. - Kredit foto: FAM


LIMA pasukan musim 2023 termasuk juara bertahan, Sabah bakal kembali bersaing dalam liga bola sepak Malaysia Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 yang bermula pada 6 Julai 2024.

Empat lagi ialah Selangor, Kelana United FC, Malaysian University dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dengan tiga pendatang baharu LWN 2024 pula terdiri daripada Melaka, Red Eagles SC (Kedah) dan Real CJ FC (Pulau Pinang).

Sabah turut layak mewakili Malaysia ke Liga Juara Wanita AFC 2024 sebagai juara LWN 2023 setelah mengumpul 13 mata dan berkelebihan jaringan berbanding naib juara, Kelana United FC yang sama jumlah matanya.


SABAH bersorak girang meraikan kejayaan sebagai juara LWN 2023 di Stadium UiTM, Shah Alam, Selangor. - Kredit foto: FAM


Tirai aksi LWN 2024 dengan tanda pagarnya, ‘Sayalah Teraju Permainan’ akan disingkap dengan perlawanan Kelana United FC menentang Selangor FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. 

“Pembaharuan LWN kali ini ialah setiap perlawanannya akan dilangsungkan di stadium,” lapor siaran media menerusi laman sosial Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


HANNAH Yeoh (tengah), Hamidin Amin (dua dari kiri) dan Suraya Yaacob (dua dari kanan) bertepuk tangan selepas menyempurnakan acara gimik jaringan gol dalam Majlis Pelancaran LWN 2024. - Kredit foto: FAM


“Tahniah kepada FAM di atas dedikasi dan komitmen dalam menyediakan ruang dan peluang kepada pemain-pemain bola sepak wanita di Malaysia.

“Jumlah pasukan yang meningkat pada musim 2024 juga menandakan popularitinya dan pengiktirafan besar.  

“Liga ini turut menunjukkan sukan bola sepak wanita memiliki potensi yang cerah jika terus diberikan peluang dan di landasan yang tepat,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam Majlis Pelancaran LWN 2024 di Bukit Bintang City Centre, Kuala Lumpur pada 27 Jun 2024.


PEMAIN-PEMAIN LWN 2024 memperagakan jersi dan logo lapan pasukan masing-masing pada edisi kedua anjuran FAM ini yang bermula 6 Julai 2024. - Kredit foto: FAM  


Kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob, “kejayaan Sabah ke Liga Juara Wanita AFC 2024 diharap menjadi sumber inspirasi pasukan-pasukan LWN 2024 yang pasti mengidam untuk turut ke peringkat saingan antarabangsa setinggi itu.”

Turut hadir ialah Presiden FAM, Datuk Hamidin Amin; Timbalan Presiden, Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi; dan Datuk S. Sivasundaram dan seorang lagi Ahli Exco Wanita, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah.


AKSI perlawanan terakhir LWN 2023 antara Sabah (jersi merah) dan Malaysian University yang berkesudahan seri 1-1. - Kredit foto: FAM

13
18
0
14
0
You will be interested