Seni & Sukan 10 Sep, 2022

Hadiah bonus KKMM! Dana Kandungan Digital Industri Muzik berjumlah RM320k! Untuk 4 pemenang AIM23!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Seriusnya keprihatinan Kerajaan dalam membantu industri seni hiburan ternyata bukan omong kosong apabila julung kalinya empat pemenang sekali gus dalam kategori utama Anugerah Industri Muzik edisi ke-23 (AIM23) tahun ini bakal menerima Dana Kandungan Digital atau DKD Industri Muzik berjumlah RM320,000.

Empat pemenang berkenaan terdiri dalam kategori ‘Artis Baharu Terbaik’, 'Video Muzik Terbaik', 'Lagu Terbaik' dan 'Album Terbaik’.

Selain menggondol trofi AIM23, mereka akan menerima DKD yang diberikan Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk 'Artis Baru Terbaik' dan 'Lagu Terbaik', RM20,000 untuk  'Video Muzik Terbaik' dan RM200,000 untuk 'Album Terbaik'.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Anugerah Industri Muzik


DKD merupakan antara inisiatif penting Kerajaan dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif untuk menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa.

“Ini memperlihatkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam memupuk pertumbuhan industri kreatif termasuk Industri Muzik yang berpotensi besar sebagai salah satu tonggak utama pertumbuhan ekonomi dalam ekonomi digital baharu,” ujar Rosmin Hashim, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM23.

Melahirkan rasa syukur dan penghargaan di atas berita gembira yang baharu diterima daripadan K-KOMM itu, Rosmin menyifatkannya selaras dengan matlamat AIM untuk meningkatkan kualiti kandungan  kreatif.

“Pemberian  DKD kepada  empat pemenang kategori utama AIM ini akan menjadi pemangkin kepada penggiat Industri muzik untuk menghasilkan karya kandungan kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa,’’ tambah Rosmin.


Kredit foto: FB Muzik Kita


Sebagai contoh, DKD yang diperuntukkan untuk pemenang kategori anugerah ‘Artis Baharu Terbaik’ boleh digunakan untuk menghasilkan single yang lebih berkualiti untuk penerima sekali gus meningkatkan pembangunan kerjaya artis tersebut. 

“Manakala, pemberian DKD kepada Pemenang anugerah 'Lagu Terbaik' membolehkan penerima menghasilkan single dan video muzik baharu dengan kualiti pengeluaran yang lebih tinggi,”  jelas Rosmin.

Selain itu, pemberian DKD turut diberikan kepada  pemenang kategori anugerah 'Video Muzik Terbaik' dan ‘Album Terbaik’ untuk mengalakkan penghasilan lebih banyak album yang berkualiti tinggi dan berpotensi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. 

DKD yang diperuntukkan untuk pemenang AIM23 akan diberikan melalui syarikat rakaman kepada pemenang masing-masing agar pelaburan DKD tersebut mencapai impak maksimum dan produktif serta melibatkan pelbagai rantaian peluang pekerjaan di dalam ekosistem industri muzik tempatan. 



AIM23 yang  dijangka berlangsung  pada 11 September 2022 ini mempertandingkan 21 kategori dan akan bersiaran langsung di kaca TV melalui saluran Astro Ria (104) dengan penyanyi Dayang Nurfaizah mengungguli senarai terbanyak pencalonan iaitu 6 pencalonan dalam 4 kategori merangkumi Rakaman Lagu Terbaik bagi lagu 'Tudung Periuk' dan 'Malam Ku Bermimpi' serta Rakaman Album Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik melalui album 'Belagu' dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu bagi 'Tudung Periuk' dan 'Malam Ku Bermimpi'. - KitaReporters


13
11
0
14
0
You will be interested