JUARA bertahan, Thailand memulakan kempen mengekalkan kejuaraan dengan langkah kanan selepas mudah membelasah Brunei 5-0 dalam aksi pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung pada Stadium Cheras pada 20 Disember 2022.
Turun selaku juara bertahan, Thailand menguasai penuh permainan dan tiada masalah untuk setiap pemain mengawal bola tanpa sebarang tekanan tinggi daripada pemain Brunei. Ia membolehkan para pemain bebas melakukan hantaran dan pergerakan ke kubu lawan mereka.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perlawanan Piala AFF
Skuad Gajah Perang membuka tirai jaringan pada minit ke-19 menerusi Bordin Phala. Brunei pula lebih banyak bermain secara bertahan bagi mengelak dari kena jaringan lebih banyak.
Seminit sebelum tamat separuh masa pertama tamat, Teerasil Dangda mengukuhkan kedudukan untuk mendahului 2-0.
Bermula babak kedua, skuad kendalian Alexandre Polking meningkatkan lagi serangan ke kubu Brunei dan deretan peluang terhidang dan hampir kesemua itu boleh mencetak jaringan.
Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Brunei, Haimie Abdullah Nyaring kerana ketangkasan beliau berjaya memastikan pintu gol mereka terus terselamat sehingga minit ke-80. Aksi cemerlang beliau hampir membuatkan lawan mereka sukar untuk mendapatkan jaringan.
Namun pada hujung permainan, mungkin disebabkan terlalu penat pemain mula melakukan kesilapan mudah dan membolehkan pemain Thailand mudah melepasi lapisan barisan pertahanan untuk mencetak jaringan.
Pemain pertahanan Brunei, Awangku Yura Indera Putera tertahan bola ke gawang sendiri pada minit ke-88 sebelum Peeradon Chamratsamee menjaringkan dua gol pantas dalam masa tiga minit untuk melengkapkan kemenangan besar pasukan Thailand. - KitaReporters
Kredit foto : FB Thailand Football