Seni & Sukan 27 Nov, 2022

Alhamdulillah! Rombongan khas Mat Kilau ke Mekah terharu! Studio Kembara beri layanan first class!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this

Rombongan yang selamat tiba dari Medinah bergambar kenangan di KLIA Sepang.


Seramai 35 ahli rombongan khas Studio Kembara yang terkenal dengan filem bioepik, ’Mat Kilau’ selamat tiba ke tanah air pada 24 November 2022 setelah berada di Tanah Suci Mekah dan Medinah bagi menunaikan ibadah umrah selama 11 hari sejak 12 hingga 23 November 2022 lalu.

“Alhamdullilah, selesai sudah hasrat saya membawa enam pelakon serta pihak pengurusan Studio Kembara bersama bekas kakitangan Az-Zahrah dan ahli keluarga ke Tanah Suci, semoga semua memperoleh umrah mabrur,” kata Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mat Dali ketika ditemui sebaik sahaja selesai memberikan ucapan terakhirnya kepada rombongan serta penyampaian cederamata di pekarangan pintu ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Studio Kembara

Abdul Rahman Mat Dali (baju biru) menyampaikan ucapan terakhirnya di KLIA kepada jemaah sebelum masing-masing pulang ke pangkuan keluarga.


“Jadikanlah pengalaman ini satu bentuk ilmu dalam diri masing-masing supaya kita bukan sahaja orang seni yang menghiburkan tetapi memberikan hiburan bermanfaat,” sambung Abdul Rahman.  

Enam pelakon terbabit terdiri daripada Shaharudin Thamby atau ‘Dato Bahaman”; Geof Andre (Kapten Syers); Farah Ahmad (Isteri Mat Kilau); Ahmad Hilmi (pembunuh upahan) dan Siraj Alsagoff yang berlakon sebagai askar British serta Ali Karimi (Brahim).

Turut bersama, Lan Pet Pet dan isteri serta Nabilah, isteri kepada Kapten Syers, juga tiga anak Farah, cucu kepada pelakon veteran, Fauziah Nawi iaitu Dhia Farhana, Mhia Farhana dan Thia Farhana. 

Sepanjang berada di kota Mekah dan Medinah, rata-rata mereka melahirkan rasa bersyukur dan puas hati dengan layanan ‘kelas pertama’ yang diberikan oleh Studio Kembara,


Farah bersyukur diberi rezeki bersama ketiga-tiga anaknya menunaikan umrah di bawah tajaan Studio Kembara.


Farah dan keluarga Juga sempat tawan puncak Jabal Rahmah, lokasi di mana Nabi Adam bertemu isterinya Hawa semula selepas Allah turunkan kedua-duanya ke dunia akibat kesalahan memakan buah khuldi di syurga. Turut bersama Siraj dan Geof Andre dan isteri.


“Selain ditempatkan di hotel lima bintang di Mekah iaitu Swissotel Mekah serta Ruve Hotel di Medinah, Haji Rahman memberikan komitmen sepenuhnya bukan sahaja memastikan pakej yang diatur memuaskan tetapi turut menjaga kesihatan kesemua,” ujar Farah sambil bersyukur dapat menunaikan umrah bersama tiga orang anak perempuannya sekali.

Isteri kepada Allahyarham pengarah Mohd Firdaus Mohamad Hanif itu berkata, beliau tidak menduga dapat menunaikan umrah bersama anak-anak dan sangat menghargai tawaran yang diberikan oleh Studio Kembara.

“Semoga Allah SWT membalas jasa Studio Kembara yang berkongsi rezeki dengan kami, Daripada makan hingga kesihatan kesemua dijaga dengan rapi oleh Abdul Rahman,” ujarnya terharu.  

Tambah Farah, “Inilah rezeki saya dan anak-anak, Studio Kembara menjadi perantaraan antara saya dengan Allah SWT, Alhamdullillah.”  


Bergambar kenangan bersama ahli-ahli rombongan lain.



Berpendapat sama, Siraj Alsagoff, berkata, imbuhan secara pemberian umrah ini satu nilai yang cukup istimewa.

“Alhamdullilah, saya dapat melakukan empat kali umrah sepanjang berada di Mekah malah berpeluang solat di dalam Hijir Ismail serta menyentuh dalaman Hajar Aswad walau pun tidak berpeluang menciumnya kerana terlalu ramai orang berhimpit di situ, “ kenang Siraj.

Tambahnya, walaupun kesihatannya sedikit terganggu dengan batuk dan selsema namun beliau harunginya dengan tabah sehingga dapat menyelesaikan segala tuntutan umrah ziarah.

“Haji Rahman sering mengambil berat terhadap kesemua rombongan dan kami ibarat sebuah keluarga besar yang bersatu di bumi Mekah. Lebih daripada itu, beliau sering memberikan kejutan baik dari segi lawatan dan belanja makan.,” cerita SIraj yang berhajat dapat kembali bersama keluarga menunaikan umrah dan haji satu hari kelak.


Siraj bersyukur dapat menyentuh Hajarulaswad walaupun tidak berpeluang menciumnya disebabkan terlalu ramai orang berada di situ ketika itu.


Seperti Siraj yang baharu pertama kali menunaikan umrah, Geoff Andre Feyaerts turut bersyukur dapat menimba banyak ilmu sepanjang sebelas hari berada di Tanah Suci.

Geoff yang hadir bersama isterinya Nabilah tidak menjangka dapat lebih awal mengerjakan umrah waima sudah memasang niatnya apabila berurusan dengan rakan niaga dari Timur Tengah.

“Mereka pernah menjemput saya tetapi disebabkan beberapa kekangan faktor saya tidak dapat pergi apatah lagi tidak membayangkan akan berada di Mekah tahun ini, 

"Tetapi, apabila mendapat tawaran dari Studio Kembara untuk kami berdua sudah tentu saya tidak menolak rezeki lebih-lebih lagi dapat membawa isteri sekali, ” tambah pelakon berasal Belgium ini yang sudah 15 tahun menetap di Malaysia sehingga memperoleh empat orang anak bersama Nabilah. 

Menurutnya, banyak yang dipelajari melalui info yang diucapkan oleh Rahman mahu pun barisan mutawif melalui tazkirah mereka.

“Sambil melawat tempat bersejarah yang berkait rapat dengan perjalanan serta khidupan Baginda Rasulullulah SAW, seperti Taif, Bukit Uhud, Gua Hira, Jabal Rahmah dan sebagainya, pakej yang ditawarkan Studio Kembara melalui Amani Travel cukup menarik,” tambah Geoff sambil mengakui mengerjakan umrah buat kali pertamanya satu pengalaman yang akan dikenang sepanjang hidupnya.


Geoff (dua dari kiri) bersama isterinya Nabilah (kiri) serta barisan pelakon 'Mat Kilau' antaranya Ahmad Hilmi, Ali Karimi, Siraj Alsagoff dan penulis (kanan sekali) di kawasan Masjid Nabawi, Medinah.


Sementara itu, Mazlan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet tidak kurang mendapat perhatian daripada warga jemaah Malaysia di tanah haram.

Malah anggota kumpulan lawak Senario ini yang sudah tujuh kali ke Tanah Suci menyifatkan kepergiannya bersama rombongan khas Mat Kilau satu kelainan apatah lagi dapat menimba ilmu dan peluang niaga daripada perbualan dan kata-kata perangsang Abdul Rahman. 

“Isteri saya, Ruby rakan baik dengan Hajah Marina, isteri Haji Rahman dan apabila mendengar Studio Kembara akan mengaturkan pakej umrah, kami rancang untuk ikut serta,” jelas Lan sambil memberitahu berhajat untuk berhijrah ke Mekah.

Jelasnya, banyak peluang telah diperoleh melalui beberapa berbincangan dengan beberapa individu korporat yang ditemuinya  di sana.

"Insya-Allah ada perancangan untuk saya membuka bisnes sama ada restoran atau urus niaga lain di Mekah. Moga ia akan menjadi satu kenyataan tak lama lagi,” Lan Pet Pet membayangkan.

Sepanjang berada di Mekah, beliau antara yang ringan mulut dan sering bergaul dengan orang ramai melalui gelagat dan gurau senda spontannya..

“Orang mungkin melihat saya sebagai pelawat tetapi bila saya sudah mengenakan ihram saya tidak akan bergurau tetapi memberikan sepenuh tumpuan pada umrah,” tegas  Lan.


Lan Pet Pet ceriakan suasana dengan gurau senda spontannya. Beliau bersama Abdul Rahman (tiga dari kiri) dan rakan-rakan lain di kawasan Jabal Rahmah.


Pendek kata, imbuhan berbentuk umrah yang disediakan Studio Kembara kepada barisan pelakon yang diberi rezeki oleh Alllah SWT ke Mekah sesuatu yang cukup bermanfaat seumur hidup.

“Inilah satu imbuhan yang sangat bererti bagi kemi semua," mereka mensyukuri.

Melihat pada kesungguhan dan sikap ambil berat Studio Kembara khususnya Rahman dengan bantuan anaknya pelakon Ali Karimi serta pihak pengurusannya seperti Badr Sani (Mutawif). penulis dapat melihat kesungguhan dan sifat ikhlas dan tulus yang ditonjolkan tanpa mengira wang ringgit. 

Majlis makan malam yang diatur di kawasan Muzdalifah, sesuatu yang amat menarik di mana hidangan ala Arab disediakan dengan hidangan nasi mandy dalam talam sambil bersimpuh di permaidani terbentang luas ala ‘picnic’ pada waktu malam. 


Abdul Rahman membawa jemaah makam malam di Muzdalifah, Mina.


Dalam perkembangan lain, Studio Kembara kini sedang mengatur persiapan untuk memulakan penggambaran filem keduanya berbentuk prekuel kepada ‘Mat Kilau’ bermula Disember 2022 ini.

Siapa pelakon dan pengarahnya? Biarlah rahsia dahulu ya sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh Studio Kembara.

Terima kasih daun keladi daripada semua terbabit! - KitaReporters


Siraj (kanan) sempat membeli-belah pewangi aroma kasturi untuk dibawa pulang.

20
9
0
22
0
You will be interested