Seni & Sukan 20 Feb, 2023

Video| Stacy pernah alami masalah mental! Lalui depresi! Hasilkan Teriak sebagai suara isi hatinya!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: farizaum@yahoo.com

Share this


PERCAYAKAH anda bahawa figura hebat yang mendapat jolokan ‘Ratu Tari’, Stacy atau nama penuh Islamnya,  Ummu Syaikhah Stacy Anam pernah mengalami masalah kesihatan mental? 

Biar betul? 

Tentu ramai yang kurang yakin kan tetapi hakikatnya itulah yang diakui dan didedahkan oleh Juara Akademi Fantasi musim ke-6 ini apabila muncul dengan single terbaharunya berjudul ‘Teriak’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi Stacy Anam


“Lagu ini menceritakan perkara yang pernah dilalui ramai orang. Ia berkaitan masalah kesihatan mental dan lagu ini juga sebenarnya bercerita mengenai pengalaman saya sendiri yang pernah mengalami masalah depresi dan tekanan mental. 

"Cuma, bila teringat kembali peristiwa itu, saya tidak terlalu mengambil berat emosi saya ketika itu, sedangkan ia sangat penting,” dedah Stacy pada majlis pelancaran ‘Teriak’ yang berlangsung di Restoren Deep Blue Bar, The Face Suites, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir suaminya, penyanyi dan komposer Akim Ahmad serta Rosmin Hashim selaku Pengarah Urusan Nova Music.


Rosmin (kiri) bersama Stacy dan Akim menandatangangi poster Teriak sebagai gimik pelancaran lagu,


Menyedari ramai yang mengalami masalah yang sama lebih-lebih lagi ketika negara berdepan ‘lock down’ disebabkan penularan kes COVID-19, Stacy bagaimana pun berpendapat situasi itu sebenarnya boleh diatasi dengan merujuk kepada pihak berkaitan.

“Kalau dahulu, saya tidak begitu faham dengan masalah kesihatan mental. Saya hanya belajar untuk banyak bersabar untuk menghadapi tekanan jiwa yang dirasai ketika itu. Sedangkan sebenarnya ada banyak kumpulan sokongan seperti Befrienders KL yang boleh dihubungi untuk membantu individu yang berhadapan dengan masalah itu,” katanya.

Tambah Stacy, lirik lagu bertemakan masalah kesihatan mental itu ditulis selepas mendengar melodi terlebih dahulu. 



“Saya berasakan melodi ini memerlukan lirik yang betul-betul kuat. Disebabkan lagu ini juga saya yang nyanyikan sendiri, saya mahukan lirik lagu yang lebih daripada biasa. Ia mengambil masa agak lama juga untuk dihasilkan kerana perlu mencari lirik yang betul-betul sesuai,” jelasnya sambil bersyukur mendapat bimbingan dan sokongan Akim apatah lagi ‘Teriak’ menampilkan genre rock yang memberikan cabaran tersendiri buat dirinya.

Namun disebabkan keinginannya untuk mengulangi kejayaan hampir kesemua lagu yang pernah dilancarkan, sekali lagi, Stacy menerusi nama pena Bunga Cantik bekerjasama dengan Akim Ahmad atau nama penanya, Hang Nadim dalam penghasilan single terbaharunya itu.



“Saya berterima kasih kepada Akim kerana dia banyak membantu. Tanpa adanya bantuan daripada dia, mungkin lagu ini tidak akan menjadi. Untuk bawa genre muzik seperti ini memang susah dan sekarang ini saya giat berlatih supaya dapat menanyikan lagu ini secara langsung dengan baik,” ujar Stacy yang bakal membuat persembahan sulungnya secara eksklusif pada Konsert Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Persembah Stacy pada 25 Februari 2023 ini.




Kemampuan Stacy mempersembah sesebuah lagu dengan ‘trademark’ dimiliki meletakkannya pada kelas tersendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan, Stacy hanya satu, tiada dua.

"Untuk konsert di DFP nanti, saya akan bawa lagu ini secara eksklusif. Jadi, memang sekarang saya banyak tumpukan perhatian untuk mempersembahkan lagu ini dengan baik. Semoga semuanya berjalan lancar,” ujar Stacy memandangkan genre rock pada lagu ‘Teriak’ paling mencabar waima sudah lama tidak menyanyikan lagu seperti itu sambil rasa terharu dapat membuat persembahan di DFP selepas 15 tahun dalam industri seni hiburan.



Sambungnya dari segi teknikal pula, ia sangat memerlukan usaha yang banyak untuk dapatkan hasil terbaik.

“Saya harap orang ramai dapat faham apa isi sebenar yang ingin saya sampaikan dalam lagu terbaharu saya ini. Saya pernah mengalami masalah sedemikian, jadi saya mampu berikan penjiwaan sepenuhnya ketika menyampaikan lagu ini,” akhiri Stacy penuh yakin. - KitaReporters


Pengarah Kluster Marcom, The Face Suites, Nora Ismail (sebelah Stacy) dan pegawai serta kakitangan Restoren Deep Blue Bar, tidak ketinggalan mahu merakamkan gambar kenangan bersama Stacy dan Akim.

8
12
0
15
0
You will be interested