Seni & Sukan 24 Oct, 2024

Gila Hindustan| Dilip lukakan hati Saira! Kahwin secara rahsia! Tapi akhirnya kekal sehingga hujung!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 


“Senangnya dalam hati, kalau beristeri dua. Seperti dunia ana yang punya.” Itu kata P Ramlee dalam ‘Madu Tiga’. Tetapi bagi seorang isteri, adalah satu penyeksaan apabila suami tercinta berkahwin lagi.  

Derita ini dirasai aktres terkenal Bollywood, Saira Banu, apabila suaminya, aktor Dilip Kumar atau nama sebenar Muhammad Yusuf Khan, berkahwin secara rahsia dengan Asma Rehman setelah 16 tahun berumah tangga.


Saat bahagia hari perkahwinan Dilip Kumar atau Muhammad Yusuf Khan dengan aktres jelita Saira Banu pada 11 Oktober 1966.


Menyorot kembali kisah tersebut dalam memoirnya, Allahyarham menyifatkan itu adalah satu kesilapan besar yang dilakukan kerana melukakan hati Saira. Dia tidak dapat memaafkan dirinya sendiri atas kesilapan yang dilakukan.

Dengan bernikah lain, Dilip juga telah mungkir janji kepada kedua-dua ibu bapa Saira. Sewaktu hendak menyunting Saira, dia memberi komitment tidak akan berkahwin lain. Nyata janji itu terlerai selepas 16 tahun.


Aisa Rehman berkahwin dengan Dilip Kumar pada 1982. 


Dilip Kumar, jejaka bujang dan pelakon popular, juga pernah dikaitkan denga pelakon Madhubala. 

Ketika Dilip sudah terkenal sebagai pelakon, Saira Banu hanyalah salah seorang peminat yang memuja dan mengimpikan alangkah bahagianya jika dapat berkahwin dengan Dilip.

Takdir Allah menentukan itu menjadi kenyataan. Dilip berkahwin dengan Saira Banu pada 11 Oktober 1966. Sewaktu berkahwin, umur Dilip sekali ganda daripada Saira. Dia berusaha 44 tahun sedangkan Saira berusia 22 tahun. 

Dilip dilahirkan pada 11 Disember 1922 di Peshawar, Pakistan sementara Saira Banu lahir pada 23 Ogos 1944 Mussoorie, kini dikenali sebagai Uttarakhand, India.


Dilip Kumar pelakon tampan ketika bujang.


Mereka dilihat pasangan bahagia yang ideal di Bollywood. Namun setelah 16 tahun bersama, Dilip secara rahsia bernikah dengan Asma Rehman. Saira Banu hanya tahu mengenai perkahwinan tersebut melalui laporan akhbar. Walau pun pada mulanya dia tidak percaya, ternyata berita itu benar. Remuk hati Saira dengan perbuatan suaminya.

Dilip pertama kali bertemu dengan Asma di Hyderabad pada satu perlawanan kriket. Perkenalan antara seorang bintang popular dengan peminat itu berlanjutan menjadi hubungan kekasih. Akhirnya mereka berkahwin pada 1982.


Saira Banu pula antara artis jelita Bollywood dan membintangi banyak filem pecah panggung.


Berita ini sangat mengejutkan dan menghancurkan hati Saira kerana selama ini dia percaya penuh kepada suaminya. Peristiwa itu adalah detik yang sangat mencabar dalam hubungan mereka sebagai suami isteri.  Rumah tangga mereka goyah. 

Dilip mengakui dia telah melakukan kesilapan dan meminta Saira memberinya sedikit masa untuk proses menceraikan Asma. Dia mengaku tidak boleh melupakan apa yang terjadi dan tidak memaafkan dirinya atas kesalahan yang dilakukan.

Walau pun hatinya terluka, Saira tetap di samping Dilip setelah dia mengakui kesilapannya. Dia berjanji kepada isterinya untuk membetulkan keadaan dan mempertahan ikatan perkahwinan  yang mencecah usia 16 tahun.


Dilip Kumar dan Saira Banu berlakon bersama dalam filem 'Gopi' keluaran tahun 1970.


Sebelum pun proses perceraian dengan Asma selesai, Dilip menandatangi ‘surat komitmen’ kepada Saira untuk akur kepada janji yang dilafazkan kepada ibu bapa Saira agar tidak dikhianati lagi.

Dilip menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan takdir serta mempunyai hikmah tersendiri. Ia adalah ujian yang menambah erat hubungan kasih sayang dan menjadikan hubungan mereka lebih  rapat, lebih bahagia. 

Selepas episod ini berlalu dan Asma diceraikan, Dilip dan Saira terus melalui kehidupan dalam suasana mesra seperti ketika sebelum kejadian. 

Pasangan tersebut kekal bahagia sehinggalah Dilip meninggal dunia pada 7 Julai 2021 dalam usia 99 tahun. Pasangan ini tidak dikurniakan anak.


Hubungan kasih sayang Dilip Kumar dan Saira Banu utuh sehingga ke akhir hayat. Gambar ini diambil setahun sebelum Dilip meninggal dunia pada 7 Julai 2021.


Sebagai bintang hebat di eranya, Dilip membintangi banyak filem. Antaranya, ‘Ram Aur Syam’, ‘Mughal-E-Azam’, ‘Vidhaata’, ‘Kranti’, ‘Karma’, ‘Shakti’, ‘Gunga Jumna’, ‘Leader’, ‘Duniya’, ‘Dhil Diya Dard Liya’, ‘Sunghursh’, ‘Aadmi’, ‘Dastaan’ dan banyak lagi.

Saira Banu, antara bintang jelita Bollywood antaranya membintangi filem ‘Junglee’, ‘Jhuk Gaya Aasman’, ‘Victoria 203, ‘Nehle Peh Dehla’, ‘Aman’, ‘Resham Ki Dori’, ‘Hera Peri’, ‘Yeh Zindagi Kitni Haseen Hai’, ‘Ayee Milan Ki Bela’, ‘April Fool’ dan banyak lagi.

Dilip Kumar dan Saira Banu juga pernah membintangi filem bersama, antaranya ‘Gopi’  yang merupakan filem pertama mereka berlakon bersama, dan ‘Bairaag’, masing-masing keluaran tahun 1970 dan 1976.  - KitaReporters

 

14
16
0
10
0
You will be interested