Seni & Sukan 10 Nov, 2025

FAM vs FIFA| FIFA tak cabar kuasa beri kewarganegaraan! Tapi kelayakan untuk bermain bagi negara!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this

Pandangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan,  Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer berhubung sekatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai kurang tepat.


Laporan sebuah portal berita mengenai sekatan FIFA ke atas FAM dan pemain warisan negara.


Malah penganalisis sukan, Zakaria Rahim turut menyifatkan pandangan tersebut juga berisiko mengelirukan masyarakat awam mengenai isu sebenar yang dipertikai oleh badan induk bola sepak dunia itu.

Beliau berkata, FIFA tidak pernah mempertikaikan hak kewarganegaraan Malaysia yang diberikan kepada tujuh pemain berkenaan, sebaliknya keputusan yang dibuat oleh badan antarabangsa itu berkait dengan peraturan kelayakan pemain mewakili pasukan kebangsaan, bukan urusan pentadbiran negara.

“FIFA tidak menyoal sama ada pemain itu warganegara Malaysia atau tidak. Itu hak mutlak kerajaan Malaysia. 

"Tetapi FIFA ada bidang kuasa untuk menentukan siapa yang layak bermain bagi sesebuah negara di bawah peraturan antarabangsa,” katanya kepada KitaReporters.

Tambahnya, FIFA bertindak berdasarkan bukti bahawa dokumen warisan pemain yang dikemukakan oleh FAM bercanggah dengan rekod asal, sekali gus memenuhi takrif pemalsuan dokumen dalam konteks tatatertib bola sepak, bukannya undang-undang jenayah negara.

“Dalam kes ini, FIFA bukan mendakwa kerajaan Malaysia palsukan dokumen. Mereka mendapati bukti asal datuk atau nenek pemain menunjukkan tempat lahir yang tidak sepadan dengan versi dikemukakan oleh FAM. Maka, dokumen itu dianggap tidak sah menurut peraturan FIFA,” ujar Zakaria.


Zakaria Rahim.


Memetik laporan sebuah portal berita, Dr Hamid menyifatkan keputusan FIFA mengenakan sekatan terhadap FAM dan tujuh pemain berkenaan sebagai 'kesilapan bidang kuasa' dengan alasan bahawa penilaian ke atas kesahihan dokumen rasmi kerajaan adalah hak eksklusif mahkamah Malaysia.

Memetik Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA yang digunakan untuk menjatuhkan hukuman tersebut, beliau berhujah bahawa peruntukan itu hanya terpakai kepada kes pemalsuan dokumen, bukan kes di mana dokumen dikeluarkan secara sah oleh agensi kerajaan.

“Pada pandangan saya, Perkara 22 tidak akan terpakai kepada dokumen yang sah atau dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan Malaysia atau agensinya. 

"Penimbang tara atau jawatankuasa boleh menolak sijil kelahiran, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengatakan ia dipalsukan,” katanya.

Beliau menambah bahawa isu kewarganegaraan tujuh pemain Harimau Malaya yang dipertikain kekal sebagai perkara yang sepatutnya dirujuk ke mahkamah Malaysia selaku satu-satunya pihak berkuasa untuk menilai keabsahan rekod kerajaan.

Dr Hamid Sultan Abu Backer.

Mengulas pandangan Dr Hamid itu, Zakaria berkata, hujah bekas hakim berkenaan tidak mengambil kira struktur undang-undang sukan antarabangsa, di mana setiap ahli gabungan tertakluk kepada bidang kuasa FIFA dalam hal tatatertib dan kelayakan pemain.

“FIFA tak pernah cabar kewarganegaraan yang diberi kerajaan Malaysia, tetapi FIFA boleh menentukan sama ada seseorang layak bermain untuk pasukan kebangsaan berdasarkan dokumen yang dikemukakan. Itu peraturan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, keputusan FIFA adalah selaras dengan prinsip liabiliti ketat (strict liability) -- iaitu persatuan bertanggungjawab terhadap kesalahan pemain di bawah pentadbirannya, walaupun tanpa niat atau pengetahuan langsung.
“Dalam bola sepak, konsep ‘liabiliti ketat’ ini bukan baharu. Ia sama seperti doping -- walaupun pasukan tidak tahu pemain guna bahan terlarang, pasukan tetap boleh dihukum. Itu tanggungjawab kolektif,” jelasnya.
Zakaria memberitahu bahawa FIFA berperanan memastikan keadilan dan integriti dalam perlawanan antarabangsa dan tidak boleh berdiam diri apabila terdapat bukti dokumen bertentangan digunakan untuk mendaftarkan pemain.
“Kalau FIFA diam, ia akan jadi insiden buruk kepada sistem bola sepak dunia. Negara lain pun boleh buat perkara sama -- guna dokumen yang tidak konsisten untuk daftarkan pemain warisan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peraturan FIFA mengenai kelayakan pemain adalah tersusun dan diiktiraf seluruh dunia, dengan tiga kategori utama kelayakan.


Isu penggantungan tujuh pemain warisan negara selama 12 bulan menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat tanah air.

Pertama, pemain yang memang lahir sebagai warganegara (origin player). Kedua, pemain yang ada susur galur keturunan sehingga ke datuk atau nenek (FIFA Grandparent Rule). Ketiga, pemain naturalisasi yang telah menetap lima tahun tanpa keluar dari negara tersebut.

“Kalau pemain tak penuhi mana-mana kriteria ini, dia tak boleh wakili negara. Walaupun dia warganegara sah, peraturan FIFA tetap tidak membenarkan,” ujar Zakaria.
Beliau turut meminta agar masyarakat tidak terpengaruh dengan naratif bahawa sesiapa yang mengkritik FAM adalah 'penyokong FIFA'.
“Menegur bukan bermakna membenci. Kita kritik sebab kita sayangkan bola sepak Malaysia. Kalau FAM betul-betul ada bukti warisan, rakyat semua akan bersama mereka menentang FIFA,” tegasnya.

Zakaria menjelaskan bahawa buat masa ini, tiada sebarang bukti sahih dikemukakan bagi menyokong dakwaan bahawa tujuh pemain tersebut benar-benar mempunyai keturunan Malaysia, sementara laporan antarabangsa sudah menyiarkan versi asal sijil kelahiran waris mereka.

“FAM perlu kemukakan bukti jelas, bukan sekadar penjelasan umum. Tanpa dokumen rasmi yang konsisten, sukar untuk FIFA tarik balik keputusan,” ujarnya.



Mengulas keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA yang menolak rayuan FAM pada 3 November 2025, beliau berkata hukuman itu sebenarnya merupakan hukuman minimum (floor penalty) dan boleh meningkat sekiranya kesalahan disabit semula oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Kalau FAM nak rayu ke CAS, mereka mesti tunggu laporan penuh ‘Motivated Decision’. Dari situ baru boleh nilai sama ada ada ruang teknikal atau fakta baharu yang boleh dipertahankan,” katanya.

Menurutnya lagi, tujuh pemain terbabit kekal sebagai warganegara Malaysia selagi tidak dilucutkan melalui kuasa Perkara 26(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun dari segi peraturan FIFA, mereka tetap tidak boleh mewakili Malaysia jika gagal memenuhi syarat kelayakan.

“Tempoh penggantungan 12 bulan itu bukan ‘lesen bebas’. Ia hukuman, bukan pemutihan rekod. Selepas tamat tempoh itu pun, pemain masih perlu lulus semakan kelayakan semula oleh FIFA,” katanya.

Beliau menutup ulasannya dengan menegaskan bahawa undang-undang negara dan peraturan FIFA tidak bercanggah, sebaliknya beroperasi dalam domain masing-masing.

“Mahkamah Malaysia uruskan isu kewarganegaraan, FIFA pula kawal kelayakan dan disiplin dalam bola sepak antarabangsa. Dua-dua ada fungsi sendiri. Jangan campur adukkan,” katanya.



Pada 26 September 2025 lalu, FIFA mengenakan denda 350,000 franc Switzerland (RM1.9 juta) terhadap FAM serta denda 2,000 franc dan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara.

Mereka ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FIFA mendakwa dokumen asal datuk atau nenek pemain berbeza dengan versi yang dikemukakan FAM dalam pendaftaran rasmi. 

Rayuan FAM ditolak pada 3 November 2025, namun badan itu masih mempunyai tempoh 21 hari untuk menentukan sama ada akan membawa kes tersebut ke CAS. - KitaReporters

14
12
0
6
0
You will be interested