Dunia hiburan tempatan bakal disajikan dengan sebuah karya epik penuh jiwa apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) mempersembahkan drama baharu berbentuk supertele (drama berskala besar) berjudul ‘Srikandi’, inspirasi daripada karya agung klasik Syair Siti Zubaidah Perang Cina pada 1840.


Fauziah Latiff memegang watak 'Bonda Sultanah' dalam drama 'Srikandi'.
Menampilkan gandingan pelakon baharu berbakat besar seperti Farali Khan sebagai Siti Zubaidah, Amalina Arham dan penyanyi serta pelakon terkenal, Fauziah Latiff, drama ini menjanjikan lakonan penuh emosi yang bakal meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Mengangkat kisah seorang wanita berani yang sanggup menggalas tanggungjawab di medan perang demi agama dan bangsa, Srikandi hadir dengan tagline penuh makna: “Tiada kekalahan dalam berjihad, hanya ada menang ataupun syahid.”
Ungkapan ini menjadi nadi kepada keseluruhan penceritaan, sekali gus mengangkat martabat wanita dalam sejarah perjuangan.

Antara barisan pelakon yang hadir, (dari kiri) Mubarak Majid, Hafidzudin Fazil, Farali Khan, Fauziah Latiff, Catriona Ross dan Amalina Arham.
Menariknya melalui ‘Srikandi’ penonton berpeluang melihat lakonan Fauziah Latiff atau lebih mesra disapa Gee yang terkenal dengan gaya dan tutur kata lembah lembutnya bertukar karakter menjadi seorang ‘Sultanah’ yang serius dan ‘garang’.
“Ok tak mimik wajah saya, nampak garang tak, harap-harap jadilah, jika tidak minta maaflah,” luah Gee lembut ketika ditemui pada majis pratonton ‘Srikandi’ yang berlangsung di GSC Starling Mall pada 8 September 2025 lalu.
Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Abang Haliman Abang Julai, yang sekali gus menyaksikan pelancaran buku skrip ‘Srikandi’, terbitan khas oleh DBP.

Majlis pelancaran buku skrip 'Srikandi' diserahkan kepada Suhaimi Sulaiman oleh Abang Haliman Abang Julai (kanan sekali).
Dalam supertele ‘Srikandi’, Fauziah Latiff memegang watak sebagai ‘Bonda Sultanah’ di samping barisan pelakon lain yang turut menyerikan drama ini termasuk Datuk Fauziah Nawi, Catriona Ross, Khatijah Tan, Hafidzudin Fazil, Mubarak Majid, Che Kem, Luqman Hafidz dan ramai lagi.
Produksi yang menelan belanja RM2 juta ini merupakan usaha bersama yang disokong oleh DBP, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang.

Berkongsi lanjut mengenai wataknya, Fauziah Latiff akui ia satu cabaran besar baginya apabila dikehendaki melakonkan watak tegas sebagai 'Bonda Sultanah'.
“Watak ini berat, satu tanggungjawab yang besar untuk saya pikul. Banyak yang perlu kita kaji pada watak itu.
"Tetapi alhamdulillah dengan bantuan ibu Fauziah Nawi dan lain lain serta latihan intensif, saya cuba yang terbaik,” sambung Gee sambil berharap lakonannya itu memuaskan hati penonton.

Salah satu babak lakonan Gee bersama Khatijah Tan dalam 'Srikandi'.
Dengan gabungan jalan cerita penuh dramatik, sinematografi indah dan nilai sejarah yang jarang dipaparkan dalam kaca televisyen, Srikandi arahan Wan Mohd Afzam Wan Daud dari Unit Drama TV RTM, dijangka menjadi buah mulut peminat drama tanah air waima ia menggabungkan unsur sejarah dan fiksyen dari era sebelum abad ke-16,
Mengisahkan Siti Zubaidah, seorang wanita Melayu yang memulakan misi berani menyelamatkan suaminya ketika sarat mengandung, ia bukan sahaja mengetengahkan sisi kepahlawanan seorang wanita, tetapi juga sarat dengan mesej pengorbanan, keberanian dan cinta terhadap tanah air.

Wan Mohd Afzam Wan Daud (kiri) ketika di set penggambaran.
Sementara itu, pengarahnya, Wan Mohd Afzam yang turut ditemui memberitahu, penggambaran berlangsung lebih sebulan di pelbagai lokasi di sekitar Negeri Pahang (antaranya Sungai Pahang Kuala Tahan, Perkampungan Dalam Gua Gelangi, Mossy Forest, Pulau Tioman) dan Taman Botani Shah Alam.
‘Srikandi’ yang merupakan drama berskala besar pertama RTM diterbitkan dalam format sinematik akan disiarkan pada 15 September 2025, pukul 9 malam di TV1 dan RTMKlik, sempena Hari Malaysia.
“Ia sebuah projek rintis dan sebagaimana pandangan Datuk Suhaimi ia adalah platform latihan bagi pasukan RTM meneroka kaedah penerbitan moden dengan bimbingan tenaga berpengalaman terdiri daripada penyelidik dan pakar sejarah,” ujar Wan Mohd Afzam.
Bahkan khabarnya 'Srikandi' akan dihantar ke beberapa festival filem antarabangsa malah bakal diketengahkan ke Mongolia sempena Persidangan Kesatuan Penyiaran Asia-Pasifik (ABU) yang dijangka berlangsung pada 11 hingga 15 September 2025 ini, sebagai antara projek inovatif RTM.

Pun begitu, yang pasti sebagai penonton yang menyaksikan sebuah pengakhirian cerita yang tergantung timbul tanda tanya ‘mungkinkah ada sambungannya kerana cerita berakhir tanpa jawapan apakah suami Siti Zubaidah iaitu Sultan Zainal Abidin masih hidup?’
"Kita tengok maklum balas dan sambutannya terlebih dahulu,” jawab Wan Mohd Afzam memberikan bayangan positif kemungkinan itu wujud jika bajetnya juga mengizinkan. - KitaReporters