Karyawan seni termasuk golongan di belakang tabir yang mempunyai masalah kesihatan dan kewangan untuk meneruskan hidup boleh menghubungi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).
Ia dinyatakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang mengetuai program Ziarah Madani @ FINAS, pada Isnin, 4 Ogos 2025 di ibu negara.
Dalam program ziarah kasih itu, rombongan FINAS mengunjungi anggota kumpulan Nico G, Mohd Shah Rosli atau Dino dan pelawak veteran, Sathia Periasamy, lebih dikenali sebagai ‘Sathiya’.
Menurut Teo, bagi tahun 2025, sehingga 31 Julai seramai 112 penggiat seni disantuni FINAS, melepasi sasaran awal hanya 100 penerima.

Bantuan disalurkan melalui beberapa program kebajikan termasuk Program Raya Sama-Sama 2025 (50 penerima), Majlis Sambutan Hari Seniman 2025 (20), Majlis Hari Raya Kementerian Komunikasi (10), Majlis Hari Raya FINAS (20), selain inisiatif Ziarah Seni Madani FINAS.
Menurut Teo, semua program itu berkenaan bertujuan meringankan beban warga seni yang memerlukan, khususnya dari aspek kebajikan dan kesihatan.
Tambah Teo, sasaran FINAS untuk kes-kes kecemasan tahun ini (2025) adalah sekitar 100 orang. Jadi, untuk sesiapa yang memerlukan bantuan, khususnya artis veteran, bolehlah menghubungi FINAS dan Perbadanan ini akan berusaha sedaya upaya membantu mereka.

Kata Teo lagi, pada tahun 2024, FINAS telah membantu 49 orang karyawan seni. Dan bagi tahun 2025 seramai 12 karyawan seni yang dibantu termasuk yang terakhir Mohd Shah Rosli (Dino) dan Sathiya.
Dino, 50, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli belah mengalami angin ahmar sejak sebulan lalu kini menghadapi masalah kewangan dan bersyukur menerima bantuan daripada program Ziarah Madani @ FINAS.
Turut bersyukur menerima sumbangan daripada FINAS ialah Sathiya yang terpaksa dipotong tiga jari kaki kerana diabetes.
Memandang sumbangan FINAS hanya bersifat pemberian sekali sahaja (one-off), menurut Neo, Kementerian Komunikasi akan menjadi pemudah cara bagi membolehkan insan seni yang memerlu sumbangan berpanjangan dengan menyalurkan maklumat kepada badan tertentu seperti pusat zakat untuk sumbangan susulan. - KitaReporters


Sathiya (tengah) berterima kasih menerima sumbangan FINAS daripada Teo