Seni & Sukan 23 Nov, 2025

Video| Derita Liza Hanim dalam Jeda Derita! Menangis masa rakam lagu! Rasai kekecewaan, kelelahan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Pengalaman hilang fokus, permohonan untuk memadamkan lampu studio dan linangan air mata. Itulah detik-detik emosional yang dialami penyanyi tersohor,  Liza Hanim, ketika merakamkan single balada terbaharunya, "Jeda Derita".  



Lagu yang sarat jiwa ini merupakan Original Soundtrack (runut bunyi asli atau OST) kepada drama slot Akasia TV3, 'Sumpah Ibuku’, menampilkan gabungan istimewa antara Liza  dan penyanyi terkenal, Tomok sebagai komposer, bersama Fedtri Yahya selaku penulis lirik.

Proses rakaman vokal lagu ini mengambil masa kira-kira dua jam setengah, selepas terpaksa ditunda sebanyak dua kali atas faktor kesihatan malah menghadirkan momen yang cukup emosional buat Liza.

"Ketika itu saya agak hilang fokus kerana terlalu sibuk. Saya sampai minta Tomok padamkan lampu studio untuk membantu saya mendapat mood yang diperlukan. 

"Walaupun saya jarang menangis, ketika merakamkan Jeda Derita, air mata saya mengalir kerana lagu ini sendiri menyampaikan rasa kecewa dan kelelahan,” cerita pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim berusia 46 tahun ini.

Bagi Liza Hanim, peluang menyanyikan lagu ini, terutama bergandingan dengan Tomok, merupakan satu penghormatan dan "titik perubahan" dalam kerjayanya.

Beliau  berpendapat, kelainan utama lagu ini terletak pada penyampaian rasa yang begitu kuat, bukan sahaja dari aspek cerita drama, tetapi juga perjalanan peribadi antara dirinya dan Tomok sejak zaman mereka bersama di syarikat rakaman sehingga kini menghasilkan karya bermakna ini. 

Saya percaya sesiapa yang mendengarnya akan dapat merasai tangisan, kelelahan dan jeda dalam penderitaan yang ingin disampaikan.

"Lagu ini sarat dengan jiwa kerana Tomok benar-benar mencurahkan emosinya dalam penciptaan karya ini,” luahnya lagi.



Liza turut menyatakan keterujaannya untuk bekerjasama lagi dengan Tomok pada masa akan datang. 

“Tomok mempunyai potensi besar. Dari seorang penyanyi, kini beliau menjadi ahli perniagaan, komposer dan penerbit yang baik. 

"Beliau tahu apa yang diinginkan dan sangat jelas dengan visinya. Itu amat membantu penyanyi untuk memberikan yang terbaik tanpa menghilangkan karakter vokal,” tambahnya.

Bagi Liza Hanim, terpilih untuk menyanyikan lagu ini adalah satu penghormatan yang besar dan beliau amat menghargai kepercayaan daripada produksi serta labelnya, Alternate Records di mana ‘Jeda Derita’ merupakan single keduanya bersama syarikat rakaman itu.

"Walaupun saya jarang menangis, ketika merakamkan Jeda Derita, air mata saya mengalir kerana lagu ini sendiri menyampaikan rasa kecewa dan kelelahan, Lebih bermakna apabila diberi peluang bergandingan dengan Tomok, ia satu titik perubahan buat diri saya,” tambahnya.

Dalam pada itu, dalam satu komen negaatif di dalam platform Instagramnya, Liza menjawab  'apa perasaan bila komen sebegini yang dilemparkan...tahniah yang memberi komen itu, anda berjaya menitiskan air mata saya".

Apa pun beliau mendapat sokongan daripada rakan-rakan artis antaranya pelakon Azhan Rani, Misha Omar dan Fedtri sendiri yang berkata, 'buah yang manis akan sentiasa dilontar...'



Dari sudut Tomok pula atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 41, kekuatan lagu ini terletak pada keseimbangan antara melodi meruntun hati, lirik puitis dan vokal bertenaga daripada Liza.

“Yang menariknya, Liza benar-benar menghayati setiap bait lirik seolah-olah merasai sendiri derita dalam lagu ini sampai beliau menangis ketika merakamkannya,” kenang Tomok.

“Jeda Derita ‘ mengangkat tema kesetiaan dalam penderitaan, kekuatan jiwa, dan pergolakan emosi seorang wanita yang dikhianati.

Menurut Fedtri Yahya, lirik lagu ini dihasilkan sepenuhnya dengan menghayati perjalanan watak dalam drama tersebut bagi memastikan impak emosi yang selari dengan jalan cerita.

Saya harus memahami setiap jiwa, derita dan kepayahan yang dirasai bagi memastikan lagu ini memiliki impak emosi yang selari dengan jalan cerita, ujar beliau. 

Dengan kekuatan vokal Liza dan Tomok serta puitisnya sentuhan lirik Fedtri Yahya, 'Jeda Derita' dijangka menjadi antara balada paling emosional dipersembah oleh Liza dalam beberapa tahun kebelakangan ini. - KitaReporters


Dari kiri: Liza, Fedtri dan Tomok ketika rakaman di studio untuk lagu 'Jedi Derita', OST drama 'Sumpah Ibuku'.

19
8
0
12
0
You will be interested