Seni & Sukan 19 Aug, 2025

Siapakah Namamu? Andi bertanya! Kisah cinta pandang pertama! Tapi kenapa videonya bermotif seram?

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Adakah anda dilamun cinta pandang pertama yang tak diduga hadir mengetuk pintu hati? 

Jika ya, single terbaharu daripada penyanyi dan komposer terkenal, Andi Bernadee, 33, berjudul 'Siapakah Namamu' ini mungkin sangat sesuai dengan perasaan anda itu.

Dilancarkan pada 15 Ogos 2025, lagu ini secara khusus mengangkat tema cinta pandang pertama dan merupakan hasil kolaborasi mantap antara Andi, Kuizz, dan The T dengan Kuizz bertindak sebagai penyusun muzik dan penerbit.

Menurut Andi, 'Siapakah Namamu' membawa pendengar merasai detik pertama kali hati terpaut pada seseorang sehingga timbul rasa ingin mengenali insan istimewa tersebut.

“Lagu ini menceritakan tentang seseorang yang menunggu kehadiran cinta. Akhirnya, cinta itu hadir di depan mata, mempesona dengan wajah ayu, cantik, dan jelita, lalu timbul keinginan untuk berkenalan,” ujar Andi.

Idea lagu ini bermula apabila Andi menerima melodi daripada The T, yang menurutnya terus 'mengikat' perhatiannya kerana keunikannya yang berbeza daripada karya-karyanya sebelum ini. 



“Saya tertarik dengan melodinya dan merasakan ada sesuatu yang istimewa. Sebelum ini, saya belum pernah mempunyai rentak seperti ini dalam discography saya,” jelas plantun yang popular dengan lagu "Donde" ini.

Bukan sekadar menyanyi, Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile turut menyumbangkan idea dalam penulisan lirik bagi menambahkan sentuhan peribadinya. 

“Saya mahu menyuntik elemen yang mencerminkan diri saya agar lagu ini benar-benar dekat di hati,” tambahnya.

Walaupun proses rakaman berjalan lancar dan tidak mengambil masa yang panjang, anak kelahiran Kota Kinabalu itu mengakui lagu ini memerlukan ketelitian dari sudut teknik vokal. 

“Melodinya kedengaran mudah, tetapi sebenarnya ia memerlukan kawalan vokal pada bahagian melodi yang naik dan turun. Keunikan melodi inilah yang menjadi kekuatan lagu ini,” katanya.


Menonton videonya agak menyeramkan... anda rasa?


Andi turut memuji komitmen Kuizz dan The T yang menjadi tulang belakang penghasilan lagu ini. Beliau berterima kasih atas kerjasama mereka dan tidak menolak kemungkinan untuk berkolaborasi lagi pada masa akan datang.

“Mereka adalah orang-orang kuat di sebalik lagu ini. Saya berterima kasih kerana mereka menjalankan tugas dengan baik. Tidak ada masalah untuk saya bekerjasama lagi dengan mereka pada masa akan datang,” komen Andi.

Bagi beliau, lagu ini tidak memerlukan pendengar untuk terlalu 'mendalami' liriknya, sebaliknya cukup dengan memasangnya ketika sedang dilamun cinta dengan seseorang yang baharu  dikenali itu,

"Anda akan faham perasaannya," tambah Andi yakin.. 


 





Pun begitu, jika dibaca judulnya yang simple dan santai dengan persoalan 'Siapakah Namamu', menonton videonya pula agak menyeramkan, 

Apa agaknya implikasi yang ingin disampaikan pada persoalan yang ringan waima ia tentang cinta tetapi nampak macam cinta psycho pun ada?

Menjengah ke laman Instagramnya, dapat dibaca Andi mengaitkannya dengan 'agalmatofilia' iaitu sejenis parafilia yang melibatkan tarikan seksual terhadap patung, anak patung, peragawati, atau objek kiasan lain yang menyerupai manusia.

Ia boleh merangkumi fantasi, perasaan atau tingkah laku yang berpusat di sekitar bentuk seperti manusia yang tidak bernyawa ini.

Dan. walau pun nampak 'menakutkan' tetapi rata-rata peminatnya dalam kalangan generasi muda menyukainya dengan komen komen yang bernas. 

Mungkin ini cita rasa generasi baharu agaknya? - KitaReporters


15
9
0
11
0
You will be interested