PARA IBU bapa, anda ada anak-anak yang berusia sembilan tahun ke bawah? Sesi sekolah pun hanya akan dibuka semula 24 Jun 2020, malah masih secara berperingkat-peringkat khususnya untuk pelajar-pelajar tingkatan lima dan enam terlebih dulu. Adakah anda sudah kehabisan idea untuk mengisi masa lapang mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang? : KitaReporters
FAM mengajak adik-adik 9 tahun ke bawah menyertai Cabaran Mewarna FAM 2020. - Kredit foto FB FAM
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada caranya, sertailah Cabaran Mewarna FAM 2020.
Selain sebagai antara sumbangan khidmat sosial persatuan, inilah juga caranya bagi masyarakat pula membalas dengan sokongan padu kepada perjuangan skuad kebangsaan kita.
Harimau Malaya bakal menyambung semula pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh sejak Mac 2020 lalu gara-gara penularan pandemik maut, Covid-19.
Mereka akan menentang Amiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober 2020 diikuti Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil tanggal 13 Oktober dan Thailand di tempat lawan, 17 November ini.
Skuad negara kini menghuni tempat kedua Kumpulan G kelayakan dengan memungut sembilan mata hasil tiga kemenangan daripada lima perlawanan yang jika menjuarainya, akan layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia di China.
TAN Cheng Hoe, ketua jurulatih skuad kebangsaan Harimau Malaya. - Kredit foto: FB Tan Cheng Hoe
Cabaran ini dibuka selama mulai hari ini, 12 Jun 2020 selama seminggu iaitu sehingga 19 Jun 2020.
Hadiahnya?
"Lima penyertaan terbaik Cabaran Mewarna FAM 2020 yang berjaya menawan hati ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, akan memenangi baju-T Harimau Malaya," lapor laman Facebook rasmi persatuan itu hari ini.
Bagaimana ya?
"Anda hanya perlu Save/Download & Print (Simpan/Muat Turun dan Cetak) gambar ini.
BORANG penyertaan Cabaran Mewarna dan sketsa sayap kanan Harimau Malaya, Safawi Rasid yang perlu diwarnakan peserta. - Kredit foto:
"Kemudian berikan kepada anak anda untuk mereka menunjukkan kreativiti mewarna.
"Tetapi penting diingatkan, jangan pula ayah, emak, abang atau kakak atau sesiapa lain yang turut membantu mewarnakannya ya!" lapor laman sosial itu.
Awas ya, kalau tidak mahu dikenakan ‘Kad Merah’ (tersingkir atau dibatalkan penyertaan)!
Cara penyertaan:
1. Tukarkan setting privacy (penetapan peribadi) akaun anda/anak anda atau posting (hantaran) anda itu kepada 'Public' (Umum) sama ada dalam laman sosial Facebook, Twitter atau Instagram.
2. Posting berkenaan perlu disertakan tiga gambar iaitu:
i) Gambar anak anda sedang mewarna.
ii) Gambar anak anda sedang memegang lukisan yang sudah siap diwarna.
iii) Gambar lukisan sahaja yang telah siap diwarna dan lengkap ditulis Nama dan Umur peserta.
3. Posting berkenaan perlu disertakan dengan Hashtag #CabaranMewarnaFAM
Selamat mencuba & selamat berhujung minggu! - KitaReporters
MUNGKIN adik-adik boleh merujuk aksi sebenar Safawi Rasid dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ini sebagai panduan. - Kredit foto: FAM