Seni & Sukan 18 Oct, 2021

Terima kasih JPKD Kemelah, PKP Segamat! Penghantar makanan sekitar Segamat dapat minyak percuma!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this

Poster Program Isi Minyak Motosikal Percuma untuk penghantar makanan bermotosikal di Segamat.


LEBIH 100 penghantar makanan GrabFood dan Foodpanda di sekitar bandar Segamat mendapat minyak motorsikal percuma melalui penganjuran Program Isi  Minyak Motor Percuma dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Prihatin (PKP) Segamat, Jawatankuasa Penyelaras Khas DUN (JPKD) Kemelah dan UMNO Sekijang pada Ahad 17 Oktober 2021 lalu.

Penyelaras Projek, Hanif Parhin berkata, program yang diadakan di Stesyen Minyak Petronas Jalan Buloh Kasap itu bagi menzahirkan penghargaan serta pengiktirafan kepada golongan penghantar makanan di sekitar Segamat yang telah banyak memainkan peranan sebagai sebahagian barisan hadapan sepanjang perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penghantar makanan

Sebahagian penghantar makanan bermotosikal di Segamat bergambar bersama Dr. Baharum Mohamed (lima dari kanan) dan Anuar Manap (tiga dari kiri) ketika Pogram Isi Minyak Motosikal Percuma di Stesyen Minyak Petronas Jalan Buloh Kasap, Segamat pada 17 Oktober 2021.



“Mungkin ramai dalam kalangan masyarakat yang terlepas pandang sumbangan golongan tersebut dan program ini selain membantu meringankan beban mereka diharapkan turut mampu mengingatkan kembali masyarakat khususnya penduduk di Segamat mengenai peranan serta sumbangan mereka yang perlu dihargai.

“Dalam masa yang sama melalui program ini kami juga mengambil kesempatan untuk mengingatkan mereka yang rata-rata menggunakan motosikal agar sentiasa mengutamakan keselamatan serta mematuhi peraturan jalan raya sepanjang tempoh menjalankan tugas bagi membuang pandangan negatif sesetengah pihak terhadap golongan tersebut,” katanya yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sekijang.


Dr. Baharum Mohamed (kiri) melihat Anuar Manap mengisi petrol motosikal salah seorang penghantar makanan. 


Katanya, program tersebut juga merupakan siri pertama daripada beberapa siri program serupa yang telah dirancang dalam masa terdekat bagi membantu penghantar makanan bermotorsikal di daerah Segamat meringankan beban harian mereka.

Menurutnya, program seterusnya akan diadakan di beberapa lokasi lain yang difikirkan sesuai selain memberi peluang kepada penghantar makanan yang beroperasi di lokasi berbeza untuk turut serta nanti kerana mungkin terdapat dalam kalangan mereka tidak berkesempatan menyertai program  yang diadakan ini.

Hadir sama sepanjang program tersebut adalah Pengerusi JPKD Kemelah, Datuk  Dr. Baharum Mohamed; Naib Pengerusi UMNO Sekijang, Anuar Manap; Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Segamat; serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sekijang selain sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Prihatin Segamat.


Keceriaan jelas terbayang di wajah penghantar makanan bermotosikal di Segamat yang menerima petrol percuma.


Sementara itu, Baharum Mohamed berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) dalam penganjuran sebarang program yang dapat memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.

“Kita maklum pendemik Covid-19 telah memberi kesan kepada banyak pihak dan ramai yang memerlukan bantuan bukan sahaja dalam bentuk kebendaan, malah dalam bentuk sokongan lain seperti khidmat nasihat.

“Saya harap akan lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang terkesan ini, jika pun bukan dalam bentuk 

kebendaan kita masih boleh menyumbang dalam bentuk tenaga, masa serta idea bagi memastikan mereka yang terkesan mampu bangkit menjalani kehidupan selesa seperti sebelum negara dilanda Covid-19,” katanya yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sekijang. - KitaReporters


Dr. Baharum Mohamed membantu salah seorang penghantar makanan mengisi petrol semasa Program Isi Minyak Motosikal Percuma untuk penghantar makanan di Segamat.

6
11
0
10
0
You will be interested