Seni & Sukan 08 Oct, 2020

Konsert Slam! Harap Mentari Muncul Kembali bagi sinari 2021

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this

SEJAJAR dengan keadaan semasa di mana negara dilanda pandemik COVID-19, pemilihan tajuk Konsert ‘Mentari Muncul Lagi’ dari kumpulan Slam menepati harapan semua agar wabak berbahaya itu dapat diputuskan menjelang persembahan pembuka tirai  pentas berprestij Dewan Plenari KLCC pada 17 Januari 2021. : KitaReporters

Shirazdeen Karim (kiri) bersama kumpulan Slam yang hadir, Shah, Zamani, Eddie dan Man.


“Itulah harapan kami semua agar sinar yang lebih terang kembali untuk tahun hadapan selepas semua  terkesan dek wabak koronovirus,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim pada majlis sidang media pengumuman Konsert Mentari Muncul Lagi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada petang semalam, Rabu 7 Oktober 2020.

Tidak mahu terus terhimpit, Shirazdeen mengambil langkah berani meneruskan niatnya menganjurkan konsert kumpulan legenda dan terkenal itu dengan tidak mengetepikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan.

“Slam adalah sebuah kumpulan yang sudah lama pihak kami merancang untuk menganjurkan konsert mereka dan kini impian itu menjadi kenyataan” ujar Shirazdeen yang lebih mesra disapa Shiraz sahaja.

Jika itu luahan rasa gembira Shiraz selaku penganjur, sudah tentu kumpulan Slam yang dianggotai vokalis bersuara merdu mereka, Zamani bersama Shah (gitar), Eddie (keyboard), Man (dram) serta Lili (bes, tidak hadir, berada di Singapura) lebih teruja waima sejak tiga puluh tahun berada dalam industri inilah kali pertama mereka mempersembahkan senarai katalog lagu-lagu hits mereka di sebuah venue berpresti seperti di Dewan Plenari, KLCC.


Sehubungan itu, Slam berjanji akan memberikan kepuasan kepada lebih kurang 2,800 penonton dengan membawa mereka mengimbau nostalgia masa lalu sewaktu membesar dengan lagu-lagu hit mereka seperti ‘Gerimis Mengundang’, ‘Tak Mungkin Berpaling’, ‘Manisnya Rindu’, ‘Bukan Niat Membalas Derita’, Kembali Terjalin’, ‘Nurkasih’ dan tentu sekali lagu daripada tajuk konsert ‘Mentari Muncul Lagi.’

Selepas tiga tahun tidak muncul dengan sebuah konsert mungkinkah kali ini ada kelainannya untuk peminat setia Slam?

“Kalau sebut tentang kelainan, kami boleh katakan susunan muzik akan lebih mantap lagi dan kita membesarkan lagi muzik dan bunyi dengan penambahan instrumen. 

“Untuk konsert kali ini juga, kami akan menggunakan teknologi moden dengan menyelaraskan visual dan teknik pencahayaan. Rasanya ini merupakan sebuah ‘stepping stone’ untuk Slam memberikan satu perkara baru untuk para peminat,” ujar Shah mewakili kumpulan Slam sambil mendapat anggukan tanda bersetuju oleh rakan-rakan anggota lain yang hadir.

Menurut Shah, dengan Konsert Mentari Muncul Lagi, Slam berharap ia sebagai langkah permulaan untuk konsert-konsert  mendatang.


“Banyak perancangan yang sudah terkandas. Ini akan menjadi sebuah pengenalan Slam yang kami serius kembali demi hadiah buat peminat,” tambah Shah. 

Sementara itu, Zamani atau nama penuhnya Zamani Ibrahim yang diketahui ramai kesihatannya kadangkala terganggu turut teruja dengan konsert yang bakal diadakan waima berjanji akan memberitkan persembahan terbaik.

“Doakan kesihatan saya baik-baik sahaja agar dapat memuaskan hati semua peminat,” pintanya.

Kumpulan yang berasal dari Johor ini sudah menempa nama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dikenali di Singapura, Brunei dan Indonesia dan sudah tentu konsert mereka pada venue kali ini merupakan penambahan sejarah buat Slam mahu pun peminat tegar mereka.

Antara pencapaian lain buat Slam yang tersimpan erat dalam sejarah penubuhan mereka ialah memenangi tempat ketiga di Voice of Asia 1997 dan Anugerah Khas di Anugerah Musik Indonesia 1999. 


Konsert Slam Mentari Muncul Lagi menawarkan tiket berharga RM 700 (Meet & Greet) , RM360, RM260, RM200, RM160, RM130 untuk peminat melakar sejarah bersama mereka. 

Untuk sebarang keterangan lanjut, boleh layari www.myticket.asia untuk tempahan tiket yang sudah pun mula dijual namun jika nak tahu lanjut layari laman sosial Slam dan Shiraz Projects. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested