KECOH dalam media sosial di Indonesia memperlihatkan video dan foto perkahwinan antara seorang lelaki dengan seekor kambing biri-biri. Perkahwinan pelik ini dikatakan terjadi di Gresik, Jawa Timur pada Ahad, 5 Jun 2022.
Lelaki bernama Saiful Afif, yang berusia 44 tahun itu, berkahwin dengan kambing biri-biri diberi nama Sri Rahayu.
Proses pernikahan berlangsung di sebuah tempat yang dinamakan Pesanggrahan Keramat Ki Ageng, iaitu di Desa Jogodalu, Kecamatan Benjeng, Gresik.
Saiful berpakaian lengkap pengantin cara Jawa dengan memakai kopiah (blangkon) warna hijau. Sri Rahayu, si-kambing biri-biri betina itu juga dihias seperti pengantin dengan kain, rantai dan bunga-bunga.
Lebih mengejutkan apabila majlis perkahwinan itu turut dihadiri beberapa tokoh setempat.
Antaranya anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Gresik dari Parti Nasdem, Nurhudi Didin Arianto, yang juga pemilik tempat perkahwinan itu. Turut hadir ialah penghulu (jurunikah) dari pemimpin adat Kejawen bernama Romo Sudarto.
Majlis perkahwinan itu menjadi tular dalam dalam media sosial khususnya melalui akaun TikTok, @SCATV.
Netizen mempertanyakan maksud dan juga kesahihan majlis itu. Ada juga yang berpendapat, majlis itu terpesong daripada norma.
Masyarakat Gresik juga menyuarakan kritikan, tambahan pula anggota DPRD Gresik turut hadir ke majlis itu.
Setelah tular, anggota DPRD Gresik, Nurhudi Didin Arianto pun memohon maaf.
Menurutnya, ia bukan pernikahan sebenarnya, sebaliknya hanya untuk dijadikan bahan ‘kandungan’ untuk ditularkan.