Seni & Sukan 17 Jul, 2020

Terbaik Kamal Patio! Mural 3D awak memang wow! Semoga sukses

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

MELUKIS mural 3D!! Bukan semua orang ada bakat seperti itu. Ada yang perlu menghadiri kelas atau berguru dengan  sifu-sifu dan ada juga memiliki bakat semula jadi anugerah Allah SWT. Juga, siapa tahu daripada hasil melukis sahaja si bujang pun boleh mendirikan 'masjid'. : KitaReporters

Lorong Seni di Klang, Selangor. - Kredit foto-foto: Kamal Mohd Idris 


Bukan biasa-biasa lukisan anak muda ini. 

Sentuhannya sentiasa menjadi. Seiring dengan daya imaginasi, kebolehan, kepakaran, kemahiran dan kreativiti yang ada pada dirinya itu membuatkan hasil seninya dilihat sebagai luar biasa. 

Ada mural 3D seperti dinosour, Hulk, grafiti, pemandangan, taman permainan dan abstrak yang memukau pandangan umum.

Mural ini sudah berusia tujuh tahun dan masih kekal warnanya selepas tujuh tahun.


Bakat semula jadi yang terhasil daripada minat bermain dengan warna sejak berusia enam tahun membolehkan seorang akitek bebas (freelance architect) Kamal Mohd Idris tidak mengambil masa lama mengetengahkan kemahirannya dengan menyertai pelbagai pertandingan melukis dan mewarna yang diadakan sekitar Kuantan di zaman persekolahannya.

Ketika menyambung pengajian dalam bidang seni bina di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kamal yang kini berusia 29 tahun mula berjinak-jinak dengan lukisan mural menggunakan konsep 3D

Garapannya di dinding-dinding bangunan mula mendapat perhatian ramai termasuk syarikat-syarikat korporat, kediaman dan pengusaha pusat asuhan kanak-kanak. 

Lukis selagi boleh. Cantik? Semua orang pasti minat.

Lukisan yang dihasilkannya itu memang menarik perhatian ramai. 

Kamal yang pada peringkat awal bergerak secara one-man show lebih fokus membuat lukisan di bahagian luar dinding bangunan termasuk di kawasan awam.

Pemegang Ijazah Seni Bina ini mempunyai alasan tersendiri apabila ditanya mengenai minatnya dalam penghasilan lukisan mural 3D.

Mural 3D Grafiti

Gumpalan kertas mural 3D

Mural 3D di Kolej Matrikulasi Gambang


"Selain sebagai terapi dalam meredakan tekanan di tempat kerja, saya suka berkarya seperti ini kerana saya sukakan cabaran. 

"Bukan satu tugas mudah untuk menyiapkannya kerana kerja ini perlu dilakukan dengan penuh teliti.

"Bagi saya, besar manapun cabarannya ia bukan penghalang bagi saya untuk menyiapkannya Jiwa saya sudah sebati dengan mural 3D," katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi WhatsApps kepada KitaReporters.com

Kebiasaannya, Kamal memberi peluang kepada pelanggannya untuk memilih mural yang diminati sebelum dia memasukkan elemen yang lebih menarik berdasarkan konsep lukisan itu sendiri.

Kamal menggunakan media campuran iaitu cat semburan, acrylic dan waterbased yang tahan lama keluaran jenama terkenal.


Menurutnya, warna lukisan mural boleh bertahan sehingga tiga tahun tetapi bergantung kepada kawasan mural dibuat dan gred cat yang digunakan.

"Harga mural juga akan menjadi lebih mahal jika menggunakan cat lebih berkualiti kerana ia boleh mempengaruhi ketahanan warna dalam tempoh antara lima hingga tujuh tahun," katanya.

Menurutnya, lukisan mural 3D outdoor di bangunan Tadika Seri Iman Intelek di Bukit Sekilau masih kekal cantik dan tidak kusam selepas tujuh tahun.

Minat mendalam dalam bidang seni ini membuatkan Kamal tidak kisah menerima upah yang rendah, malah tidak berbaloi dengan hasil kerja yang disiapkan. 

Rendah pun rendahlah hasilnya tetap ada.

Kamal mengenakan bayaran antara RM10-RM30 bagi 0.09 meter persegi bergantung kepada keluasan lukisan, reka corak dan kesulitan mural yang perlu disiapkan.

"Saya pernah menerima upah serendah RM50 dalam tempoh 10 tahun bekerja tetapi ia tidak mematahkan semangat saya pun," katanya. 

Lukisan nak cantik tapi bayar ciput je. Mana boleh jadi ni!!



"Lukisan paling sukar untuk disiapkan dan sangat mencabar adalah mewarna struktur mural Dinasour 3D yang sangat besar mencecah ketinggian 7.62 meter di Kuala Kubu Bharu, Selangor yang mengambil masa hampir dua bulan, " katanya.

Kamal berkata, tempoh menyiapkan lukisan muralnya itu bergantung kepada keluasan, waktu bekerja dan faktor cuaca.

Kamal juga boleh menyiapkan muralnya dalam tempoh yang lebih singkat terutama kediaman jika berpeluang bekerja lebih 12 jam sehari berbanding di syarikat korporat yang perlu mengikut jadual waktu bekerja.

"Ketika ini saya hanya mengambil dua atau tiga tempahan dalam tempoh sebulan kerana tidak mahu menggangu kerjaya selain sedang menyiapkan diri untuk memperoleh gelaran arkitek.

"Arkitek adalah jiwa saya berbanding seni lukisan mural adalah anugerah Allah dan saya tidak akan tinggalkan kedua-duanya," katanya yang pernah menerima Anugerah Academic Excellent for Part 2 dari Pertubuhan Arkitek Malaysia.

Menerima Anugerah Academic Excellent Award for Part 2 dari Pertubuhan Akitek Malaysia


Media sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi platform Kamal dalam mempromosikan hasil kerjanya itu. Satu cara mudah perkenalkan kerjaya.

"Bagi saya, marketing yang paling berkesan ialah apabila kita memberikan hasil terbaik. Tanpa merujuk FB dan Instagram pun ia boleh tersebar dengan meluas.

"Tetapi saya tidak menafikan bahawa kedua-dua medium ini sangat penting jika dinilai dari segi strategi pemasaran," katanya yang bakal menamatkan zaman bujang pada September 2020 ini.

Menerima anugerah pelajar terbaik Ijazah Seni Bina UiTM Puncak Alam 2019


Jadilah seperti Kamal, gunakan apa sahaja kelebihan diri untuk menjana pendapatan. 

Bukan mudah untuk meneruskan kehidupan dalam pasca-COVID-19 terutama generasi muda fresh graduate yang berdepan kesukaran memperoleh pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan masing-masing. - KitaReporters

13
0
0
0
0
You will be interested