Seni & Sukan 27 Jun, 2022

Cinta terlarang membawa padah! Duda maut terjatuh bangunan! Terkejut suami kekasih pulang awal!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

Kredit foto-foto: FB Bera


GARA-GARA menjalin cinta terlarang dengan isteri orang membawa padah kepada seorang duda. Dia maut ketika cuba melarikan diri daripada dicekup oleh suami kekasihnya.

Seorang duda berumur 46 tahun ditemukan maut selepas terjatuh dari bangunan pangsapuri setinggi empat tingkat di Bemban, Jasin, Melaka ketika mangsa cuba menyelamatkan diri daripada ditangkap oleh suami kekasihnya pada 26 Jun 2022.

Dalam kejadian pada pukul 11.47 pagi itu, duda terbabit maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepalanya selepas terjatuh dari bangunan tersebut .


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bercinta dan percintaan

 


Sebelum itu, pada  kira-kira pukul 10.30 pagi, duda itu bersama kekasihnya yang berumur 37 tahun dikatakan sedang berbual-bual di ruang tamu di rumah kekasihnya.

Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan kepulangan suami kekasihnya secara mengejut lalu mengakibatkan mangsa menjadi kelam kabut untuk melarikan diri supaya tidak ditangkap oleh suami kekasihnya. 

Kekasih lelaki itu menasihatkan mangsa supaya tidak bertindak melarikan diri sebaliknya berunding secara elok-elok dengan suaminya.

Namun, duda itu tetap nekad melarikan diri dengan mengikat seutas dawai ampaian di besi palang di bahagian koridor untuk berpaut turun dari bangunan tersebut.

Kekasih lelaki itu tidak berbuat apa-apa ketika itu hanya melihat dari jauh aksi kekasihnya cuba terjun dari bangunan setinggi empat tingkat itu sebelum mangsa terjatuh dan tertiarap di atas tanah serta tidak sedarkan diri lagi.  


MISPANI HAMDAN. - Kredit foto: Melaka Hari Ini


Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Supritendan Mispani Hamdan ketika mengesahkan kejadian tersebut berkata, sebelum insiden itu, duda tersebut telah datang ke rumah wanita itu pada pukul 12 tengah malam selepas suami wanita terbabit keluar dari rumah untuk pergi kerja. 

Beliau berkata, lelaki itu bermalam di rumah wanita itu bersama tiga orang anak wanita berkenaan. 

Menurut Mispani, lelaki itu nekad terjun dari bangunan tersebut dengan menggunakan seutas dawai kerana gril pintu hadapan rumah dikunci oleh suami wanita itu. 

’Wanita itu dan duda berkenaan suatu ketika dahulu mereka pernah bercinta tetapi hubungan mereka terputus pada 2005 menyebabkan mangsa menikahi wanita lain.

‘’Namun lelaki terbabit telah berpisah dengan isterinya pada 2017 dan kemudian lelaki itu mencari semula wanita tersebut (bekas kekasihnya) untuk meneruskan hubungan walaupun mengetahui wanita itu sudah bersuami,’’ katanya.

Hubungan cinta wanita itu yang terlarang dengan lelaki tersebut adalah secara rahsia tanpa pengetahuan suaminya.

Mispani berkata, mayat duda itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - KitaReporters


Kredit foto: FB Bera

 

14
10
1
13
0
You will be interested