Seni & Sukan 09 Dec, 2021

Golongan OKU bukan untuk dipersenda! Dr Zulkifli gesa santuni mereka! Ladang kita tuai pahala!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. đŸ“§: [email protected]

Share this



SEBELUM ini tular dalam media sosial beberapa video individu mempersenda, mengejek dan menggunakan kemudahan khusus untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Perilaku seperti itu menunjukkan masih ada segelintir masyarakat yang tidak sensitif dan kurang arif mengenai kemudahan-kemudah yang disediakan untuk golongan OKU.

Disebabkan itu, mereka tanpa segan silu mempersenda dan menggunakan kemudahan untuk golongan OKU tanpa sebarang alasan munasabah.

Rendah sekali nilai moral mereka apatah lagi yang melakukan perkara tersebut terdiri daripada orang Islam. Mereka bukan sahaja memburukkan diri sendiri tetapi juga agama Islam!


Lagi cerita-cerita menarik



Islam tidak pernah mengajar umatnya menghina golongan OKU.


Tahukah anda, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk mempersendakan orang lain apatah lagi OKU. Sebagai hamba, semua manusia sama di sisi Allah SWT. Hanya iman dan takwa sahaja membezakan setiap orang.

Sebenarnya hukum mempersenda OKU sudah lama diulas oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Jadi, apa kata kita bugarkannya kembali agar menjadi peringatan kepada semua. 

Menurut Dr Zulkifli, Islam merupakan rahmat buat sekalian insan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU bahkan terdapat banyak gesaan dalam al-Quran yang memberikan perhatian kepada golongan ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya).

Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksa-Nya dengan azab yang tidak terperi sakitnya." (Al-Fath: 17)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata turunnya ayat di atas apabila ayat sebelumnya (Al-Fath, ayat ke -16) menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan kurang upaya dalam kalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit kepada Rasulullah SAW akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut sama berjuang.


Tegas Dr Zulkifli, sebagai orang Islam kita hendaklah menyantuni golongan OKU.


Lantaran daripada soalan tersebut, maka turunlah ayat di atas dengan memberikan keringanan buat golongan OKU dengan tidak menjadi kesalahan buat mereka untuk tidak menyertai peperangan. [Tafsir al-Qurtubi. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 16/273]

Jelas Dr Zulkifli lagi, antara cabaran yang perlu dihadapi golongan OKU adalah melibatkan persekitaran dan juga sikap mentaliti sesetengah masyarakat umum.

Dari aspek persekitaran, dapat dilihat kebanyakan insfrastruktur dan kemudahan yang sedia ada masih lagi kurang mesra OKU. Golongan OKU tidak dapat mengakses kebanyakan kemudahan yang sedia ada dan ini menyebabkan keterbatasan mereka dalam melakukan aktiviti harian dan bersosial.

Ditambah pula dengan sikap sesetengah individu yang suka menggunakan kemudahan khusus untuk OKU seperti dalam video yang tular kini, menambahkan lagi ‘perit’ golongan ini. Bukan sahaja menyalahgunakan kemudahan OKU, tetapi mereka turut mempersenda dan mengajuk kelainan yang ada pada OKU.



Sikap masyarakat umum yang normal ini amatlah tidak wajar. Tegas Dr Zulkifli, sebagai seorang muslim yang beriman, inilah masa untuk menuai pahala dengan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada golongan OKU.

Islam mengajar kita agar tolong menolong ke arah kebaikan dan tanpa syak lagi bahawa membantu dan menyantuni golongan OKU ini termasuk dalam kebaikan yang perlu disegerakan.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Al-Maaidah: 2)

Islam juga mengajarkan agar bersikap adil terhadap semua. Islam sama sekali tidak menyetujui jika terdapat sesetengah golongan dinafikan haknya, ditindas dan tidak diendahkan.

Lihatlah ketika mana Rasulullah SAW sedang sibuk berdakwah kepada golongan bangsawan Quraisy dan pada waktu itu telah datang Abdullah bin Umm Maktum ingin bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah SAW namun Rasulullah SAW telah memalingkan mukanya daripada Abdullah bin Umm Maktum.

Allah SWT telah menegur Baginda SAW melalui firman-Nya di dalam Surah ‘Abasa rentetan daripada sikap Rasulullah SAW tersebut.

Justeru, teguran Allah ini sebagai satu isyarat golongan OKU ini perlu dilayani dengan saksama dan tidak boleh dinafikan hak mereka dalam urusan agama, ilmu dan seumpamanya.

Apatah lagi jika berkaitan dengan urusan-urusan menyambung kehidupan kerana mereka juga berhak hidup sebagaimana mereka berhak dilahirkan dan dibesarkan dengan adil. - KitaReporters


14
12
0
14
0
You will be interested