Seni & Sukan 08 Jun, 2023

Jom tonton Kau Pilih Siapa? Penuh sindiran politik! Filem komedi ala Mamat Khalid! Mulai 8 Jun 2023!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Syed Mohamad Asri aka 'Usop Wilcha'. - Foto: FAS.



Setelah lebih kurang enam tahun berehat seketika dari industri perfileman, pelakon yang terkenal dengan gelaran ‘Usop Wilcha’ atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail, 57, kembali dengan watak utama dalam filem penuh komedi satira ‘Kau Pilih Siapa?’.

Pun begitu, Usop yang lebih terkenal dengan watak komedi dalam beberapa filem arahan Mamat Khalid sebelum ini antaranya ‘Zombie Kampung Pisang’ dan ‘Hantu Kak Limah Balik Kampung’, kali ini dilihat membawa watak lebih serius sebagai Pian C, seorang ketua keluarga yang terpaksa berjauhan meninggalkan keluarga di kampung demi menyara kehidupan mereka.

Pada suatu hari, dia menerima khabar duka apabila ayah angkatnya Pak Kassim seorang wakil rakyat meninggal dunia dan Pian C harus pulang ke kampung. Sebelum meninggal dunia, Pak Kassim meninggalkan satu wasiat di mana dia ingin Pian C menjadi calon Wakil Rakyat  atau ‘Wak Yat’ untuk menggantikannya.

Terdapat beberapa konflik yang muncul apabila ia dicemburui anak kandung Pak Kassim iaitu Saiful (lakonan Anas Ridzwan) sehinggalah pelbagai helah dirancang untuk menjatuhkan Pian C.

Bagaimana pun, mampukah Pian C melaksanakan wasiat Pak Kassim?



“Sebenarnya, saya tak berpuas hati kerana tidak dapat nak berlawak dalam filem ini tetapi membawa sisi seorang yang serius dan bermasalah. Jadi apa yang boleh saya buat adalah membantu pelakon sekeliling melontarkan situasi lawak sebaiknya,” jelas Usop Wilcha ketika ditemui pada majlis pra tonton filem ‘Kau Pilih Siapa’ terbitan AT Movies yang akan ditayangkan di seluruh pawagam mulai hari ini, 8 Jun 2023.

Turut hadir penerbitnya, Dato Athy Muthoo dan pengarah bersamanya, Saifullah Khaisas serta beberapa pelakon terlibat antaranya D'Boy Hamdan, Seramaymax, Wei Tian Tz dan Ema. 


Dari kiri: D'Boy Hamdan, Ucop Wilcha, Saifullah Khaisas, Athy Muthoo, Seramaymax, Wei Tian Tz dan Ema.


Barisan pelakon lain yang tidak hadir tetapi turut membintangi filem ini adalah Ava Vanja, Sathia, Bohari Ibrahim., Chillex dan. Weera Audadi.

Menjelaskan kenapa beliau menerima watak ‘Pian C’ , Ucop memberitahu kelainan pada jalan cerita serta keinginan membantu   filem sulong arahan Saifullah yang dikenali lama sebagai penolong pengarah kepada Allahyarham Mamat Khalid antara faktor beliau bersetuju.

“Ketika berehat enam tahun untuk rapat dengan anak yang kini sudah pun berusia 13 tahun, abang tidak pernah memberikan nombor telefon kepada sesiapa. Abang mahu bersendirian agar tidak diganggu sehinggalah tahun lalu abang terima mesej daripada Saifullah melalui Instagram,” cerita Ucop yang membahasakan dirinya ‘abang’ kepada media.


Ucop terima tawaran berlakon kerana yakin dengan Saifullah yang dikenali lama.


Jelasnya, walau pun watak Pian C tidak mengizinkannya berlawak tetapi tetap puas dengan lakonannya sekali pun  terasa penat disebabkan  selama 12 hari penggambaran filem, beliau banyak berlari.

“Bayangkan abang terpaksa lari dan dikejor (loghat Perak) dalam tiga babak filem ini, memang penat,” kenangnya seloroh.

Pun begitu kata Ucop, beliau selesa membawa watak Pian C yang tidak mahu memegang jawatan ‘Wak Yat’ kerana itulah sifat dirinya sebenar, tidak mahu mengejar jawatan hanya kerana mahukan kuasa.

“Abang  larikan diri daripada dipaksa memegang jawatan sebagai wakil rakyat sedangkan ia tidak sesuai dengan jiwa abang sebenarnya,” jelas Ucop jujur sambil menambah kata mesej dalam filem ini jelas menggambarkan situasi seumpama wujud di kalangan individu yang mahu menjadi pemimpin untuk citarasa diri sendiri dan bukan kerana negara.

Malah yang mahu dipimpin pula menyimpan agenda tersirat memilih calon kerana kepentingan diri sendiri seperti mahukan peruntukan dan sebagainya, jelasnya.

“Diharapkan penonton dapat menangkap mesej yang tersirat di sebalik yang tersurat,” tambah Ucop dengan harapan rakyat Malaysia perlu dididik agar memilih pemimpin yang benar2 berkaliber bukan kerana mahukan habuan,



Sementara itu, sebagai anak didik Mamat Khalid, Saifullah akui pengarahannya banyak diinspirasikan daripada arwah Mamat Khalid. 

“Saya banyak belajar daripada arwah dan sudah tentu saya mahu teruskan legasinya agar arwah sentiasa ‘hidup’ dalam industri,” ujar Saifullah.

Berkongsi lanjut penerbitnya, Aty Muthoo mendedahkan pada asalnya filem terbitannya memang mahu diberikan kepada Mamat Khalid untuk mengarah.

“Tetapi belum sempat saya meluahkannya Mamat Khalid meninggal dunia dan pandemik COVID-19 pula menyebabkan filem ini tergendala untuk diterbitkan,” ujar Aty yang kemudiannya mahu menyerahkannya kepada anak Mamat Khalid tetapi disebabkan dia terlalu sebuk, filem itu akhirnya diberikan kepada Saifullah yang tidak kurang berpengalaman sebagai Penolong Pengarah kepada Mamat Khalid sekian lama.

Tidak mengharapkan ‘bulan dan bintang’ dari segi kutipan memandangkan ‘Kau Pilih Siapa’ berada di pawagam bersama filem  hebat seperti “Polis Evo 3’ mahu pun filem Hollywood ‘Transformers: Rise of the Beast’, Aty berharap filem terbitannya yang menelan belanja hampir RM1 juta ini tetap mendapat sambutan.


Athy (kanan) bersama Saifullah (kiri) dan Wei Tian Tz. Terapkan elemen perpaduan dalam filemnya dengan menampilkan Melayu, Cina dan India sebagai pelakon.


“Jika mahu menonton filem yang ringan dan menghiburkan tontonlah ‘Kau Pilih Siapa?’,” Aty berharap sambil berpuas hati dengan lakonan pelakon-pelakonnya yang kebanyakannya muka baharu malah ada yang datang daripada kampung penggambaran itu sendiri iaitu di Kampung Sungei Pertak, Perak.

“Siapa sangka orang-orang kampung ini pun boleh berlakon. Mereka ada bakat cuma tidak diberikan peluang,”  ujar Aty mengharapkan ‘Kau Pilih Siapa?’ dapat membantu rakyat sedar betapa pentingnya memilih calon yang sesuai. 


Babak terakhir tamat dengan adegan Pian C dikejar kumpulan kompang kampung.


“Sebenarnya filem ini patut keluar sebelum  piliharan raya tetapi disebabkan oleh beberapa halangan ia tidak dapat diterbitkan sempena pilihan raya lalu. Apa pun, kita tunggulah jika sambungan pada filem ini dapat dihasilkan menjelang pilihan raya akan datang," akhiri Aty membayangkan ada kesinambungan pada filem Melayu terbitan kali kedua syarikatnya ini apabila "Kau Pilih Siapa?' ditamatkan dengan adegan kejar mengejar dan tergantung! - KitaReporters

Pengarah bersama barisan pelakon-pelakon terlibat termasuk dalam alangan orang kampung yang menghidupkan filem komedi santai "Kau Pilih Siapa?'

8
9
0
10
0
You will be interested