Seni & Sukan 30 May, 2023

Bicara Seni| Video| Wahid Satay artis pelbagai bakat! Tak merasa anugerah Seniman Sepanjang Zaman!

@fauzan uda ahmad
Bekerja dengan Utusan Malaysia dari 1985 hingga 1996. Menjadi wartawah hiburan, koresponden di Jakarta, Indonesia dan Ketua Meja Hiburan. juga bertugas dengan beberapa media lain

Share this
Wahid Satay lelaki kacak ketika zaman mudanya.
Abdul Wahid Ahmad (Samad), lebih dikenali sebagai Wahid Satay, 93, mempunyai kebolehan semula jadi bagi membolehkan dia menjadi seniman legenda Melayu selama puluhan tahun.

Tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang seni, dengan memakai nama komersial Wahid Satay, dia berjaya dalam bidang seni sebagai pelakon, pelawak, penyanyi dan pencipta lagu.

Dia turut berkebolehan meniru suara beberapa jenis haiwan seperti ayam dan burung  yang turut diguna dalam sejumlah filem lakonannya.

Dengan punyai pelbagai kebolehan, Wahid diberi gelaran Jerry Lewis Malaya. Jerry Lewis adalah bintang Holyiwood yang memiliki pelbagai kebolehan seni dan popular pada tahun 1950-an dan 1960-an.

Bersama rakan seninya Mat Sentol (kanan)

Dilahirkan di Indragiri, Riau, Sumatera, Indonesia pada 1 Januari 1930, Wahid dibawa merantau ke Singapura oleh keluarganya  ketika berusia 5 tahun. 

Ketika berusia 16 tahun, Wahid pernah menjadi kelasi kapal ke sejumlah negara. Kemudian memohon pekerjaan di Studio Cathay-Kris dan diterima sebagai tukang cat. 

Wahid mendapat peluang berlakon sebagai pelakon tambahan (cameo) dalam filem ‘Pertaruhan’ arahan S Ramachandran pada 1948.

Namun bintangnya sebagai pelakon mula menyinar kira-kira 9 tahun kemudian setelah diterima berlakon dalam filem ‘Pontianak’ arahan BN Rao. Filem itu mengetengahkan pelakon popular ketika itu Maria Menado dan Wahid menjadi penjual sate.


Wahid diberi peluang berlakon setelah BN Rao tertarik melihat Wahid membuat lawak bersama rakan-rakan ketika bekerja. 

Filem ‘Pontianak’ menjadi filem Melayu pecah panggung (boxoffice) pada tahun 1956/57 dan turut mempopularkan Wahid sebagai pelakon.

Filem ‘Pontianak’ berjaya mendapat kutipan lebih sejuta dolar Singapura yang merupakan jumlah kutipan yang cukup membanggakan ketika itu. Dan ia membuat Wahid menjadi antara ‘orang kesayangan’ pemilik Cathay Kris, Loke Wan Toh.



Loke merupakan insan yang memberi nama komersial ‘Wahid Satay’ daripada nama komersial asal A Wahid. Pada mulanya Wahid enggan namun akhirnya akur setelah Loke memberikan wang ganjaran yang lumayan.

Sebagai antara ‘anak emas’ di Cathay-Keris Production, Wahid berjaya membintangi puluhan filem. Antaranya ialah ‘Pontianak’ (1957), ’Sumpah Pontianak’ (1958), ‘Che Mamat Parang Tumpul’ (1960) dan ‘Badang’ (1962).

Menerusi filem ‘Che Mamat Parang Tumpul’, Wahid menerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia di Manila pada 1963.



Dalam bidang muzik, Wahid banyak menyanyi dan mencipta lagu bercorak lucu dan mengguna nama komersial A Wahid. Namun Wahid tetap mencipta beberapa lagu berirama pop yeh yeh yang diberi kepada beberapa penyanyi, antaranya M Ishak dan Ahmad Jais.

Antara lagu popular nyanyian Ahmad Jais dicipta Wahid Satay ialah ‘Sumpah Setia’ dengan iringan The Antartics. Wahid Satay juga pernah menghasilkan album pop yeh-yeh bersama kumpulan The Bluebeats. 

Antara lagu pop popular nyanyian dan ciptaannya ialah ‘Seumpama Burong’. Sebagai penyanyi dia mengguna nama A Wahid dan  turut boleh bermain beberapa alat muzik.

Wahid Satay sudah tidak aktif berlakon setelah Cathay-Keris ditutup pada 1972.


Namun Wahid tetap diberi tawaran berlakon dalam beberapa filem terbitan syarikat filem di Malaysia pada 1980-an dan 1990-an bermula dengan filem ‘XX Ray’ arahan Aziz M Osman. Wahid turut muncul dalam filem fenomena ‘Senario XX’ pada 2005.

Wahid Satay dicadangkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasinal Malaysia (FINAS) untuk menerima anugerah Seniman Sepanjang Zaman bagi Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pegawai Operasi (CEO) FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim yang mengadakan pertemuan dengan Wahid Satay pada tahun lalu (2023) di Singapura ketika mengadakan lawatan ke tapak Malay Film Production (MFP).

Dalam pertemuan itu, Wahid Satay bersemangat menceritakan penglibatannya dalam bidang seni dan berterima kasih atas kunjungan pihak atasan FINAS menziarahinya. 

Namun hasrat Wahid untuk menerima anugerah itu tidak kesampaian. Wahid dijangka akan tetap diberi anugerah itu, cuma akan diwakili orang lain.

Wahid Satay telah kembali mengadap Illahi pada usia 93 tahun pada kira-kira 8.30 pagi  Isnin, 22 Mei 2023 di rumah anak keduanya Hafizah di Teban Gardens, Singapura dan telah disemadikan di Pusara Aman. - KitaReporters

13
17
0
11
0
You will be interested